Seingat saya, ketika saya di zaman kanak-kanak dahulu...setiap kali ibu atau arwah abah saya membuat keputusan pulang ke kampung, biasanya kami yang belum lagi bersekolah akan di bawa bersama. Abang-abang dan kakak-kakak saya akan ditinggal sementara serta ditinggalkan untuk abang atau kakak yang paling tua dengan pesan untuk menjaga adik-adik dan rumah. Ketika itu, jika pulang ke kampung, kami hanya menaiki bas. Mujur jika ada bas ekspress, dalam banyak ketika, kami biasanya menaiki bas tempatan yang perlu ditukar setiap kali tiba ke sesuatu transit sebelum sampai ke destinasi. Saya takkan lupa dengan pengalaman saya yang akan membaca setiap papan tanda atau batu penanda di tepi jalan...berapa jauh lagi saya akan sampai ke tempat yang dituju. Saya juga begitu berminat menghafal lanskap jalan dan kampung di tepi jalan serta ilustrasi ladang dan kebun...sebagai pendamai dalam perjalanan yang agak panjang. Ketika itu, sangat bertuah jika dapat menumpang menaiki kereta saudara-mara yang lebih berada.
Saya diasuh menghormati saudara mara yang lebih tua...apatah lagi datuk dan nenek tempat kita tumpang bermanja. Tidak ada istilah bosan jika pulang ke kampung...sebabnya saya begitu menantikan saat-saat memancing bersama arwah nenek, menumpang basikal tua bersama arwah atuk, berlari di batas sawah atau berkubang di tali air. Saya juga gemar mengutip batu merah di halaman rumah mereka...mengumpul di dalam baju yang saya gulung..kemudian melontar perlahan-lahan di alur kebun/ sawah bersama adik saya yang masih kecil ketika itu. Kenangan meniti pokok kelapa condong, mengutip biji getah/ buah letup-letup atau berendam di dalam kolah...semuanya merupakan pengalaman yang begitu sentimental untuk diri saya pada usia seperti ini.
Cuma saya tak begitu faham dengan situasi ini...rata-rata keluarga pada hari ini mempunyai 3 buah kereta. Kebanyakannya mempunyai MPV...dah tak susah mengejar bas ke sesuatu destinasi. Tidak lagi berdedai dengan beg atau anak-anak yang masih kecil. Congakan saya, pastilah pulang ke kampung bukan lagi masalah besar, apatah lagi pada hujung minggu. Namun saya perhatikan, ramai ibubapa yang lebih gemar tidak membawa anak bersama. Dan yang lebih mengejutkan ...anak-anak bukan sahaja tidak dibawa bersama tetapi ditinggalkan untuk tidur di ruman kawan-kawan anaknya...
Di mana agaknya ikon datuk dan nenek dalam sebuah keluarga?
No comments:
Post a Comment