Pertama kali saya singgah di Bandar Diraja Kuala Kangsar semalam, selepas pulang menghantar rombongan pengantin yang merupakan anak kepada jiran saya di Bangi. Indah sekali binaan Masjid Ubudiyah, tatah marmar dan juga susunan struktur yang mengkagumkan. Jika tidak silap, ia merupakan satu dari masjid yang penuh sejarah di negeri Perak ini. Bagaimanapun, jemaah kelihatannya lebih ramai di Masjid Ridzwaniyah (sebuah masjid bersebelahan MCKK).
Namun, hati saya masih terkenang akan keuzuran sebuah surau yang juga sempat saya singgah untuk menunaikan solat. Sebuah surau yang pembinaannya dirasmikan oleh Ahli Parlimen. Namun sekitarannya dan kebersihan didalamnya, begitu uzur. Bagi saya, kebersihan rumah Allah itu merupakan kewajipan kita untuk menguruskannya. Mahu sahaja saya mencari plastik sampah, penyapu dan juga alatan yang boleh membersihkan setting surau tersebut.
Indah atau tidaknya sesebuah masjid/ surau tidak ditentukan oleh hiasan material tetapi unsur keimanan yang diterjemahkan dalam ibadah yang bersih dan suci. Hati saya sekali lagi terpukul apabila menyaksikan sekumpulan anak muda yang leka bermain pingpong di luar surau tersebut tatkala imam dan jemaah bersama-sama menunaikan solat isya'....
No comments:
Post a Comment