Seni khat merupakan antara seni yang begitu unik dan mempunyai keindahan yang tersendiri. Beruntunglah mereka yang mahir dengan tulisan jawi serta mampu mengilustrasikan seni penulisan tersebut dalam konotasi yang begitu indah dan mengkagumkan.
Seni khat juga turut menarik minat pencinta seni di kalangan bukan muslim. Pernah juga saya kumpulkan teks mengenai binaan masjid serta ilustrasi seni yang diluahkan melalui senibina dan juga tulisan khat yang menghiasi bahagian dinding dan kubah. Selepas menatap dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pelbagai jenis seni huruf-huruf khat, betapa indah seni berkenaan apabila ia dapat di'internalisasikan' dengan fahaman dan tafsiran benar isi-isi perkataan yang diungkapkan.
Kenangan yang tidak mungkin saya lupakan dalam menghayati seni khat ialah semasa saya selesai menunaikan solat zohor di Masjid Besar Bandar Temerloh pada pertengahan tahun 90an dahulu. Pandangan saya tepat berkeliling memerhati susunan ayat Al Quran yang menghiasi dinding ruang solat... yang kebiasaannya saya jarang memberikan fokus pada mana-mana tulisan khat (saya terkadang mempunyai persepsi sukar membaca tulisan khat).
Namun ketika di masjid itu, begitu mudah saya membaca tulisan berkenaan... itulah lafaz ayat-ayat Surah As Sajdah yang menusuk hati dan perasaan. Lalu mengingatkan saya pada kebaikan persahabatan dan luang masa yang pernah saya habiskan bersama sahabat-sahabat di kampus iaitu ketika membacakan ayat-ayat surah tersebut. Alhamdulillah...itulah juga dengan izin Allah memotivasikan saya untuk menghafal ayat-ayat surah tersebut...
No comments:
Post a Comment