Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Sunday, October 4, 2009

Ulul Albab....

Istilah ulul albab merupakan istilah yang sering dirujuk kepada golongan cerdik pandai; ada pula yang memberikan tanggapan ianya ditujukan kepada individu yang serba boleh iaitu mampu menguasai bidang-bidang utama di samping menghafal alquran/ mempunyai pengetahuan tentang alquran. Ada juga pandangan yang merujuk ulul albab sebagai para ilmuwan ataupun ahli akademik.

Setiap kali saya terbaca istilah ulul albab di dalam alquran, bagai ada perasaan yang tidak menentu melanda di dalam hati. Menyedari ceteknya bidang dan kemampuan ilmu yang saya ada berbanding dengan fokus sebenar yang sepatutnya ditumpukan dalam menegakkan ketauhidan terhadap Allah SWT. Biarpun agaknya ratusan buku dan ribuan artikel yang diterbitkan pernah saya baca, banyak lagi sebenarnya mutiara ilmu yang masih belum diketahui. Istilah ulul albab itu mempunyai definisi yang tersendiri. Di dalam surah ArRa'd (surah ke 13, ayat 19 -22 ) menjelaskan ciri-ciri ulul albab berkenaan.

Ulul albab adalah mereka yang berfikir tentang ayat-ayat Allah;golongan ini tidak sama dengan mereka yang buta hati dan akal fikirannya. Ulul albab juga merupakan golongan yang menyempurnakan janjinya dengan Allah, tidak melanggar perjanjian, menghubungkan apa yang diperintahkan Allah untuk dihubungkan, takut kepada Tuhannya dan takut mendapat hisab yang buruk. Mereka juga adalah orang yang bersabar mengharap keredhaan Allah (walau terpaksa berhadapan dengan kecaman orang ramai), melaksanakan solat, menginfakkan rezeki secara terang mahupun rahsia, dan menolak kejahatan dengan kebaikan.

Ulul Albab berperanan membimbing manusia ke jalan yang benar, matlamat hanya untuk Allah. Tidak ada satu ciripun bagi golongan ulul albab ini yang meletakkan status, kehebatan KPI (key performance indicator) atau kehebatan dalam akademik. Sama-sama kita bermuhasabah tentang penyediaan bekal kita bagi suatu perjalanan tidak berpenghujung selepas mati. Kehidupan didunia bakal diakhiri dengan kematian; namun permulaan selepas itu merupakan kehidupan yang tidak akan berakhir.

No comments: