Saya melalui pengalaman cukup getir apabila sebahagian yang saya fokuskan pencapaiannya, diizinkan Allah pada dimensi yang tidak saya duga. Dimensi yang menyebabkan hati saya terlontar kecewa..juga merenung kembali kelemahan dan kedaifan diri untuk dimuhasabah kembali. Ya, setiap kita manusia mempunyai persepsi berbeza...di atas persepsi itulah juga kita membuat andaian dan justifikasi berdasarkan pertimbangan yang dirasakan menurut skop yang ditentukan.
Namun...hakikat pemilihan untuk kita hayati dalam pencapaian kehidupan dunia ini yang sebenarnya ialah pada ganjaran mutlak yang wujudnya di sisi Allah...pada pahala yang tidak mampu kita lihat...pada kebaikan-kebaikan yang kita sembunyikan dari diketahui orang lain, juga pada kesungguhan kita beramal pada kebaikan-kebaikan yang menjamin kebaikan kita pada julat waktu selepas kematian dan di alam akhirat.
Doa istikharah yang dipesan oleh suami untuk saya baca bersungguh-sungguh... meruntun penghayatan dan kefahaman saya bahawa menterjemahkan hakikat yang sukar untuk kita terima perlu diolah dalam konteks kita mendekatkan diri pada Allah SWT dan agama yang benar ini. Apa sahaja yang ada di sisi atau dipandang manusia akan luput... apa sahaja yang menjadi sanjungan dan pujian, sia-sia hasilannya dan berterbangan bagai debu jika tiada redha dan keikhlasan di sisi Allah SWT.
Sesuatu yang baik pada pandangan kita, mungkin bakal mnjauhkan kita dari rasa ikhlas beramal kerana Allah; namun kepahitan dan keperitan yang mengecewakan mungkin adalah sesuatu yang menjadikan kita lebih dekat dan ikhlas melaksanakan amalan sebagai muslim. Mudah-mudahan Allah susunkan laluan terbaik buat kehidupan, agama dan kesudahan kita di alam yang abadi nanti; insyaAllah mudah-mudahan di atas sandaran ini saya mohon kekuatan dari Allah untuk terus dekat beramal di atas jalanNya... iaitu jalan da'wah menyeru manusia kepada Allah...
No comments:
Post a Comment