Doa adalah senjata untuk mukmin. Tidak akan diberikan kepada mereka yang berdoa melainkan diberikan Allah tiga perkara iaitu ditunaikan permintaannya atau dijauhkan dari musibah/ bahaya atau ditabung Allah kebaikannya (hanya diberikan pembalasan yang lebih baik ketika di akhirat nanti).
Puluhan tahun rasanya...saya mendengar tazkirah mengenai kebaikan dan kelebihan berdoa.
Namun... saya sebenarnya tidak pernah duduk menghayati hakikat doa adalah senjata paling kukuh yang dianugerahkan Allah SWT untuk hamba-hambaNya yang muslim dan mukmin.
Doa sebenarnya adalah amalan dan aktiviti yang dilakukan sentiasa. Memohon doa agar diri kita sentiasa diberikan petunjuk dan taufik dalam apa jua skop yang dihadapi dalam kehidupan...baik perkataan mahupun pada praktis terjemahan.
Doa dimanfaatkan sepenuhnya oleh insan yang sedar kedudukan dirinya di sisi Tuhan yang Maha Berkuasa, Tuhan yang memiliki azab yang sangat dahsyat dan keras serta Maha Penyayang pada hamba-hambaNya. InsyaAllah kita perlu sentiasa berdoa dan mengharap padaNya untuk kekal sebagai muslim mukmin yang sentiasa dekat mengamalkan hidayah (taufik) serta berusaha mendekatkan diri untuk sentiasa mengingati Allah dan bertaubat atas kesilapan.
Saya kongsikan kesilapan saya dalam memanfaatkan doa dalam konteks yang sebenarnya. Saya sebelum faham hakikat doa...hanya berdoa terutamanya apabila saya rasa perlu pada pertolongan Allah; apabila usaha dan daya saya kehabisan tenaga untuk memastikan apa yang saya hajatkan menjadi kenyataan. Saya berdoa apabila dilanda duka dan kecewa...jauh pula dari doa apabila dicakupi kegembiraan dan kehebatan yang diidamkan. Adapun mungkin ketika gembira itu sekadar menyatakan syukur dan pujian kepada Allah. Saya juga berdoa pada waktu-waktu tertentu, menyandarkan pada yang lebih pandai berdoa untuk membacakan doa-doa yang ‘power’...saya bertanggapan memadai saya meng’amin’kan...tidak pula ada rasa keperluan mendalami doa-doa yang diamalkan oleh para Nabi terutama Nabi Muhamad SAW.Saya juga tidak pernah mengambil peluang mencari waktu-waktu mustajab untuk berdoa...
Ampunkan saya Ya Alllah...betapa dhaifnya pengetahuan dan amalan saya...
Satu lagi kesilapan saya tatkala berdoa....saya sangat jarang berdoa untuk saudara seaqidah saya secara keseluruhannya...saya hanya khususkan doa untuk saya dan mereka yang saya kenal dan kasihi. Ada waktu yang saya ingat, mungkin tatkala saya melintas atau menziarahi pusara/ kawasan perkuburan.
Setiap muslim yang beriman adalah bersaudara (seikhwah)... perkataan ikhwah menurut pandangan sarjana/ ilmuwan adalah satu ikatan yang lebih kuat dari hubungan darah daging. Sayangkah saya pada setiap muslim mukmin yang telah diisytiharkan Allah sebagai saudara saya yang lebih rapat berbanding dengan mereka yang ada pertalian darah...?
Sesungguhnya saya baru saja mula belajar untuk tersenyum dan giat menyebarkan salam (doa kesejahteraan) untuk setiap muslim (menurut batas kesopanan) setiap kali saya berjumpa atau terserempak dengan sesiapa di luar sana. Saya juga baru mula mengenal kepentingan untuk saling mendoakan kebaikan dan kesejahteraan sesama muslim mukmin.. itulah mereka yang hadir dalam lingkungan kehidupan saya, sama ada dikenal ataupun tidak...mahupun yang pernah berkongsi kebaikan dengan kita mahupun tidak. Ssesungguhnya hakikat senyum dan menyebarkan salam bagi saya Allah izin mampu meleburkan ego dan sombong di dalam diri terhadap insan lain yang dirasakan lebih rendah darjatnya daripada kita sendiri...
Paling jelas sebenarnya dalam pengalaman saya... saya kebiasaannya akan begitu ikhlas mendoakan seseorang yang begitu mulia hatinya berkongsi apa jua kebaikan dengan saya atau juga dengan sesiapa yang hanya mungkin pernah tersenyum tatkala bertemu dengan mereka. Satu kebahagiaan yng sukar dilafazkan apabila kita tahu bahawa diri kita turut didoakan dalam pengharapan mereka-mereka itu memohon pertolongan dari Tuhan yang Maha Pemberi Kurnia dan Maha Mengabulkan doa.
Sehingga kini, saya masih mendoakan pemandu teksi yang saya temui ketika pulang dari menziarahi saudara saya di Kelantan. Saya ketika itu menghampiri waktu syuruk tatkala tiba di Hentian Putra...fikiran saya berserabut kerana masih belum menunaikan solat subuh. Dengan beg-beg serta keperluan yang saya ambil; saya bergegas menuju tempat yang mungkin merupakan surau... seorang pemandu teksi menghampiri saya bertanya sama saya perlukan teksi ataupun tidak. Tanpa berfikir panjang, saya sekadar menyatakan iya... lalu menanyakan kepada beliau arah kedudukan surau. Tanpa berfikir panjang juga, saya menyerahkan beg-beg dan keperluan yang saya bawa kecuali beg peribadi yang biasa saya sandang kepada pemandu teksi tersebut. Beliau menunjukkan arah perjalanan ke surau...sambil saya terus berlalu tanpa mengambil peduli tentang beg-beg, kedudukan teksi serta wajah pemandu teksi tersebut.
Selesai menunaikan solat...saya baru terfikir bagaimana mahu mencari pemandu teksi dan kedudukan teksinya... saya tidak pasti. Apa jadi jika beg-beg saya hilang dan pemandu tersebut juga menghilangkan diri. Dalam keadaan tercengang dan termangu itu, seorang lelaki melambaikan tangan sambil menunjukkan teksinya. Meskipun kelihatan kecil kebaikannya...saya masih kekal mengingati kebaikannya; dan tidak jemu mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk beliau setiap kali saya mengingati kebaikan yang dilakukannya itu.
Saya juga berharap dan berdoa pada Allah agar diizinkanNya terus mampu saling mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk semua muslimin yang ikhlas hatinya berbuat kebaikan...Allahlah sebaik-baik pelindung untuk mereka yang beriman...
No comments:
Post a Comment