Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Thursday, May 27, 2010

Rencam Berita....

Subsidi berterusan: M'sia bankrap 9 tahun lagi
Mei 27, 10 2:28pm

Malaysia menghadapi risiko menjadi negara Greece kecuali rakyatnya menelan hakikat pahit bahawa pengurangan subsidi akan menyaksikan harga petrol, makanan, elektrik dan beberapa barang keperluan tidak dapat dielakkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) - sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengurangkan bebanan subsidi negara sambil menerangkannya kepada rakyat berkata hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi diteruskan.

Subsidi kini merupakan 54 peratus daripada KDNK negara.

Namun semua cadangan pengurangan subsidi berkenaan belum dilulus atau dipersetujui oleh kerajaan.

"Kita tidak mahu menjadi seperti Greece, akhirnya," kata Indris merujuk kepada ahli Kesatuan Eropah itu yang hutangnya menyebabkan ketidak-tentuan pasaran antarabangsa.

Rasionalisasi subsidi untuk pertumbuhan nyata

Malaysia membelanjakan 15.3 peratus daripada perbelanjaan persekutuan bagi menampung subsidi pada bajet 2009 yang menyaksikan defisit berada pada peringkat tertingginya dalam dua puluh tahun.

Katanya, Malaysia perlu merasionalisasikan subsidi untuk bergerak ke depan secara lebih ekonomi, selain menggalakkan pemuliharaan yang lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan.

Menurut Idris, Malaysia juga perlu mengikuti perkembangan terkini arah aliran pengurangan subsidi global.

"Bayangkan, rakyat Somalia sendiri kena bayar harga yang lebih tinggi untuk petrol berbanding rakyat Malaysia," katanya pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Makmal itu yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang hari ini, dilangsungkan bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi.

Idris berkata, mengikut perangkaan daripada Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), perbelanjaan subsidi Malaysia berdasarkan peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal antara 2006 dan 2009, adalah pada 11 peratus.

Ia, katanya, hampir tiga kali ganda berbanding negara bukan OECD seperti Filipina dan 55 kali lebih tinggi berbanding negara OECD seperti Switzerland.

"Bil subsidi kerajaan tidak berkekalan, terutama berdasarkan defisit bajet dan hutang kerajaan yang semakin meningkat. Ia lebih tinggi berbanding Indonesia pada 28 peratus dan semakin menghampiri Filipina pada 62 peratus," katanya.

Kaya juga dapat subsidi

Menurut Idris, budaya subsidi mempunyai kesan negatif, dengan subsidi kerap dinikmati mereka yang tidak berhak selain tertakluk kepada ketirisan dan penyalahgunaan dan pada masa yang sama menggalakkan gangguan pasaran selain menggalakkan penggunaan berlebihan hasil daripada lebihan pengeluaran.

Beliau berkata, kira-kira 97 peratus daripada subsidi Malaysia diagihkan secara asas "menyeluruh".

"Ia diberi kepada setiap orang tanpa mengira paras pendapatan, sebagai contoh, memberi subsidi untuk pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perkhidmatan perubatan, petrol, gula dan minyak masak, selain bantuan kebajikan dan elaun," katanya.

Kerajaan, dalam kerangka kerja merasionalisasikan subsidi, antara lain akan memberi tumpuan terhadap barangan utama bagi mencapai penjimatan yang lebih besar seperti bahan api, gas dan tol dan pada masa yang sama meneruskan subsidi pendidikan, sebagai pelaburan modal insan.

Usaha akan dibuat bagi mengurangkan pembaziran dan penyalahgunaan.

Menurut sumber yang dipetik Reuters, jemaah menteri pada Rabu lalu membincangkan cadangan pengurangan subsidi berkenaan tetapi tiada keputusan dibuat.


Harga petrol mungkin dinaikkan 15 sen tahun ini

Mei 27, 10 12:00pm
Harga petrol mungkin dinaikkan buat permulaannya 15 sen bagi setiap liter daripada harga sekarang pada tahun ini.

Harga petrol RON 95 ketika ini dijual pada harga 1.80 ringgit bagi setiap liter.

Harga baru itu berikutan cadangan sebuah badan yang bertanggungjawab menasihatkan kerajaan berhubung cara-cara mengurangkan subsidi, iaitu Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).

Cadangan itu dibuat pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi dalam usaha awal kerajaan untuk mengurang defisit dalam belanjawan negara yang kini pada tahap tertinggi bagi tempoh 20 tahun.

Mengikut cadangan yang dikemukakan kepada lembaga penasihat itu, harga petrol akan dinaikkan tahun ini dan diikuti dengan dua lagi kenaikkan pada kadar 20 sen setiap liter setiap kenaikkan pada 2011 dan dua lagi kenaikan, juga pada kadar 20 sen bagi setiap kenaikkan pada 2012.

Sepanjang 2013-2015, kenaikan harga minyak dijangka bergerak perlahan dan pada penghujung 2015, harga RON95 diandaikan berada pada 2.60 ringgit bagi setiap liter.

Bagaimanapun rancangan kenaikkan yang dicadangkan itu masih belum diluluskan oleh kerajaan.

Ramalan itu adalah berdasarkan harga minyak mentah pada harga $73.06 bagi setiap tong pada 2011 dan $79.41-$94.52 bagi 2013-2015.

Cadangan pengurangan subsidi

Kerajaan juga dijangka akan menaikkan harga petrol, gas dan tol lebuhraya di bawah rancangan pengurangan subsidi selama lima tahun yang dibuat oleh Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), sebuah badan yang menasihatkan kerajan mengenai cara-cara mengurangkan subsidi.

Bagaimanapun belum ada keputusan yang dibuat dan kerajaan dijangka tidak akan bertindak dalam jangkamasa terdekat ini.

Pengurangan dan pemotongan subsidi itu juga membabitkan 12 perkara:

Petrol

Harga petrol dinaikan 15 sen pada Jun-Dis 2010, diikuti kenaikan 10 sen setiap enam bulan antara Jan 2011-Dis 2012 dan jumlah kenaikkan yang kecil bagi tahun-tahun berikutnya.

Harga petrol pada

2011 - RM2.16
2012 - RM2.20
2013 - RM2.34
2014 - RM2.52
2015 - RM2.60

Tol

Perbincangan semula dengan lebihraya pada 2010 dan dengan LDP pada 2013.

Cadangan - semua perjanjian konsesi akan diteruskan tanpa pemberian subsidi, yang bakal menyebabkan kenaikkan harga antara 10-67 peratus pada 2010.

Gas

Harga gas dinaikkan pada kadar tetap RM3/MMBTU bagi setiap enam bulan daripada harga sekarang bagi sektor tenaga dan sektor bukan tenaga.

Kenaikkan harga gas pada RM3/MMBTU setiap enam bulan serentak dengan kenaikkan tarif elektrik 1.6 sen/kWh bagi setiap enam bulan.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Khamis Mei 27, 2010
Kekayaan 40 Individu Terkaya Malaysia Naik 42 Peratus Kepada RM168 Bilion

SINGAPURA: Harta semua 40 individu terkaya negara kini bernilai AS$51 bilion (RM168 bilion), meningkat daripada AS$36 bilion (RM118b) tahun lepas, dan lebih tinggi daripada rekod sebelum ini iaitu sebanyak AS$46b (RM151b) yang dicatatkan pada 2008.

Menurut Forbes Asia dalam Senarai Terkaya Malaysia 2010 yang diterbitkan hari ini, kekayaan bersama mereka telah meningkat 42 peratus, didorong oleh pertumbuhan ekonomi negara.

Peningkatan keseluruhan kekayaan juga sejajar dengan kenaikan 32 peratus di Indeks Kompposit Kuala Lumpur dan kenaikan 11 peratus Ringgit Malaysia berbanding dolar AS sepanjang 12 bulan ini, kata Forbes.

Tempat pertama senarai masih lagi Robert Kuok Hock Nien yang memegang kedudukan itu semenjak 2006 apabila Forbes Asia mula menyenaraikan 40 individu terkaya Malaysia.

Forbes berkata kekayaan Kuok meningkat kepada AS$12b (RM39b), peningkatan AS$3b (RM10b) sepanjang tahun lepas.

Ananda Krishnan pula kekal pada tempat kedua dengan AS$8.1b (RM27b), peningkatan AS$1.1b (RM3.6b) daripada tahun lepas.

Syarikatnya, Maxis Communications, pembekal perkhidmatan telefon mudah alih terbesar negara, disenarai awam tahun lepas dan mengumpul AS$3.4b (RM11b) dalam IPO terbesar negara.

Masih di tempat ketiga adalah Tan Sri Lee Shin Cheng dengan AS$4.6b (RM15b), lebih tinggi daripada AS$3.2b (RM10b) tahun lepas.

Jutawan berusia 71 tahun itu mengetuai IOI Group, salah satu penggendali utama penapisan minyak sawit. Syarikat itu dilaporkan melabur AS$300 juta (RM987j) untuk mengembang.

Forbes berkata bukan hanya tiga jutawan itu menyaksikan peningkatan pada kekayaan mereka, bahkan 27 orang lain dalam senarai itu juga mencatatkan pertumbuhan pada nilai bersih mereka, terutamanya jutawan teknologi Goh Peng Ooi, disenaraikan pada No. 16, yang mengalami peningkatan peratusan terbesar.

Kekayaannya meningkat kepada AS$425j (RM1,398j) daripada AS$112j (RM368j) sebelum ini, satu peningkatan sebanyak 280 peratus.

Forbes berkata tahun ini, nilai bersih minimum sebanyak US$110j (RM362j) diperlukan untuk layak memasuki senarai itu berbanding AS$90 (RM296j) tahun lepas.

Ia berkata bilangan jutawan juga telah meningkat dengan kini seramai 10 jutawan mempunyai nilai bersih sepuluh angka berbanding sembilan, tahun lepas.

Individu baharu yang memasuki senarai ini termasuk Datuk Shahril dan Shahriman Shamsuddin yang berkongsi tempat ke-23 dengan nilai bersih AS$270j (RM888j).

Kedua-dua mereka mempunyai kepentingan sama banyak dalam Sapura Group, yang diasaskan oleh ayah mereka.

Satu lagi wajah baharu ialah kontraktor Datuk A K Nathan, 54, yang disenaraikan pada tempat ke-24 dan bernilai AS$250 juta.

Syarikatnya, Eversendai, terlibat dalam banyak pembinaan di Timur Tengah termasuk Burj Khalifa di Dubai.

Forbes berkata tiga individu kembali tersenarai selepas terkeluar sebelum ini, iaitu Datuk Seri Nazir Razak, seorang ketua perkhidmatan kewangan di CIMB.

Beliau disenaraikan pada tempat ke-32 dengan nilai bersih US$145 juta.

Senarai 10 individu terkaya di Malaysia ialah: 1) Robert Kuok Hock Nien; AS$12 bilion 2) T. Ananda Krishnan; AS$$8.1 bilion 3) Tan Sri Lee Shin Cheng; AS$4.6 bilion 4) Puan Sri Lee Kim Hua; AS$3.9 bilion 5) Tan Sri Quek Leng Chan; AS$3.85 billion 6) Tan Sri Teh Hong Piow; AS$3.8 bilion 7) Tan Sri Yeoh Tiong Lay; AS$2.5 bilion 8) Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary; AS$1.7 bilion 9) Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun; AS$1.6 bilion 10) Tan Sri Tiong Hiew King; AS$1.2 bilion

Senarai penuh individu terkaya Malaysia boleh didapati dalam terbitan Jun 2010 Forbes Asia yang telah mula dijual sekarang. - BERNAMA

Cuepacs terkejut dengan anugerah RM1 juta
Mei 27, 10 2:38pm
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang terperanjat dengan pemberian hadiah RM1 juta kepada pemenang Anugerah Inovasi Perdana Menteri menyifatkan langkah itu sangat bagus untuk menaikkan semangat penjawat awam.

"Langkah ini sangat dialu-alukan. Ini juga adalah kali pertama dalam sejarah perkhidmatan awam negara jumlah begitu besar diberikan kepada jabatan yang memperkenalkan inovasi dan mempertingkatkan perkhidmatan," kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin hari ini.

Beliau mengulas kejayaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memenangi anugerah itu yang disertai dengan hadiah wang tunai RM1 juta.

Ketika mengumumkan hadiah itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, terserah kepada ketua jabatan bagaimana wang tersebut dibelanjakan.

Ahmad Shah mencadangkan supaya agensi itu menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada semua ketua unit untuk mencari kaedah terbaik membelanjakan wang tersebut.

Satu daripadanya ialah menubuhkan makmal bagi menghasilkan lebih banyak inovasi, kata beliau.

Ahmad Shah berkata, selain memberikan insentif kewangan, kerajaan juga boleh menambah baik perkhidmatan termasuk meningkatkan prospek kenaikan pangkat sebagai galakan kepada pekerja.

Buat masa sekarang, terdapat terlalu banyak halangan yang mengekang penjawat awam daripada menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugas mereka, antaranya ialah tahap kepimpinan ketua jabatan yang lemah.

"Kita menerima banyak aduan daripada anggota bahawa sesetengah ketua jabatan terlalu konservatif dan tidak menghargai inovasi," katanya.

Beliau juga berharap Jabatan Perkhidmatan Awam memastikan kelompok ketua jabatan sedemikian dipantau supaya mereka tidak menjadi halangan kepada pelaksanaan polisi kerajaan yang mahu membawa tranformasi dalam pentadbirannya.

- Bernama

1 comment:

nur.najib said...

makin susah la hidup di malaysia gamaknya