Sayapun sebenarnya tidak menghayati hakikat tersebut sebelum ini... namun tindakan saya meleraikan usaha seorang pelajar yang masih menulis meskipun waktu peperiksaan tamat, Allah izin mengingatkan saya tentang hakikat taubat dan iman seseorang yang tidak akan diterima tatkala diri seseorang insan itu telah menghampiri detik kematian.
Beberapa ayat Al Quran mengkisahkan tentang hakikat hidup, kematian dan apa sahaja keindahan yang dijadikan hiasan di dunia ini merupakan ujian untuk manusia...siapakah antara kita yang lebih baik amalan di antara mereka.
Saya merenung kelompok pelajar-pelajar saya yang tekun menghadapi kertas ujian. Patuh pada had waktu yang ditetapkan, tertib di meja masing-masing.. tiada pula yang suka hati berborak atau bermain ‘game’....atau menyia-nyiakan waktu yang diberikan tanpa menjengah pada soalan yang dikemukakan.. Namun, kelompok yang saya cerap mungkin kurang bersedia, termenung panjang dan seperti terkial-kial menyusun jawapan. Sampai waktu, kertas jawapan tersebut perlu diserahkan, dinilai sama ada seseorang itu berjaya cemerlang mahupun gagal.
Kita di dunia ini...dalam tempoh kehidupan dan hayat sementara, diberi tempoh menghadapi keadaan seperti juga keadaannya ujian tersebut; diberikan buku rujukan sebagai open book reference di samping pesanan-pesanan dari mereka yang jelas keimanan dan ketqwaan mereka. Diulang berkali-kali bahawa hakikat kita berada dalam ‘dewan peperiksaan’ itu untuk mengisinya dengan tujuan yang benar, dengan persediaan hati dan mencari ilmu serta mengutamakan hanya ibadah yang ikhlas ke hadrat Allah SWT. Fokus ‘menjawab peperiksaan’ itu perlu ditumpukan....jangan sesekali menghabiskan masa dengan perkara yang menjejaskan markah yang bakal diperolehi.
Cuma bezanya, ‘waktu peperiksaan’ kita di dunia ini, ditetapkan Allah menurut ketetapanNya. Ada yang pendek dan ada pula yang panjang.... di antara kita, ada yang ujiannya dalam bentuk kekayaan, ada pula oleh kemiskinan dan penuh penderitaan. Pada wajah sekeliling dan wujudnya dalam kehidupan, penuh warna-warni yang indah dipandang mata, kagum dengan kuasa, status, kebanggaan dan kehebatan dipandang manusia.... meskipun diperingatkan Allah bahawa apa sahaja di dunia adalah senda gurau dan sesuatu yang bersifat ‘olok-olok’ serta permainan belaka..
Bayangkan pula jika ‘open book reference’ (Al Quran dan Sunnah) yang telah dianugerahkan itu tidak pernah dibaca...atau dibaca tetapi tidak difahami... bayangkan pula keadaanya jika kita yang termangu-mangu tercengang akibat tidak tahu entah apa yang perlu dilakukan dalam julat masa 'ujian' yang dibenarkan...
Dalam ‘dewan peperiksaan’...tidak boleh bermain-main, atau menghabiskan masa melakukan selain dari berusaha mengumpul markah tertinggi serta mengelakkan gagal lalu mendapat hina dan hukuman Tuhan yang azabNya Maha Keras dan Pedih..
Waktu terus berdetik dan berlalu...ada di kalangan kita yang duduk di dewan itu telah dipanggil angka gilirannya; ada yang menunggu penuh kesal (apabila ditakdirkan Allah menderita sakit kronik dan tidak mampu lagi melakukan amalan yang baik) kerana belum bersedia menghentikan usaha menjawab soalan yang selama ini di sia-siakannya... sekadar bergegas (mungkin dilanda perasaan penuh kecewa) menyiapkan ‘buku soalan’ mengikut kemampuan yang termampu.
Bayangkan jika giliran kita dipanggil dalam keadaan kita cuai dan tidak bersedia..entah pada kedudukan mana kita berada...??
No comments:
Post a Comment