Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Monday, May 31, 2010

Ipar dan Mertua...mereka bukan 'ORANG LAIN'

Berapa agaknya cerita dan kisah mengenai masalah dan pertikaian dalam keluarga yang pernah didengarkan ke telinga saya. Kebanyakannya pula merupakan isu yang berkaitan dengan individu yang dikenali sebagai mertua, menantu mahupun ipar.Kerap kali juga saya dibicarakan tentang perang dingin atau juga perang lisan sehingga membawa perbalahan antara insan-insan berkenaan.

Sebenarnya, sebahagian kita keliru dengan tag atau istilah keluarga dan bukan keluarga. Seringkali batas kekeluargaan dihadkan pada individu yang sedarah sedaging...lebih-lebih lagi yang 'significant' untuk mewarisi harta dan apa sahaja yang dikatakan menjadi punca pertikaian.

Apabila telah ada ikatan pernikahan, mereka yang berpangkat ipar dan mertua...adalah merupakan keluarga kita. Fokus keluarga adalah untuk memaslahatkan masyarakat...membina kekuatan sosial malah mendidik seseorang untuk membina hubungan sesama insan. Jikalah agaknya dengan saudara, ipar dan mertua seseorang tidak mampu membina hubungan yang berkesan dan berkekalan...apatah lagi jika ianya kita sandarkan pada organisasi yang lebih mencabar?

Suasana seperti inilah yang terkadang menyebabkan suami dan isteri bermasam muka, menjadi pergaduhan apabila perlu balik ke kampung/ mertua...tambah menambah luka jika seseorang bercerita dengan meng"address"kan ibu mertuanya sebagai his/ her mother apabila berdialog tentang pasangannya....atau bila melihat foto keluarga atau album...ohh ni keluarga dia, padahal yang bercakap itu merupakan ipar kepada manusia yang sedang beliau berdialog.

Ipar dan mertua adalah sebahagian kehidupan kita. Malah, mertua adalah ibu bapa kita sepanjang hayat...sekalipun berlaku perpisahan melalui penceraian atau kematian.

Allah lah yang Maha Mengetahui

Thursday, May 27, 2010

Rencam Berita....

Subsidi berterusan: M'sia bankrap 9 tahun lagi
Mei 27, 10 2:28pm

Malaysia menghadapi risiko menjadi negara Greece kecuali rakyatnya menelan hakikat pahit bahawa pengurangan subsidi akan menyaksikan harga petrol, makanan, elektrik dan beberapa barang keperluan tidak dapat dielakkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) - sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengurangkan bebanan subsidi negara sambil menerangkannya kepada rakyat berkata hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi diteruskan.

Subsidi kini merupakan 54 peratus daripada KDNK negara.

Namun semua cadangan pengurangan subsidi berkenaan belum dilulus atau dipersetujui oleh kerajaan.

"Kita tidak mahu menjadi seperti Greece, akhirnya," kata Indris merujuk kepada ahli Kesatuan Eropah itu yang hutangnya menyebabkan ketidak-tentuan pasaran antarabangsa.

Rasionalisasi subsidi untuk pertumbuhan nyata

Malaysia membelanjakan 15.3 peratus daripada perbelanjaan persekutuan bagi menampung subsidi pada bajet 2009 yang menyaksikan defisit berada pada peringkat tertingginya dalam dua puluh tahun.

Katanya, Malaysia perlu merasionalisasikan subsidi untuk bergerak ke depan secara lebih ekonomi, selain menggalakkan pemuliharaan yang lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan.

Menurut Idris, Malaysia juga perlu mengikuti perkembangan terkini arah aliran pengurangan subsidi global.

"Bayangkan, rakyat Somalia sendiri kena bayar harga yang lebih tinggi untuk petrol berbanding rakyat Malaysia," katanya pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Makmal itu yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang hari ini, dilangsungkan bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi.

Idris berkata, mengikut perangkaan daripada Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), perbelanjaan subsidi Malaysia berdasarkan peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal antara 2006 dan 2009, adalah pada 11 peratus.

Ia, katanya, hampir tiga kali ganda berbanding negara bukan OECD seperti Filipina dan 55 kali lebih tinggi berbanding negara OECD seperti Switzerland.

"Bil subsidi kerajaan tidak berkekalan, terutama berdasarkan defisit bajet dan hutang kerajaan yang semakin meningkat. Ia lebih tinggi berbanding Indonesia pada 28 peratus dan semakin menghampiri Filipina pada 62 peratus," katanya.

Kaya juga dapat subsidi

Menurut Idris, budaya subsidi mempunyai kesan negatif, dengan subsidi kerap dinikmati mereka yang tidak berhak selain tertakluk kepada ketirisan dan penyalahgunaan dan pada masa yang sama menggalakkan gangguan pasaran selain menggalakkan penggunaan berlebihan hasil daripada lebihan pengeluaran.

Beliau berkata, kira-kira 97 peratus daripada subsidi Malaysia diagihkan secara asas "menyeluruh".

"Ia diberi kepada setiap orang tanpa mengira paras pendapatan, sebagai contoh, memberi subsidi untuk pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perkhidmatan perubatan, petrol, gula dan minyak masak, selain bantuan kebajikan dan elaun," katanya.

Kerajaan, dalam kerangka kerja merasionalisasikan subsidi, antara lain akan memberi tumpuan terhadap barangan utama bagi mencapai penjimatan yang lebih besar seperti bahan api, gas dan tol dan pada masa yang sama meneruskan subsidi pendidikan, sebagai pelaburan modal insan.

Usaha akan dibuat bagi mengurangkan pembaziran dan penyalahgunaan.

Menurut sumber yang dipetik Reuters, jemaah menteri pada Rabu lalu membincangkan cadangan pengurangan subsidi berkenaan tetapi tiada keputusan dibuat.


Harga petrol mungkin dinaikkan 15 sen tahun ini

Mei 27, 10 12:00pm
Harga petrol mungkin dinaikkan buat permulaannya 15 sen bagi setiap liter daripada harga sekarang pada tahun ini.

Harga petrol RON 95 ketika ini dijual pada harga 1.80 ringgit bagi setiap liter.

Harga baru itu berikutan cadangan sebuah badan yang bertanggungjawab menasihatkan kerajaan berhubung cara-cara mengurangkan subsidi, iaitu Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).

Cadangan itu dibuat pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi dalam usaha awal kerajaan untuk mengurang defisit dalam belanjawan negara yang kini pada tahap tertinggi bagi tempoh 20 tahun.

Mengikut cadangan yang dikemukakan kepada lembaga penasihat itu, harga petrol akan dinaikkan tahun ini dan diikuti dengan dua lagi kenaikkan pada kadar 20 sen setiap liter setiap kenaikkan pada 2011 dan dua lagi kenaikan, juga pada kadar 20 sen bagi setiap kenaikkan pada 2012.

Sepanjang 2013-2015, kenaikan harga minyak dijangka bergerak perlahan dan pada penghujung 2015, harga RON95 diandaikan berada pada 2.60 ringgit bagi setiap liter.

Bagaimanapun rancangan kenaikkan yang dicadangkan itu masih belum diluluskan oleh kerajaan.

Ramalan itu adalah berdasarkan harga minyak mentah pada harga $73.06 bagi setiap tong pada 2011 dan $79.41-$94.52 bagi 2013-2015.

Cadangan pengurangan subsidi

Kerajaan juga dijangka akan menaikkan harga petrol, gas dan tol lebuhraya di bawah rancangan pengurangan subsidi selama lima tahun yang dibuat oleh Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), sebuah badan yang menasihatkan kerajan mengenai cara-cara mengurangkan subsidi.

Bagaimanapun belum ada keputusan yang dibuat dan kerajaan dijangka tidak akan bertindak dalam jangkamasa terdekat ini.

Pengurangan dan pemotongan subsidi itu juga membabitkan 12 perkara:

Petrol

Harga petrol dinaikan 15 sen pada Jun-Dis 2010, diikuti kenaikan 10 sen setiap enam bulan antara Jan 2011-Dis 2012 dan jumlah kenaikkan yang kecil bagi tahun-tahun berikutnya.

Harga petrol pada

2011 - RM2.16
2012 - RM2.20
2013 - RM2.34
2014 - RM2.52
2015 - RM2.60

Tol

Perbincangan semula dengan lebihraya pada 2010 dan dengan LDP pada 2013.

Cadangan - semua perjanjian konsesi akan diteruskan tanpa pemberian subsidi, yang bakal menyebabkan kenaikkan harga antara 10-67 peratus pada 2010.

Gas

Harga gas dinaikkan pada kadar tetap RM3/MMBTU bagi setiap enam bulan daripada harga sekarang bagi sektor tenaga dan sektor bukan tenaga.

Kenaikkan harga gas pada RM3/MMBTU setiap enam bulan serentak dengan kenaikkan tarif elektrik 1.6 sen/kWh bagi setiap enam bulan.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Khamis Mei 27, 2010
Kekayaan 40 Individu Terkaya Malaysia Naik 42 Peratus Kepada RM168 Bilion

SINGAPURA: Harta semua 40 individu terkaya negara kini bernilai AS$51 bilion (RM168 bilion), meningkat daripada AS$36 bilion (RM118b) tahun lepas, dan lebih tinggi daripada rekod sebelum ini iaitu sebanyak AS$46b (RM151b) yang dicatatkan pada 2008.

Menurut Forbes Asia dalam Senarai Terkaya Malaysia 2010 yang diterbitkan hari ini, kekayaan bersama mereka telah meningkat 42 peratus, didorong oleh pertumbuhan ekonomi negara.

Peningkatan keseluruhan kekayaan juga sejajar dengan kenaikan 32 peratus di Indeks Kompposit Kuala Lumpur dan kenaikan 11 peratus Ringgit Malaysia berbanding dolar AS sepanjang 12 bulan ini, kata Forbes.

Tempat pertama senarai masih lagi Robert Kuok Hock Nien yang memegang kedudukan itu semenjak 2006 apabila Forbes Asia mula menyenaraikan 40 individu terkaya Malaysia.

Forbes berkata kekayaan Kuok meningkat kepada AS$12b (RM39b), peningkatan AS$3b (RM10b) sepanjang tahun lepas.

Ananda Krishnan pula kekal pada tempat kedua dengan AS$8.1b (RM27b), peningkatan AS$1.1b (RM3.6b) daripada tahun lepas.

Syarikatnya, Maxis Communications, pembekal perkhidmatan telefon mudah alih terbesar negara, disenarai awam tahun lepas dan mengumpul AS$3.4b (RM11b) dalam IPO terbesar negara.

Masih di tempat ketiga adalah Tan Sri Lee Shin Cheng dengan AS$4.6b (RM15b), lebih tinggi daripada AS$3.2b (RM10b) tahun lepas.

Jutawan berusia 71 tahun itu mengetuai IOI Group, salah satu penggendali utama penapisan minyak sawit. Syarikat itu dilaporkan melabur AS$300 juta (RM987j) untuk mengembang.

Forbes berkata bukan hanya tiga jutawan itu menyaksikan peningkatan pada kekayaan mereka, bahkan 27 orang lain dalam senarai itu juga mencatatkan pertumbuhan pada nilai bersih mereka, terutamanya jutawan teknologi Goh Peng Ooi, disenaraikan pada No. 16, yang mengalami peningkatan peratusan terbesar.

Kekayaannya meningkat kepada AS$425j (RM1,398j) daripada AS$112j (RM368j) sebelum ini, satu peningkatan sebanyak 280 peratus.

Forbes berkata tahun ini, nilai bersih minimum sebanyak US$110j (RM362j) diperlukan untuk layak memasuki senarai itu berbanding AS$90 (RM296j) tahun lepas.

Ia berkata bilangan jutawan juga telah meningkat dengan kini seramai 10 jutawan mempunyai nilai bersih sepuluh angka berbanding sembilan, tahun lepas.

Individu baharu yang memasuki senarai ini termasuk Datuk Shahril dan Shahriman Shamsuddin yang berkongsi tempat ke-23 dengan nilai bersih AS$270j (RM888j).

Kedua-dua mereka mempunyai kepentingan sama banyak dalam Sapura Group, yang diasaskan oleh ayah mereka.

Satu lagi wajah baharu ialah kontraktor Datuk A K Nathan, 54, yang disenaraikan pada tempat ke-24 dan bernilai AS$250 juta.

Syarikatnya, Eversendai, terlibat dalam banyak pembinaan di Timur Tengah termasuk Burj Khalifa di Dubai.

Forbes berkata tiga individu kembali tersenarai selepas terkeluar sebelum ini, iaitu Datuk Seri Nazir Razak, seorang ketua perkhidmatan kewangan di CIMB.

Beliau disenaraikan pada tempat ke-32 dengan nilai bersih US$145 juta.

Senarai 10 individu terkaya di Malaysia ialah: 1) Robert Kuok Hock Nien; AS$12 bilion 2) T. Ananda Krishnan; AS$$8.1 bilion 3) Tan Sri Lee Shin Cheng; AS$4.6 bilion 4) Puan Sri Lee Kim Hua; AS$3.9 bilion 5) Tan Sri Quek Leng Chan; AS$3.85 billion 6) Tan Sri Teh Hong Piow; AS$3.8 bilion 7) Tan Sri Yeoh Tiong Lay; AS$2.5 bilion 8) Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary; AS$1.7 bilion 9) Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun; AS$1.6 bilion 10) Tan Sri Tiong Hiew King; AS$1.2 bilion

Senarai penuh individu terkaya Malaysia boleh didapati dalam terbitan Jun 2010 Forbes Asia yang telah mula dijual sekarang. - BERNAMA

Cuepacs terkejut dengan anugerah RM1 juta
Mei 27, 10 2:38pm
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang terperanjat dengan pemberian hadiah RM1 juta kepada pemenang Anugerah Inovasi Perdana Menteri menyifatkan langkah itu sangat bagus untuk menaikkan semangat penjawat awam.

"Langkah ini sangat dialu-alukan. Ini juga adalah kali pertama dalam sejarah perkhidmatan awam negara jumlah begitu besar diberikan kepada jabatan yang memperkenalkan inovasi dan mempertingkatkan perkhidmatan," kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin hari ini.

Beliau mengulas kejayaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memenangi anugerah itu yang disertai dengan hadiah wang tunai RM1 juta.

Ketika mengumumkan hadiah itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, terserah kepada ketua jabatan bagaimana wang tersebut dibelanjakan.

Ahmad Shah mencadangkan supaya agensi itu menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada semua ketua unit untuk mencari kaedah terbaik membelanjakan wang tersebut.

Satu daripadanya ialah menubuhkan makmal bagi menghasilkan lebih banyak inovasi, kata beliau.

Ahmad Shah berkata, selain memberikan insentif kewangan, kerajaan juga boleh menambah baik perkhidmatan termasuk meningkatkan prospek kenaikan pangkat sebagai galakan kepada pekerja.

Buat masa sekarang, terdapat terlalu banyak halangan yang mengekang penjawat awam daripada menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugas mereka, antaranya ialah tahap kepimpinan ketua jabatan yang lemah.

"Kita menerima banyak aduan daripada anggota bahawa sesetengah ketua jabatan terlalu konservatif dan tidak menghargai inovasi," katanya.

Beliau juga berharap Jabatan Perkhidmatan Awam memastikan kelompok ketua jabatan sedemikian dipantau supaya mereka tidak menjadi halangan kepada pelaksanaan polisi kerajaan yang mahu membawa tranformasi dalam pentadbirannya.

- Bernama

Tuesday, May 25, 2010

Monday, May 24, 2010

Tentang pulang ziarah ke kampung...

Seingat saya, ketika saya di zaman kanak-kanak dahulu...setiap kali ibu atau arwah abah saya membuat keputusan pulang ke kampung, biasanya kami yang belum lagi bersekolah akan di bawa bersama. Abang-abang dan kakak-kakak saya akan ditinggal sementara serta ditinggalkan untuk abang atau kakak yang paling tua dengan pesan untuk menjaga adik-adik dan rumah. Ketika itu, jika pulang ke kampung, kami hanya menaiki bas. Mujur jika ada bas ekspress, dalam banyak ketika, kami biasanya menaiki bas tempatan yang perlu ditukar setiap kali tiba ke sesuatu transit sebelum sampai ke destinasi. Saya takkan lupa dengan pengalaman saya yang akan membaca setiap papan tanda atau batu penanda di tepi jalan...berapa jauh lagi saya akan sampai ke tempat yang dituju. Saya juga begitu berminat menghafal lanskap jalan dan kampung di tepi jalan serta ilustrasi ladang dan kebun...sebagai pendamai dalam perjalanan yang agak panjang. Ketika itu, sangat bertuah jika dapat menumpang menaiki kereta saudara-mara yang lebih berada.

Saya diasuh menghormati saudara mara yang lebih tua...apatah lagi datuk dan nenek tempat kita tumpang bermanja. Tidak ada istilah bosan jika pulang ke kampung...sebabnya saya begitu menantikan saat-saat memancing bersama arwah nenek, menumpang basikal tua bersama arwah atuk, berlari di batas sawah atau berkubang di tali air. Saya juga gemar mengutip batu merah di halaman rumah mereka...mengumpul di dalam baju yang saya gulung..kemudian melontar perlahan-lahan di alur kebun/ sawah bersama adik saya yang masih kecil ketika itu. Kenangan meniti pokok kelapa condong, mengutip biji getah/ buah letup-letup atau berendam di dalam kolah...semuanya merupakan pengalaman yang begitu sentimental untuk diri saya pada usia seperti ini.

Cuma saya tak begitu faham dengan situasi ini...rata-rata keluarga pada hari ini mempunyai 3 buah kereta. Kebanyakannya mempunyai MPV...dah tak susah mengejar bas ke sesuatu destinasi. Tidak lagi berdedai dengan beg atau anak-anak yang masih kecil. Congakan saya, pastilah pulang ke kampung bukan lagi masalah besar, apatah lagi pada hujung minggu. Namun saya perhatikan, ramai ibubapa yang lebih gemar tidak membawa anak bersama. Dan yang lebih mengejutkan ...anak-anak bukan sahaja tidak dibawa bersama tetapi ditinggalkan untuk tidur di ruman kawan-kawan anaknya...

Di mana agaknya ikon datuk dan nenek dalam sebuah keluarga?

Wednesday, May 19, 2010

Tentang ibubapa cemerlang...

Fokus keterlaluan terhadap pencapaian akademik pada pendapat saya terus mengelamkan peranan ibubapa dalam proses mendidik anak-anak. Dalam pelbagai iklan atau rhetorik kecemerlangan....peranan ibubapa dikatakan sebagai sesuatu yang sangat kritikal dalam menentukan kecemerlangan anak-anak.Dalam banyak keadaan...kecemerlangan anak-anak dihebatkan dengan bagusnya pencapaian akademik mereka, gemilangnya dalam penglibatan kokurikulum...yang mana ibubapa turut sama terikat dengan komitmen cemerlang dalam fokus yang sedemikian terhad. Saya sebenarnya agak hampa dengan rhetorik sedemikian.

Mereka yang terlibat dengan perniagaan berasaskan program akademik turut berlumba mencari ruang untuk turut sama menobatkan ibubapa cemerlang...dalam konteks yang kebanyakannya HANYA PENCAPAIAN AKADEMIK sahaja.

Saya menerima email dari seorang yang memasarkan produk skor A. Saya pernah mencubanya untuk beberapa tempoh namun saya tidak meneruskannya selepas itu. Saya tidak berhasrat untuk memberikan impresi negatif terhadap produk berkenaan, cumanya saya berpendapat, anak-anak memerlukan kasih sayang kita di sisinya. Produk skor A diwar-warkan sedemikian untuk memberi latihan akademik kepada anak-anak bagi ibubapa yang kurang berkesempatan duduk bersama anak-anak membuat latihan...yang mana maklumbalas melalui sms akan disampaikan kepada telefon bimbit ibubapa mengenai pencapaian anak-anak berkenaan.

Anak-anak bagi saya adalah insan yang wajar didekati hatinya...diisi mindanya dengan belaian dan kasih sayang mengenai ilmu serta manfaat ilmu berkenaan; bukan sekadar dibiarkan memicit keyboard sendirian untuk mencari jawapan....tanpa ada bicara manusia disisinya. Pelbagai hasilan negatif isu-isu sosial yang terus menyayatkan hati (terbaru pasangan remaja yang menanam hidup-hidup bayi yang baru dilahirkan di Melaka) meneruskan kembara saya untuk terus berusaha mencari definisi ibubapa cemerlang....adab dalam Islam tidak pernah memberikan indikator kecemerlangan sebagai matlamat didikan anak-anak tetapi menggarap keseluruhan proses didikan tersebut sebagai nilaian kehidupan yang berterusan...

Monday, May 17, 2010

Tentang Bahagia atau "Stressful" dalam kehidupan...

Dizinkan Allah, saya berkesempatan menemui beberapa pakar terbilang dalam bidang Perbidanan dan Sakit Puan dan seorang Konsultan Pakar Bedah...semuanya merupakan teman-teman sekuliah saya semasa di pengajian dahulu. Saya tumpang gembira dengan kehebatan dan pencapaian mereka...detik untuk menikmati hidangan bersama itu, satu peluang yang sangat jarang diperolehi. Alhamdulillah...

Kami sebenarnya bertemu dalam dimensi yang begitu berbeza...cuma yang jelas; ada di kalangan mereka yang tidak dapat membayangkan situasi diri saya yang pada pandangannya begitu banyak masa terluang berbanding pakar/ konsultan klinikal yang terlalu banyak tugas dan tanggungjawab. Dengan selambanya saya menjawab....kesibukan itu adalah persepsi, ia bergantung pada pengisian yang hendak kita lakukan...yang semuanya itu adalah pilihan diri kita sendiri....

Mungkin juga bicara saya yang terlalu 'longgar' atau tidak menjurus pada satah sasaran membicarakan tentang isu kesibukan. Ya...benar; saya mempunyai masa menulis di blog; ada masa menonton cerita kanak-kanak atau dokumentari bersama anak-anak; ada masa bersantai dengan pelajar/ teman di FB/ atau melalui sms; ada ruang mencari pengisian hati yang selama ini saya tertinggal jauh dek kesibukan dalam ruang formal. Ada juga ruang menanam pokok bersama anak-anak dan pembantu rumah. Ada juga ruang untuk saya berdialog secara serius dengan suami...mengenai kehidupan dan menangani teguran. Ada ruang buat jiran, keluarga terdekat dan sahabat handai. Fokus dalam bidang teknikal..tidak pula saya tinggalkan, saya sedang menulis sebuah teks untuk memperingatkan diri saya dan berkongsi dengan pelajar-pelajar yang saya kasihi. Ada juga ruang untuk merawat pesakit pada waktu yang mana khidmat saya diperlukan. Saya turut meluangkan masa untuk sumbangan masyarakat melalui sekolah dan guru tempat anak-anak saya belajar... dan saya adalah guru untuk pelajar-pelajar dan juga pentadbir di dalam organisasi yang dimanahkan untuk saya terajuinya...

Untuk itu..saya tahu bahawa saya sebenarnya sangat sibuk menangani segenap agenda yang saya telah pilih. Saya lakukan ini bukan dengan berangan-angan sambil memeluk tubuh atau terus memicit keyboard demi mencari populariti atau ketenangan di hati. Secara sedar...saya yang memilih semua ini;demi matlamat yang saya telahpun JELAS tentangnya. Untuk itu saya tidak boleh merungut jika ada yang terpendam di hati tidak mampu untuk saya paparkan dengan izin Allah untuk menjadi kenyataan.

Penulis buku Jangan Bersedih (La Tahzan) menuliskan.."Kehidupan anda adalah cermin dari apa yang anda fikirkan. Maka semua perkara yang anda fikirkan dan anda hayati sangat mempengaruhi kehidupan anda, sama ada pada ketika bahagia mahupun sengsara".

Kita boleh melihat seseorang dari luaran...jangan pula kita terus menghamburkan kesimpulan tentang kehidupannya yang tidak pernahpun kita lalui secara teliti. Semoga saya berlaku adil apabila membicarakan atau menuliskan tentang sesuatu...

Friday, May 14, 2010

Zikrullah dengan cara yang benar...

Beberapa sms saya terima mengenai saranan untuk menegur tentang amalan berzikir (zikrullah) sambil berjoget dan menari-nari. Pertama kali saya mendengar tentang amalan ini ialah beberapa tahun yang lalu. Sebelumnya, saya agak keliru juga dengan apa yang disebut "tariq"...iaitu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui kaedah tertentu...serta kemudian bakal "diijazahkan' dengan zikr spesifik berdasarkan tahap 'kemuliaan' yang telah dicapai. Kemuncak dari amalan sedemikian ialah dengan mengangguk-anggukkan kepala, menari-nari dan berjoget...tetapi dipertahankan dengan istilah khusyu' mengingati Allah. Zaman belajar dahulu, saya juga agak nakal kerana sering tergelak apabila memerhati pelbagai gaya lenggokan badan dan anggukan kepala oleh mereka yang dikatakan 'khusyu'" berzikir itu.Ketika itu...saya turut merasakan betapa keadaan amalan sedemikian adalah sesuatu yang tidak kena dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sejak bersekolah dahulu...saya sering tercari-cari kelebihan mereka yang mengamalkan amalan menyucikan hati melalui amalan berkenaan. Saya dikhabar tentang pelbagai karamah dan keajaiban yang berlaku pada mereka yang dianggap 'mulia' itu. Ada yang yang menyebutnya sebagai ilmu tasauf...ada juga yang menyandarkan pandangan/ amalan melalui keyakinan terhadap individu yang dianggap 'alim/ soleh. Saya sering terfikir...apa kelebihan berkenaan berbanding amalan para sahabat Rasulullah SAW. Bukankah sahabat-sahabat paling dekat dengan baginda Nabi Muhammad SAW...malah mereka diiktiraf dan disebut pula di dalam Alquran...tetapi para sahabat tidak pula di"ijazah"kan dengan zikr berbeza antara satu sama lain demi menyatakan kemuliaan mereka. Tidak pernah pula tercatat bahawa mereka itu mengamalkan zikir sambil menggoyang-goyangkan badan akibat terlalu khusyu'....

Rasulullah dan sahabat tidak pernah mengajar kita dengan zikrullah sambil menggoyang badan secara keterlaluan sehingga dilihat sambil menari-nari atau berjoget. Naluri ketaqwaan dan keikhlasan (tauhid kepada Allah) pasti memberikan kita insight bahawa ibadah benar di sisi Allah adalah mengambil teladan sunnah yang sebenar. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menterjemahkan Islam dalam keadaan yang benar serta dipandu dengan bimbingan ilmu. Jauh dari syubhat serta cabaran dirabunkan syaitan dengan memandang mulia/ suci diri sendiri dengan amalan tertentu (apatah lagi jelasnya ada yang menokok tambah/ berdalih tanpa nas). Moga Allahmemelihara kita melalui penghayatan yang benar terhadap Alquran dan mendalami penjelasan melalui hadith yang sah.

Sunday, May 9, 2010

Memanfaatkan Majlis 'Reunion'

Sejak kemunculan teknologi komunikasi yang begitu canggih (telefon bimbit, sms, facebook, blog, twitter...rangkaian internet yang lebih mudah/ tanpa wayar dan sebagainya)...alhamdulillah, saya berpeluang bertemu semula dengan ramai kenalan yang pernah bersama-sama; bermula dari zaman sekolah rendah sehinggalah ke peringkat menengah dan universiti. Ia nyata memeriahkan suasana komunikasi serta peluang untuk kita menghargai seseorang yang pernah berkongsi kebaikan dan senyumannya dengan kita.

Majlis Reunion juga pada masakini sudah menjadi kebiasaan, menjadi platform untuk mengukuhkan persahabatan serta ikatan yang terjalin. Di mana dan bagaimana ia perlu dilakukan...terpulanglah pula kepada matlamat mengapa reunion berkenaan hendak diadakan. Meskipun jauh di dalam hati ini begitu rindu pada situasi silam yang pernah dilalui dengan penuh kenangan dan nostalgi namun berhadapan dengan realiti, kadang-kadang tidak memampukan sebahagian kita untuk sekadar hadir buat memeriahkan majlis. Di luar sana, terlalu banyak komitmen yang hendak dilakukan.

Saya bertemu semula dengan bekas rakan sekelas saya (Sdra Idris Yaacob) di sekolah menengah dalam Kelas Bahasa Arab yang sama-sama kami hadiri bersama keluarga masing-masing. Terfikir pula saya...dari kita sekadar bertemu untuk rutin bertanya khabar dan mengimbau kenangan ambil menimati juadah makanan, lebih wajar rasanya kita melakukan aktiviti buat memenuhi waktu-waktu pada usia seperti ini dengan suatu pengisian yang lebih bermanfaat.

Mungkin selepas ini saya akan cadangkan Majlis Reunion mengambil tempat di majlis ceramah agama, Malis Tadarus di Masjid, Kelas-Kelas Bahasa Arab, atau apa sahaja majlis yang bermanfaat. Jika ianya lebih pada skala yang kecil...dicadangkan sahaja majlis tazkirah atau usrah' atau setidak-tidaknya kita berbicara pada perkara yang mendatangkan pahala/ menjauhkan dosa. Saya sangat berharap supaya kita semua dapat menimba hikmah Alquran dan sunnah bersama-sama...jangan pula melayani kedua-duanya itu seperti seorang yang pekak, bisu dan buta...

Thursday, May 6, 2010

Doa saya buat mereka....

Sejak beberapa bulan kebelakangan, silih berganti saya menerima khabar mengenai keadaan kesihatan ibubapa kepada sahabat-sahabat saya yang perlu menerima rawatan serius. Saya tidak dapat menolak dari turut berasa dukacita, berkongsi rasa simpati serta kesusahan yang memerlukan ketabahan untuk dilalui.

Saya dahulu bersekolah di sekolah berasarama sebelum melanjutkan pelajaran di universiti tempatan. Disebabkan jauh dari keluarga, hubungan kami sesama teman dan sahabat yang menghuni di asrama begitu akrab...seperti adik beradik. Sehingga kini, saya tidak dapat melupakan insiden kami berkongsi air minuman dalam plastik dengan menggunakan straw yang sama, sama menjamah makanan, serta mengharungi 'stress' dan kegembiraan bersama-sama.Pada masa sakit dan demam, sahabat-sahabat inilah yang menjadi tempat bermanja dan meluahkan perasaan. Jika ada di kalangan ibubapa yang datang menziarahi kami, sayalah antara yang paling gembira sebab dapat berkongsi ration yang bakal diperolehi. Sesekali jika ada kelepasan cuti untuk bersama menziarahi rumah sahabat yang berhampiran dengan sekolah, ada waktunya kami merancang dan melaksanakannya...gembiranya dapat naik bas (berhenti-berhenti) bersama-sama.

Layanan ibu ayah sahabat2 saya terhadap kami seperti melayan anak sendiri.Lantaran itu...saya dapat rasakan kemesraan sebagai keluarga begitu erat terjalin. Dalam usia sedemikian, ianya sangat jelas dalam lembaran kenangan yang saya simpan. Sejuknya perasaan bila disambut dengan senyuman, dilayan seperti insan yang telah dewasa serta dihormati kehadiran kita sebagai tetamu sebaik-baiknya.

Pada masa ini, beberapa orang ibu dan ayah kepada sahabat-sahabat saya ini terlantar sakit akibat pelbagai penyakit. Ada di antara mereka yang masih kritikal di dalam wad, adapula yang perlu dirawat secara intensif serta perlu diberikan sokongan sepenuhnya dari segi emosi dan kasih sayang, tidak kurang juga yang di peringkat tidak boleh diubati melalui rawatan sedia ada......

Sesungguhnya...saya panjatkan doa seikhlasnya buat mereka, moga Allah ringankan kesakitan yang dihadapi serta digantikan kesabaran dengan pahala berganda.

Doa saya juga...untuk sahabat-sahabat semuanya. Kita hanya ada satu ibu dan ayah di dunia ini.... Sesungguhnya kita tidak ada pilihan lain untuk mengatasi saat-saat kesukaran apabila berhadapan dengan ujian ke atas insan yang sangat-sangat kita kasihi ini.....selain mengamalkan isi Alquran dan sunnah. Bantulah kami ya Allah.

Wednesday, May 5, 2010

Insiden mencurah sisa air minum di atas permaidani....

Terkejut juga apabila saya secara tidak sengaja mencerap perihal seorang ilmuwan yang berbuat sedemikian. Bekas 'water dispenser' yang diletakkan di bilik mesyuarat merupakan kemudahan untuk ahli Jabatan melegakan rasa dahaga atau mengalas perut pada waktu pejabat. Cuma kekurangannya, tiada sinki yang disediakan. Ini menyebabkan sesiapa yang ingin menggunakan kemudahan tersebut perlu berjalan sekejap keluar ke bilik air berdekatan untuk membersihkan cawan atau membuang sisa air yang tidak diperlukan.

Sejak beberapa minggu lepas, saya perhatikan permaidani di bilik mesyuarat itu basah. Sangka saya, mungkin agaknya terdapat kebocoran atau ketirisan pada mesin berkenaan. Ia mungkin perlu diberikan perhatian oleh mereka yang bertanggungjawab. Namun rupa-rupanya, mesin itu tidak mengalami apa-apa masalah teknikal. Ia sebenarnya berpunca dari manusia yang bergelar ilmuwan (sebahagiannya) yang bertindak seperti kanak-kanak yang belum bersekolah. Di hadapan mata saya sendiri jelas bagaimana beliau mencuci bekas minumnya lalu dicurahkan ke atas permaidani. Ooops...alangkah terkejutnya saya. Tidak pernah saya terfikir manusia yang 'highly educated' dan berkejaran merebut mata penyelidikan melalui penerbitan di journal berimpak tinggi di peringkat antarabangsa, tergamak berbuat demikian.

Ilmu sahaja sememangnya tidak dapat membimbing seseorang untuk menjadi manusia yang sebenarnya. Biarlah penulisan hebat dalam bidang tersohor...namun nilai sebagai insan bagi saya merupakan entiti yang perlu juga diberi keutamaan. Jika insiden remeh seperti membuang sisa air minum di tempat yang tidak sepatutnya, saya tidak pasti bagaimana pada isu yang lebih besar akan ditanganinya....

Saturday, May 1, 2010

Kongsi bahan penulisan

Sisipan bahan penulisan yang saya telah hantar untuk dinilai. Boleh juga di baca di laman al-fikrah.net.



Wahai Lelaki! Dengarlah Pandangan Saya

al-Fikrah.net

Oleh: Dr. Malina Osman (linos)

Nukilan Buat Ayahanda
(Semua bapa/pakcik seagama yang mesra kupanggil ayahanda)

Salam ayahanda, doa anakanda buat kesejahteraan dan ketenangan diri ayahanda. Moga hari-hari yang mendepani ayahanda dengan rindu tugas dan tanggungjawab diwarnai dengan kesabaran dan ketabahan; serta kecekalan untuk ayahanda menghadapinya. Anakanda titipkan di sini sedikit rasa hati anakanda…titipan suara resah yang lahirnya dari kedukaan sekeping hati. Naluri hati yang mencari-cari jalan pengislahan tetapi kelu dilambung cabaran, Terasa bagai hampir karam dihentam gelombang.

Ayahanda, dunia hari ini terus bergolak dengan gegak gempita yang seakan tidak berkesudahan ritmanya. Konotasi yang menyemarakkan kegusaran tentang masa depan ummah …semakin tidak keruan kelihatannya. Gundahnya kian terbentang di hadapan mata anakanda. Perit untuk ditelan namun itulah kenyataan. Kita yang hidup sebagai muslim di tanahair yang menobatkan Islam sebagai agama yang dijunjung ini kian terseret dalam emosi kita yang kian sukar untuk kita mengertikan. Gamam dan gulana terasa di jiwa. Dari dekat dan kejauhan, anakanda menyaksikan betapa generasi majoriti anak-anak yang kini terus terkulai, jenayah sosial yang menjadi-jadi, fitnah perebutan dan penipuan sering menjadi berita, jurang kekayaan yang semakin melebar serta pelbagai hasilan yang menyesakkan .

Ayahanda, laporan akhbar (1) yang menuliskan lebih 17,000 zuriat hasil perzinaan dari bangsa yang mengaku muslim ini (didaftarkan secara rasmi pada tahun 2009) benar-benar membuatkan anakanda begitu tersentak. Episod itu berseIang seli dengan kejadian pembunuhan dan pembuangan anak-anak, Laporan demi laporan kekejaman rakus manusia berjiwa raksasa. Masyarakat hari ini menyaksikan siri demi siri hasilan jenayah sosial yang sangat menyayatkan. Saban waktu apabila semuanya itu telah menjadi nyata, maka bergegarlah media-media utama, bergema suara pemimpin dan pemegang kuasa, tertumpulah seketika pandangan kita pada episod yang penuh luka. Namun ayahanda, itu semua merupakan hasil akhir dari kronologi suatu proses amalan yang memerlukan waktu yang begitu panjang. Perubahan sesuatu tingkahlaku berlaku bukan dalam tempoh sekelip mata…hasilan itu tidak akan terjadi secara mendadak. Ianya perlu diaruh pula oleh persekitaran yang begitu kental tanpa rintangan.

Anakanda begitu gusar kerana selama ini anakanda tidak tenteram untuk mengesahkan jalan penyelesaiannya. Apa yang dibentangkan selama pengetahuan anakanada hanyalah keterukan sesuatu masalah; tetapi langkah-langkah penambahbaikan bagi anakanda terus kabur dan sukar dipastikan. Terkadang anakanda melihat ianya dibuat dalam suasana yang penuh publisiti serta mengikut musim.

Ayahanda, anakanda tercari-cari ikon permata seusia ayahanda untuk memulakan segalanya. Namun dalam banyak ketika, anakanda gagal menemui ayahanda. Di manakah ayahanda sebenarnya? Nyatakah agaknya bumi yang ayahanda pijak? Masukkah agaknya berita-berita tentang masyarakat kita ini yang kian tersadung lemah dimamah kerakusan liar tidak terarah. Di manakah pula kebanyakan pemuda muslim yang seharusnya memimpin masyarakat ke jalan bahagia. Isi-isi penjara dan pusat pemulihan dadah…majoritinya ialah insan sejenis dan seagama dengan ayahanda. Sebilangan mereka pula terkandas di jalanraya…merempit di tengah jalan mencari kepuasan dan ketenangan hormon biologinya.

Ayahanda jangan pula terkejut jika anakanda khabarkan tentang bilangan generasi pewaris nama ini yang dikatakan semakin pupus di menara gading. Ianya boleh dibilang dengan sebelah mata anakanda. Dalam kebanyakan kursus utama, seperti Doktor Perubatan, kadarnya kurang 30% berbanding jumlah dari keseluruhan pelajar perempuan. Kini, terbentang pula di dada-dada akhbar betapa kebanyakan ketua jabatan dan ketua sebuah organisasi gergasi ialah masyarakat wanita; kesan yang sangat bermakna dalam konteks perubahan dalam menentukan polisi negara.
Ayahanda, anakanda berpendapat insan lelaki mesti mengisi tugas penting membina kekuatan masyarakat. Mereka mesti ke hadapan sambil dibantu oleh tangan-tangan gemalai insan wanita seperti anakanda. Mendidik anak-anak dalam masyarakat, pada tanggapan anakanda perlu dikongsi secara saksama, Jangan kita terkeliru dengan ungkap cerita bahwa beban mendidik itu terpikul pada bahu insan perempuan melalui pepatah ‘tangan yang menghayun buaian itulah yang menggegarkan dunia’.

Dalam meneladani banyak suasana, anakanda perhatikan terlalu banyak pendapat dan cerita. Ada yang wujudnya tambah mengelirukan pula sesama kita. Namun yang pasti, kusam nurani anakanda bila menyedari ada di kalangan manusia seusia dan sejenis ayahanda memilih lagak seperti manusia yang tidak bersedia untuk dipimpin ilmu. Galak pula dengan cerita dan kisah tentang tongkat ali dan kopi duda. Sebahagiannya leka dengan bermain dam dan rhetorik seloka. Majoritinya tidak lalai membeli asap rokok yang sia-sia. Fokus kejantanan pula diwar-warkan tanpa malu dan segan. Lihatlah iklan-iklan di majalah, media internet mahupun di radio dan papan iklan…kisah kehebatan serta naluri keintiman disuarakan tanpa saring dan lapik bahasa. Pantang pula dengan kisah sesiapa yang beristeri dua atau seterusnya; lagak seperti burung unta yang memanjangkan leher demi mengesahkan cerita. Berpoligami itu sunnah, tidak perlu pada bukti dan hujah. Tetapi minda yang tidak fokus terhadap da’wah islah, terus bergelut mencari justifikasi-justifikasi berpoligami meskipun itu sepatutnya tidak dibahaskan panjang sehingga mengelirukan sesiapa yang mendengarnya.

Mungkinkah agaknya ayahanda, minda manusia kebanyakan lelaki itu difokuskan pada kehendak biologi kehidupannya; sehinggakan nanar tentang sesuatu yang menjadi tujuan dan objektif kehidupan yang Allah ciptakan. Membiarkan pula keteguhan ilmu dilurut tanpa bersambut…..terus berterabur tidak disusur. Maaf jika anakanda tersilap menelah. Insan seagama kita di bumi Palestin dan di tempat yang Islamnya tertindas kini bermandi darah mempertahankan maruah dan harga Islam yang benar. Dipancung dan disagat emosi dan fizikalnya…tetapi kita di sini, bermandi dengan bundar-bundar keindahan yang dijustifikasi menurut nas yang difikir benar.

Di pentas didikan agama pula , ustaz-ustaz muda dan angkatan seusia ayahanda bercakaran merebut mikrofon. Ada pula yang terlalu bijak sehingga fokus terhadap pengislahan masyarakat diganti dengan drama bidas membidas; hentam menghentam serta diwarnai pula oleh saman menyaman. Sifat ketaksuban di dalam garapan ilmu dibutakan syaitan sehingga memandang indah terhadap serangan dan hentaman terhadap individu sesama muslim. Semuanya dirasakan lebih mulia dari berda’wah di di atas pentas sebenar iaitu untuk mengajak da’wah menyeru manusia terhadap mengabdikan diri kepada Allah sahaja….. amar ma’ruf nahi munkar. Lemahnya garapan terhadap isu dalam masyarakat sehingga kelihatannya dipandang begitu remeh, ..seperti lalat yang ditepis tatkala hinggap di hidung. Bolehkah agaknya ayahanda berikan pandangan tentang usaha terbaik generasi ayahanda yang boleh disumbang untuk menambahbaik keadaan ini. Saban diskusi yang anakanda hadiri, pentasnya diwarnai oleh hujah mencantas karisma dan amalan individu tertentu. Masing-masing kelihatannya terlalu bijak menyisih pandangan dengan gumpalan bukti dan satah nas pelbagai dimensi; lalu tambah mengelirukan minda insan seperti anakanda.

Jika ilmuwan itu perlukan karismanya, bukankah nilaian karisma muslim yang terbaik itu adalah dengan mengamalkan teladan sunnah dan sahabat rasulullah saw. Acuan kelayakan perlu dinilai pada kriteria sedemikian. Pelikkan ayahanda, …jika kita terlantar sakit, doktor paling pakar itulah yang akan mengambil tempat dan peranan, bukan pembantu perubatan berkelulusan diploma atau attendan hospital berkelulusan sijil yang membuat rawatan. Tetapi dalam bidang pendidikan agama sebagai cara hidup, mereka yang sekadar mengaji beberapa kitab (yang entah ada sandaran sahih atau tidak) turut berdebat seperti ulamak agung. Bijak pula menyindir dan menyerang, entah apa objektifnya, anakanda pun pening memikirkannya. Begitulah sorotannya….dan anak-anak warisan kita ini kian terbiar dan longgar.

Ayahanda, anakanda diajar untuk tidak menongkah arus. Besar kesannya jika kita melawan kebiasaan majoriti; atau cuba berlagak jaguh yang pandai terbilang. Keharmonian perlu dipelihara; perpaduan jangan dilebur oleh emosi kemarahan akibat tidak sekata. Tetapi ayahanda, semestikah yang majoriti itu berpihak di landasan yang benar? Jika demokrasi itu berdasarkan majoriti, banyak contoh mereka yang dipilih dari sistem demokrasi bukanlah pilihan yang terbaik. Bagi anakanda adalah tidak betul jika kita menyimpulkan yang majoriti itu adalah merupakan pihak yang benar. Di dalam Alquran, ada peringatan Allah tentang berhati-hati terhadap apa yang dinamakan majoriti (2). Jika majoriti dari kita mengatakan amalan kebiasaan kita yang bercampur aduk antara ciptaan selepas sunnah adalah baik, anakanda berpendapat ianya merupakan sesuatu yang jauh tersasar. Bagus sangatkah kita untuk mengatakan ibadah kita lebih baik dari Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya sehingga sanggup terus mempertahan amalan yang tidak pernahpun diamalkan mereka? Mengapa pula sandaran majoriti ini menjadi punca perbalahan kita, menyebabkan pentas rostrum yang seharusnya merupakan platform mendidik indidivdu masyarakat, terus bergelumang dengan peperangan lisan.…yang terus menyakitkan hati dan melukakan perasaan.

Ayahanda, lisan pendita anakanda bukan ingin bertelagah di alam teori dan fakta. Jangan pula dikelamkan pandangan anakanda ini dengan anggapan bahawa anakanda sekadar ingin mencari salah dan khilaf sesiapa. Tinta anakanda terikat pada objektif yang telah Allah sampaikan tentang hakikat penciptaan kita dan kewujudan kita di dunia yang fana’ ini (3). Ini adalah sekadar bicara anakanda untuk didengarkan. Kegusaran anakanda terus membara, apakah agaknya bakal terjadi 5 - 10 tahun akan datang jika tiada usaha yang tersusun mengatasinya?
Kebijaksanaan ayahanda adalah ikon dalam hairaki kebanggaan dan penghormatan masyarakat. Hitam kata ayahanda, hitamlah kata suasana. Bonda-bonda serta insan perempuan seperti anakanda tidak mampu menyinsing lengan sendirian. Bantulah anakanda dalam pengislahan ummah ini……

Rujukan:
1. Berita Minggu 14 Mac 2010
2. Surah Al’An’am ayat 116
3. Surah Az Zariyat: 56