Terkejut juga apabila saya secara tidak sengaja mencerap perihal seorang ilmuwan yang berbuat sedemikian. Bekas 'water dispenser' yang diletakkan di bilik mesyuarat merupakan kemudahan untuk ahli Jabatan melegakan rasa dahaga atau mengalas perut pada waktu pejabat. Cuma kekurangannya, tiada sinki yang disediakan. Ini menyebabkan sesiapa yang ingin menggunakan kemudahan tersebut perlu berjalan sekejap keluar ke bilik air berdekatan untuk membersihkan cawan atau membuang sisa air yang tidak diperlukan.
Sejak beberapa minggu lepas, saya perhatikan permaidani di bilik mesyuarat itu basah. Sangka saya, mungkin agaknya terdapat kebocoran atau ketirisan pada mesin berkenaan. Ia mungkin perlu diberikan perhatian oleh mereka yang bertanggungjawab. Namun rupa-rupanya, mesin itu tidak mengalami apa-apa masalah teknikal. Ia sebenarnya berpunca dari manusia yang bergelar ilmuwan (sebahagiannya) yang bertindak seperti kanak-kanak yang belum bersekolah. Di hadapan mata saya sendiri jelas bagaimana beliau mencuci bekas minumnya lalu dicurahkan ke atas permaidani. Ooops...alangkah terkejutnya saya. Tidak pernah saya terfikir manusia yang 'highly educated' dan berkejaran merebut mata penyelidikan melalui penerbitan di journal berimpak tinggi di peringkat antarabangsa, tergamak berbuat demikian.
Ilmu sahaja sememangnya tidak dapat membimbing seseorang untuk menjadi manusia yang sebenarnya. Biarlah penulisan hebat dalam bidang tersohor...namun nilai sebagai insan bagi saya merupakan entiti yang perlu juga diberi keutamaan. Jika insiden remeh seperti membuang sisa air minum di tempat yang tidak sepatutnya, saya tidak pasti bagaimana pada isu yang lebih besar akan ditanganinya....
No comments:
Post a Comment