Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Monday, November 30, 2009

Penyelidikan BUKAN semata-mata pengumpulan data

Salah sebuah kolej yang menempatkan pelajar Pra Universiti kini menghantar pelajar-pelajar mereka untuk membuat penempatan bagi tujuan menjalankan penyelidikan. Penyelidikan berkenaan dikatakan suatu yang wajib dijalankan bagi membolehkan mereka mendapat tempat di Universiti tajaan badan yang merupakan penaja utama Kolej tersebut.

Kira-kira sebulan lepas, saya menerima proposal dari pelajar kolej tersebut mengenai tajuk yang menarik minat mereka. Cumanya, saya terkejut dengan topik yang diusulkan serta kekangan masa yang begitu singkat (iaitu sebulan). Topik pelajar tersebut merupakan ujian secara in-vivo kesan suatu tumbuhan terhadap sel leukaemia; sepanjang pengetahuan saya memerlukan proses yang agak panjang serta keperluan pembiayaan puluhan ribu. Isu yang ingin saya kongsikan ialah:

1. Pelajar berkenaan di peringkat asas pra-U; setaraf dengan kursus matrikulasi/asasi; bukankah wajar mereka ini diperkuatkan asas Bahasa Inggeris dan juga asas ilmu pengetahuan sains yang berkaitan.

2. Penyelidikan bukan suatu posting sandaran yang boleh dibuat secara sepintas lalu; ia memerlukan komitmen dan kefahaman untuk melaksanakannya.

3. Penyelidikan suatu proses yang melibatkan beberapa 'milestones'; bukan sekadar memberikan tajuk, mengumpul data dan kemudian membuat laporan

4. Pelajar mesti diajar asas penyelidikan terlebih dahulu, yang pada pengalaman saya memerlukan satu semester pengajian termasuk menulis dan membentang proposal, asas biostatistik dan juga pengetahuan mengenai kepelbagaian penyelidikan (paling minima di peringkat Ijazah pertama: satu semester menyedia dan membentang proposal dan satu semester lagi untuk pengumpulan data dan penulisan thesis, oleh itu ambil masa selama setahun).

5. Kesemua subjek berkenaan akan diajar secara sempurna semasa peringkat Ijazah Pertama; sehingga pelajar akhirnya akan menulis thesis serta menghantar artikel penyelidikan mereka untuk diterbitkan; ini menjadi sebahagian dari syarat untuk mereka bergraduasi. Kenapa pula dibebankan di peringkat Pra-Universiti dengan attachment sementara menjalankan penyelidikan ini?

6. Tiada peruntukan kewangan dari pihak pengurusan bagi membiayai penyelidikan yang akan dijalankan, sekadar mengharap ehsan dari pensyarah di universiti yang sudah mempunyai geran penyelidikan.


Saya sempat menghubungi tenaga pengajar yang bertanggungjawab menyelaraskan aktiviti penyelidikan berkenaan, yang objektifnya saya sendiri keliru. Ia dikatakan sekadar pendedahan tetapi mempunyai sasaran untuk diterbitkan di dalam buletin kolej,mereka berminat untuk turut menerbitkannya dalam penerbitan saintifik, itulah sebabnya mereka menghantar pelajar membuat penyelidikan di universiti.
Berkali-kali diulangkannya, "Doktor ada tak projek yang dah dijalankan yang mana pelajar berkenaan boleh datang dan kumpulkan data?"

Penyelidikan bukan sekadar aktiviti tempelan untuk mengutip data....tetapi ia seni yang menggunakan asas pembacaan yang jitu serta melahirkan pemikiran dan jiwa yang mantap untuk mengukuhkan lagi tradisi keilmuan; yang mana hasil akhirnya untuk dimanfaatkan kebaikannya. Ia juga disandarkan oleh ketaqwaan untuk menyuburkan jiwa yang taat kepada yang Maha Pencipta, bukan mengejar publisiti atau glamor.

No comments: