Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Monday, November 30, 2009

Penyelidikan BUKAN semata-mata pengumpulan data

Salah sebuah kolej yang menempatkan pelajar Pra Universiti kini menghantar pelajar-pelajar mereka untuk membuat penempatan bagi tujuan menjalankan penyelidikan. Penyelidikan berkenaan dikatakan suatu yang wajib dijalankan bagi membolehkan mereka mendapat tempat di Universiti tajaan badan yang merupakan penaja utama Kolej tersebut.

Kira-kira sebulan lepas, saya menerima proposal dari pelajar kolej tersebut mengenai tajuk yang menarik minat mereka. Cumanya, saya terkejut dengan topik yang diusulkan serta kekangan masa yang begitu singkat (iaitu sebulan). Topik pelajar tersebut merupakan ujian secara in-vivo kesan suatu tumbuhan terhadap sel leukaemia; sepanjang pengetahuan saya memerlukan proses yang agak panjang serta keperluan pembiayaan puluhan ribu. Isu yang ingin saya kongsikan ialah:

1. Pelajar berkenaan di peringkat asas pra-U; setaraf dengan kursus matrikulasi/asasi; bukankah wajar mereka ini diperkuatkan asas Bahasa Inggeris dan juga asas ilmu pengetahuan sains yang berkaitan.

2. Penyelidikan bukan suatu posting sandaran yang boleh dibuat secara sepintas lalu; ia memerlukan komitmen dan kefahaman untuk melaksanakannya.

3. Penyelidikan suatu proses yang melibatkan beberapa 'milestones'; bukan sekadar memberikan tajuk, mengumpul data dan kemudian membuat laporan

4. Pelajar mesti diajar asas penyelidikan terlebih dahulu, yang pada pengalaman saya memerlukan satu semester pengajian termasuk menulis dan membentang proposal, asas biostatistik dan juga pengetahuan mengenai kepelbagaian penyelidikan (paling minima di peringkat Ijazah pertama: satu semester menyedia dan membentang proposal dan satu semester lagi untuk pengumpulan data dan penulisan thesis, oleh itu ambil masa selama setahun).

5. Kesemua subjek berkenaan akan diajar secara sempurna semasa peringkat Ijazah Pertama; sehingga pelajar akhirnya akan menulis thesis serta menghantar artikel penyelidikan mereka untuk diterbitkan; ini menjadi sebahagian dari syarat untuk mereka bergraduasi. Kenapa pula dibebankan di peringkat Pra-Universiti dengan attachment sementara menjalankan penyelidikan ini?

6. Tiada peruntukan kewangan dari pihak pengurusan bagi membiayai penyelidikan yang akan dijalankan, sekadar mengharap ehsan dari pensyarah di universiti yang sudah mempunyai geran penyelidikan.


Saya sempat menghubungi tenaga pengajar yang bertanggungjawab menyelaraskan aktiviti penyelidikan berkenaan, yang objektifnya saya sendiri keliru. Ia dikatakan sekadar pendedahan tetapi mempunyai sasaran untuk diterbitkan di dalam buletin kolej,mereka berminat untuk turut menerbitkannya dalam penerbitan saintifik, itulah sebabnya mereka menghantar pelajar membuat penyelidikan di universiti.
Berkali-kali diulangkannya, "Doktor ada tak projek yang dah dijalankan yang mana pelajar berkenaan boleh datang dan kumpulkan data?"

Penyelidikan bukan sekadar aktiviti tempelan untuk mengutip data....tetapi ia seni yang menggunakan asas pembacaan yang jitu serta melahirkan pemikiran dan jiwa yang mantap untuk mengukuhkan lagi tradisi keilmuan; yang mana hasil akhirnya untuk dimanfaatkan kebaikannya. Ia juga disandarkan oleh ketaqwaan untuk menyuburkan jiwa yang taat kepada yang Maha Pencipta, bukan mengejar publisiti atau glamor.

Wednesday, November 25, 2009

Sedikit fakta mengenai kemiskinan...

Izinkan saya berkongsi sedikit maklumat dari satu persidangan yang saya hadiri baru-baru ini.

1. 95% dari banduan merupakan mereka yang mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan.

2. Pola jenayah mempunyai korelasi dengan tahun-tahun yang dikaitkan dengan krisis ekonomi


Termenung juga...jika sebahagian besar banduan berkenaan merupakan beragama Islam, saya tercuit juga memikirkan tentang wang zakat yang mungkin wajar dimanfaatkan untuk memulihkan golongan berkenaan kembali ke pangkuan masyarakat. Saya dikhabarkan tidak perlu kita mengungkit atau bertanya ke mana zakat yang telah kita keluarkan itu dibelanjakan, kerana yang pasti kita telah serahkan kepada mereka yang telah diketahui kelayakan mereka.
Saya singgah menghantar keperluan makanan bernilai RM50 kepada satu keluarga; erat dipegangnya tangan saya tatkala menyerahkan keperluan berkenaan. Potongan zakat sebenar saya jauh lebih tinggi dari nilai RM50 itu...dengan isu kemiskinan ini dan pelbagai lagi isu sosial dan implikasinya...saya tidak dapat menolak untuk terus memikirkan...ke mana sebenarnya wang zakat saya dan juga mereka yang telah menyerahkannya zakat berkenaan....telah dibelanjakan...

Monday, November 23, 2009

Korupsi...

Isu korupsi merupakan isu terhangat dalam politik...ia menjadi ramuan istimewa dalam apa jua ceramah untuk menarik simpati penyokong mahupun undi dalam pilihanraya.

Cumanya saya melihat fokus korupsi banyak ditumpukan pada parti politik yang sedang memerintah; di atas fakta yang ditemui dalam penyelewengan-penyelewengan yang tercatat, berhamburanlah 'point fingers' kepada mana-mana ahli politik yang dirasakan bertanggungjawab hal berkenaan berlaku.

Satu fakta yang sering dilupakan oleh kebanyakan kita ialah dalam sesuatu mekanisma penggunaan peruntukan dan perbelanjaan wang rakyat/ peruntukan kerajaan; sebenarnya yang menjadi tonggak segala-galanya ialah agensi kerajaan yang terlibat dengan kata lain kakitangan kerajaan yang menyelenggara semua pembelian/ penyelenggaraan perkara berkenaan.
Kerajaan pemerintah dan ahli yang dipilih mewakili rakyat datang dan pergi tetapi yang menjadi 'boss' sebenar dalam agihan peruntukan sedia ada ialah mereka yang yang bekerja secara tetap di agensi berkenaan. Ambil contoh isu penyelenggaraan Proton Perdana yang melampau di sebuah negeri di pantai timur. Sebenarnya kes yang hampir sama pernah saya alami ketika bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan dahulu. Ia berlaku apabila kerani yang bertanggungjawab mengeluarkan PO (purchase Order) menuliskan seperti ini:
1. Mengganti gear satu ke gear dua: RM 10 000
2. Mengganti gear dua ke gear tiga : RM 10 000
3. Mengganti gear tiga ke gear empat: RM 10 000
Bukankah penyelenggaraan sebenar gear box ialah menukar keseluruhan kotak berkenaan. Alhamdulillah kes tersebut dapat disekat berikutan kecekapan bekas boss saya yang baru ditukarkan ke situ.
Laporan AG saban tahun juga memberikan pola yang hampir sama...memberikan saya indikasi bahawa fokus pendidikan perlu ditumpukan pada setiap individu terlibat. Tiada jalan lain selain menanamkan konsep akidah yang benar sehingga menterjemahkan praktis cara hidup Islam yang menolak semua amalan yang berteraskan hawa nafsu dan syaitan..

Friday, November 20, 2009

Menangani EMOSI...

Ketika DSAI dipecat 1998 dahulu, saya antara rakyat yang turut menerima kesan emosi akibat kejutan berita tersebut. Suara reformasi dan pelbagai lagi...menjadi mainan serta liputan dalam isu yang diberitakan. Pada tarikh berita pemecatan tersebut, suratkhabar habis dijual.... Kemudian pelbagai berita berkaitan disensasikan, kemunculan berita dan gosip di alam cyber pula merubah lanskap info dan berita semasa.

Ada satu sahaja pola yang tidak pernah berubah di sebalik pola perubahan sumber maklumat dan info iaitu pola keghairahan/ gelombang emosi apabila berlaku sesuatu berita yang dianggap 'panas'.Hits sesuatu berita pula bergantung kepada 'sensasi' atau tidaknya sesuatu yang dilaporkan...yang pasti apa sahaja berita mengenai politik, kuasa, skandal, suatu yang 'luarbiasa' pastilah mendapat tempat serta diperdebatkan.

Kelemahan utama dalam menangani isu emosi ialah...ianya ditangani oleh perasaan; amat jarang dirujuk kepada neraca taqwa di sisi Allah atau dipandu oleh kewarasan ilmiah.Yang paling menonjol...apabila pentas blog dan hujah di alam cyber ini dihujahkan oleh mereka yang tidak mempunyai sandaran ilmu tetapi penuh dengan prasangka dan debat berbelit-belit; kebanyakannya tidak membawa kepada pembinaan minda dan kemantapan ummah. terlalu ramai yang nak bercakap, yang nak bercakap ini pula terlupa piawai sebenar mereka.....tanpa meletakkan 'insight' bahawa mereka itu tidak wajar/layak berbuat demikian.

Pengalaman peristiwa DSAI dan juga inti sebenar yang telah berlaku menyedarkan saya saya bahawa kita tidak boleh menurut gelombang emosi sesuatu isu, apatah lagi jika ianya tidak ada sandaran dalam alquran dan sunnah; kegagalan menangani emosi sekadar membuka jalan permusuhan dan meletakkan ummah kepada jurang kemusnahan. Saya berharap dan berdoa agar itu semua dapat dihentikan.....

Thursday, November 5, 2009

Menghormati yang lebih tua....

Demikianlah saranan di dalam agama; juga kuatnya tradisi orang melayu kita. Namun, tidak bermakna yang lebih tua tidak boleh ditegur, atau dibawa berbincang demi kebaikan bersama. Jika seseorang faham akan objektif sesuatu teguran, ianya mampu dilaksanakan dalam suasana harmoni tanpa implikasi yang bersifat peribadi.
Bagaimanapun, pada pengalaman saya....agak sukar untuk berkomunikasi dalam konteks menambahbaiki kepada seseorang yang telahpun diketahui berpengalaman atau mempunyai kredibiliti dalam bidangnya. Apatah lagi apabila usianya lebih tua berbanding dengan usia kita.
Saya masih mengingati satu persatu mimik-mimik muka yang dikemukakan di hadapan saya apabila saya cuba mengenengahkan isu yang wajar diberikan keutamaan. Cumanya, pada usia saya ketika itu...saya tidak pandai berdiplomasi. Saya bertindak seperti perumpamaan "Lurus Bendul", (straight to the point) tanpa berlapik atau berkias.
Sehinggalah satu peristiwan di mana saya diasak oleh kata-kata penuh kemarahan, penghinaan serta diberikan jari telunjuk (gesture yang paling tidak beradab) oleh seorang yang bernama Pengurus Besar sehingga dinyatakan..."saya akan pastikan anak perempuan saya takkan jadi macam you". Sebabnya, saya menegur cara pengendalian pengurusan geran penyelidikan yang dibuat sambil lewa serta kuasa diturunkan kepada individu yang tidak boleh membuat keputusan. Saya menegur GM tersebut dalam satu mesyuarat...kemudiannya kami bincang secara tertutup; namun saya dihujahkan dengan fakta2 yang tidak professional serta mengundang kemarahan/ tekanan. Namun, apakan daya. Saya hanya seorang manusia perempuan yang masih dianggap tidak layak menegur GM lelaki berpangkat dan dihormati...walaupun kaedah yang dilakukannya menyusahkan organisasi.
Yang tua wajar dihormati..namun ianya tidak boleh menjadi alasan bagi sesuatu kesilapan untuk dibaiki dan diperbetulkan.Wajarnya keegoaan terhadap status pangkat dan reputasi tidak menjadi perkakas untuk menidakkan suatu kebenaran, apatah lagi jika ianya digunakan pula untuk melindungi kebodohan atau inkompeten (ketidakcekapan).

Tuesday, November 3, 2009

Fokus kini lebih kepada mengomen bukan berfikir...

Itu pandangan saya. Antara kita ramai yang perlu menguruskan atau mentadbir sesuatu; susahnya untuk melaksanakan sesuatu misi itu...hanya mereka yang mengambil bahagian untuk mencari jalan penyelesaian memahami ksukarannya. Namun mereka yang memerhati dari luar...sekadar berkongsi persepsi yang sebenarnya mungkin tersasar dari realiti sebenar.
Proses membina kembali masyarakat dengan nilai baik dan murni memerlukan proses minda yang mampu berfikir menurut nilaian yang disaran oleh Alquran.Fokus penyelesaian isu duniawi ini perlu kepada berfikir dan menggunakan akal. Secara fitrah, penggunaan akal perlukan usaha dan ianya perlu dilakukan sepenuh jiwa dan raga. Perlukan penghayatan dan kefahaman dan disandarkan pada hujah yang benar. Akhirnya segala itu membawa kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT...bukan perhambaan kepada nafsu, wang ringgit atau yang selainnya.
Itu memang agak berat untuk dilakukan kecuali mereka yang komited untuk melaksanakan kebaikan untuk diri, hatinya serta keluarga dan masayarakat.

Apa yang berlaku...fokus perbincangan lebih tertumpu kepada bahan-bahan ringan, mencipta gosip dan terus menerus mengomen dan mengkritik. Hujah dangkal yang tidak disaring, akhirnya mencipta fitnah serta melumpuhkan kebijaksanaan.Perhatikanlah pada tajuk-tajuk akhbar / majalah mingguan dalam Bahasa Melayu yang kini tersebar.

Sunday, November 1, 2009

Solat di Masjid Ubudiyah dan sebuah surau di pedalaman..

Pertama kali saya singgah di Bandar Diraja Kuala Kangsar semalam, selepas pulang menghantar rombongan pengantin yang merupakan anak kepada jiran saya di Bangi. Indah sekali binaan Masjid Ubudiyah, tatah marmar dan juga susunan struktur yang mengkagumkan. Jika tidak silap, ia merupakan satu dari masjid yang penuh sejarah di negeri Perak ini. Bagaimanapun, jemaah kelihatannya lebih ramai di Masjid Ridzwaniyah (sebuah masjid bersebelahan MCKK).
Namun, hati saya masih terkenang akan keuzuran sebuah surau yang juga sempat saya singgah untuk menunaikan solat. Sebuah surau yang pembinaannya dirasmikan oleh Ahli Parlimen. Namun sekitarannya dan kebersihan didalamnya, begitu uzur. Bagi saya, kebersihan rumah Allah itu merupakan kewajipan kita untuk menguruskannya. Mahu sahaja saya mencari plastik sampah, penyapu dan juga alatan yang boleh membersihkan setting surau tersebut.
Indah atau tidaknya sesebuah masjid/ surau tidak ditentukan oleh hiasan material tetapi unsur keimanan yang diterjemahkan dalam ibadah yang bersih dan suci. Hati saya sekali lagi terpukul apabila menyaksikan sekumpulan anak muda yang leka bermain pingpong di luar surau tersebut tatkala imam dan jemaah bersama-sama menunaikan solat isya'....