Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Saturday, January 26, 2013

Sajak: Akukah yang nifaq itu...

Nifaq..
batas kepungan di dasar penuh nista,
lidah bercabang, talam bermuka,
bicara penuh helah perdaya,
amanat yang terjungkir sia-sia,
janji dipijak tanpa percaya,
pemiliknya dijanjikan sebagai kerak api neraka.

Silap diri yang malas mencari ruang,
lalu percaya tanpa diulang,
keterbatasan yang tidak pernah dikuak,
tidak mungkin aku di kalangan manusia yang nifaq.

berdosanya diri tatkala menelah diri sebagai suci,
atau terasa bebas dari dosa yang dipandang keji,
itulah kelam indah yang dikabur syaitan,
sering meremeh silap pada insan,
bukan pada diri sendiri,
yang terus dianggap penuh suci.

Ya Tuhan,
akukah yang nifaq itu?
merasa diri mulia tanpa dosa,
terus memuja hati yang 'diapung' rasa mulia,
menghukum pula insan lain penuh noda dan hina.

Pada niat, lisan dan amalan,
satu demi satu... singkapan yang terus diuji,
doaku pada Tuhan ArRahman,
kuredah baki kekuatan pada tadabbur quran dan sunnah teladan,
tunjukkan bagiku taufik dan jalan,
jangan diriku merupakan munafik yang tidak akan dipandang.


[An Nisa': 145
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka.]

[An Najm:32
فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ
...maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa]

Saturday, January 19, 2013

'Legacy' dan Tentang 3 golongan manusia

Mungkin ini bukan kali pertama saya mendengar dari Prof Dr. Harlina tentang golongan-golongan manusia yang dikenalpasti wujud dalam komuniti hari ini. Namun kali ini, ucapan dari insan yang sangat saya hormati dan kasihi ini, singgah jauh berbekas di dalam hati.

Menurut beliau..., kita perlu sama-sama memuhasabah serta kongsikan pada mereka yang sekeliling kita...adakah kewujudan kita ini menjadikan dunia yang kita hadiri ini lebih bank ? (Is this world much better with our presence?). Dan saya tambah sedikit dari kuliah yang pernah saya hadiri sebelum ini, 'what do we want people to remember about us after our death'.

Secara umumnya, individu masyarakat itu terbahagi kepada 3 golongan manusia . Pertama, mereka yang kewujudannya sentiasa disenangi serta membahagiakan dan selepas kematian mereka, dirindui dan dikenang sepanjang zaman. Kedua, merupakan mereka yang hidupnya bahagia dengan menyakiti manusia lain, sehinggakan 'luput'nya mereka ini sangat diharap-harapkan. Manakala ketiga pula ialah mereka yang ada atau tidak, "nobody care about them".

Rangkuman dari fakta berkenaan, memerlukan fikiran dan tadabbur pada diri kita tentang 'jalan kehidupan' mana yang hendak kita pilih. Saya meletakkannya pada diri saya sendiri, yang biasanya saya tidak memfokuskan pada impak sebenar pada apa yang saya lakukan pada masyarakat selain dari memenuhi objektif atau niat di dalam hati...yang majoritinya merupakan 'agenda peribadi' diri saya sendiri.

Fokus ini juga membawa saya kepada berfikir semula pada niat sebenar apabila saya melakukan sesuatu..memang kebanyakkannya saya rasa niatnya adalah 'pure' kerana Allah, namun bila diasak dengan cabaran mahupun 'amukan' manusia yang saya terasa 'allergy' terhadap mereka, mula berbelah bagi dalam meneruskan 'perjuangan' atau dihimpit keras oleh perasaan penuh kecewa.

Airmata saya terus bergenang apabila di akhir bicara beliau kongsikan tentang tiga amalan yang merupakan amalan yang berkekalan tatkala kita sudah tiada lagi di dunia ini. Menurut hadith Rasulullah SAW yang maksudnya, apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali tiga iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan anak-anak yang mendoakan. Beliau meneruskan bicara dengan mengupas pengertian anak yang bukan sahaja anak-anak yang kita lahirkan secara semulajadi namun juga merupakan anak-anak pelajar yang kita kongsikan ilmu dengan mereka. Maka katanya, berbahagialah para pendidik, kerana Allah letakkan mereka pada posisi berpeluang memperolehi ketiga-tiga ganjaran tersebut...Allahuakbar.

Lantunan bicara Kak Har memang hebat menyantuni hati dan jiwa. Saya yang merasakan diri begitu kecil apabila berhadapan dengan kehebatan kosa dan fakta yang dikongsikannya. Dan saya terus berasa lebih kecil .... apabila insan itu hadir merendah diri tatkala bertemu dan berbicara dengan insan kerdil seperti saya...

Tuesday, January 8, 2013

ALLAH SWT adalah Tuhan saya dan juga Tuhan untuk sekalian manusia...

Dalam ayat 21 surah Al Baqarah Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Wahai manusia, sembahlah Tuhan yang telah menjadikan kamu dan menjadikan mereka yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertqwa".

Dalam konteks seharian, kita melihat dan mencerap dengan kesungguhan bahawa tidak akan wujud lebih dari seorang ketua dalam mana-mana kerajaan..mana-mana universiti...mana-mana sekolah...mana-mana parti...mana-mana organisasi. Jika ada yang wujudnya lebih dari satu, pasti bergaduh, bertekak atau berperang saling berbunuhan untuk menjadi seorang yang satu-satunya 'ditaati' sebagai pemerintah/ authoritative power yang mentadbir organisasi berkenaan.

Dari sejarah masa lampau hinggalah yang wujudnya pada hari ini, pemikiran manusia menerima hakikat bahawa kemampuan manusia yang begitu lemah ini tidak mampu berkongsi kuasa apabila diangkat menjadi pemimpin.

Oleh itu, alam jagat ini..yang begitu kompleks dari struktur molekul sehalus-halusnya hingga skala bilion mega hingga mencapai keluasan jutaan bilion halaju cahaya di angkasa raya... serta indahnya pelbagai struktur organisma dan susunan alam ini yang begitu teratur dan sistematik..pastinya tidak mungkin ada berbilang Tuhan yang menjadikan atau mentadbir segalanya.

Akal yang sihat tidak mampu membayangkan sesuatu yang bukan dalam jangkauannya. Bagaimana manusia boleh memikirkan pelbagai teori tentang Tuhan serta mencipta falsafah yang tidak diketahuinya tanpa petunjuk Rasul, Kitab suci mahupun bentangan alam...sedangkan dirinya sendiri tidak mampu untuk melihat mata dan apa yang ada didalam sel tubuhnya.

Sesungguhnya Tuhan yang menciptakan saya, dan juga manusia secara keseluruhannya adalah Tuhan yang sama. Itulah Tuhan sekalian alam, tiada tandingan serta tidak akan ada yang berasosiasi denganNya. Itulah Allah Al Ahad, Al Witr dan AsSamad, Al Hayyu Al Qayyum..

SubhanalLahi wa bihamdih..

Friday, January 4, 2013

Islam merupakan deen yang mempunyai nilai yang cukup tinggi..

Setiap kali masuknya tahun baru...ada sahaja pelbagai sambutan yang diadakan. Yang mana secara majoritinya merupakan adaptasi dari apa yang merupakan budaya-budaya di barat. Adaptasi berkenaan telah sekian lama menularnya..sejak usia saya mengenal TV, masih ingat lagi betapa ketika itu begitu asyik menunggu detik 12 malam untuk menyaksikan pelbagai program yang dikatakan menarik di TV. Namun, hiburan demi hiburan hanya sementara kesannya. Memenuhi nikmat pada ruang yang tidak pernah puas, dan nikmat tersebut sejurus terus hilang bagai air yang disiram mengairi ruang pasir, tanpa menakung sedikitpun air tersebut.


Terkini, ada pula sambutan Tahun Baru Islamik..yang mempersembahkan pelbagai isi yang dikatakan menepati islam sebagai cara hidup; namun secara jelasnya tidak ada langsung petunjuk tentangnya di dalam quran dan sunnah.

Namun, hakikat tentang deen Islam yang membawa manusia kepada ubudiyah sebenar kepada Allah SWT ialah deen kita ini berdiri sendiri tanpa perlu bersandar pada budaya atau cara hidup yang lain. Bentangan yang ada di dalam quran dan sunnah cukup memberikan bahawa Islam adalah Islam..menyerah diri sepenuhnya pada Allah dan peraturannya (Being a muslim is a total submission to Allah and to regulation set by Allah SWT).

Islam tidak perlu pada laluan alternatif untuk menghalalkan suatu hiburan yang kemudiannya 'diislamkan' untuk membolehkan manusia muslim turut menikmatinya seperti mereka yang kafir. Tidak ada hiburan alternatif yang menghalalkan untuk jalan da'wah dilakukan padanya. Atas 'keselesaan' berhibur serta bersaing dengan sesuatu yang dilihat tidak islamic; maka segala-gala yang disadurkan hendak dibentangkan bagi menarik mereka-mereka yang lain ke jalan da'wah.

Islam nilainya suci, ia tidak mampu bergabung dengan nilai-nilai yang lain. Sesuatu yang diada-adakan atas tiket bid'ah pada alasan untuk menarik orang lain kembali ke jalan da'wah adalah suatu yang tidak benar serta menyalahi ajaran quran dan sunnah.

Anak-anak perlu diisi hati dan mindanya bukan sahaja dengan bimbingan akhlak serta pengisian quran dan sunnah, tetapi juga teladan dari mereka seperti kita untuk tidak dilalaikan kepada perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan pahala.

Kembara Haji 2012 - Epilog..

1. Haji adalah keperluan fardhu sebagai seorang muslim. Sesungguhnya kemampuan seseorang untuk menunaikan haji adalah rahmat penuh kasih dari Allah SWT. Dan kemampuan itu tidak datang secara kebetulan tanpa usaha dan doa yang ikhlas. Usaha di sini ialah meletakkan keutamaan dalam kehidupan untuk menunaikan haji. Bayangkan...betapa saya sebelum ini yang langsung tidak meletakkan prioriti untuk menunaikan haji, menghabiskan entah berapa puluh ribu dalam membayar hutang-hutang untuk keperluan keduniaan yang nyatanya boleh ditangguhkan.

2. Pada masa ini, kita dikhabarkan hampir sejuta yang menunggu giliran untuk menunaikan haji. Memberikan ruang menunggu agak panjang bagi kebanyakan yang telah mendaftar. Namun, tempoh menunggu hampir 'tidak ada' jika mendaftar melalui syarikat haji swasta (pakej). Harganya mungkin mahal sedikit berbanding muassasah, namun yang penting, elakkanlah untuk pergi ke Tanah Suci pada usia veteran yang berisiko dengan pelbagai penyakit, daya imun yang lemah, stamina yang tidak lagi gagah serta kemampuan berfikir yang tidak lagi mantap.

3.Andai pergi pada usia yang sudah lanjut, bawalah bersama anak-anak atau pasangan yang lebih sihat. Jangan diberi peluang syaitan membuka laluan-laluan dosa dengan perangai-perangai yang menyebabkan orang lain berasa tersinggung atau menyusahkan mereka. Keperluan sihat bukan sihat fizikal sahaja, namun merangkumi sihat emosi, minda dan hati.

4. Pengisian ibadah haji bermula dari rutin harian kita di sini. Rutin yang diisikan dengan amal-amal yang menjurus kepada ubudiyah kepada Allah. Ia merangkumi cara kita berpakaian, bergaul sesama individu dalam masyarakat, sopan santun dalam meneladani urusan sesama manusia, tolak ansur dalam memberi dan menerima serta dimantapkan pula dengan amalan-amalan zikrullah, solat, puasa serta amalan sunat yang lain. Proses sedemikian diikhlaskan sepenuhnya kerana Allah serta tawakkal hati dengan mengharap rasa khusyu dan kerendahan hati.

Haji adalah rangkuman ibadah yang meletakkan fokus kepada ubudiyah lilahi wahdah. Disertai oleh pengorbanan semata-mata mencari redha Allah, dikuatkan pula oleh rasa ukhuwah sesama muslim untuk sama-sama beribadah.

Saya pula kembali merindui suasana indah di Madinah dan Masjidil Haram.., terasa harum dan indah setiap kali menatap masjid Nabawi mahupun Masjidil Haram... moga Allah memberi saya peluang untuk menunaikan haji dan umrah lagi...bersama insan yang sangat saya kasihi..

Kembara Haji 2012 (6): Rindu yang mula melanda...

Ritual haji berakhir dengan doa-doa di Marwah selepas selesai ibadah sai’e. Alhamdulillah, kesesakan selepas hari-hari tasyrik di halaman masjidil haram bagai rahmat yang cukup besar buat kami ketika itu. Sukar diungkapkan dengan tulisan mahupun lisan, betapa indahnya berada dalam suasana sesemikian. Ketenangan malam di waktu-waktu dinihari sedemikian, tidak mudah saya lupakan titis-titis airmata yang bergenang setiap kali doa-doa saya hadiri di Safa dan Marwah.

Hari-hari berikutnya merupakan pengisian yang dilakukan seperti juga hari-hari biasa di luar musim haji. Sebaik terpandang jemaah haji yang bersiap pulang ke halaman masing-masing, hati saya juga turut teruja serta mula terkenang kepada insan-insan yang telah agak lama saya tinggalkan.

Terasa lambat pula putaran masa buat menantikan waktu untuk kembali pulang ke tanahair Malaysia. Saya juga seakan terkial-kial dan tercari-cari slot bermanfaat yang dapat mengembalikan fokus saya pada ibadah-ibadah yang dilakukan. Kembali teringatkan tazkirah-tazkirah sebelum saya menjejakkan kaki ke tanah suci, betapa kebanyakan jemaah haji pasti terkenangkan kampung halaman masing-masing dengan rindu dan ingatan yang cukup mendalam.

Kesibukan dalam perjalanan ibadah ke Arafah, Muzdalifah, Mina dan dan kembali ke Mekah sebelim itu; menutup seketika imbauan rindu serta ingatan pada yang tersayang. Namun selesai sahaja ibadah berkenaan, resah gelisah mula melanda. Rindu pada suami, anak-anak serta keluarga dan mereka-mereka yang saya kasihi begitu hebat menguji.

Di saat itu juga betapa saya menghargai kehilangan iphone sebelum itu, situasi itulah yang dibuka Allah untuk saya kembali menatap alquran terjemahan (yang turut saya bawa) dan menulis petikan-petikan ayat yang mudah untuk saya jadikan bacaan di dalam solat. Di atas kehilangan iphone itu juga yang diizinkan Allah membuka ruang saya untuk lebih ‘erat’ dengan quran manual dalam meniti hari ke hari.

Saya banyak juga terbaca atau terdengar pelbagai kisah teladan mahupun keajaiban penuh rahmat dari Allah dari mereka-mereka yang pernah mengerjakan haji. Rahmat Allah yang cukup hebat dan sangat besar untuk saya ketika berada di Tanah suci ialah apabila saya dikurniakan Allah rahmat penglihatan membaca alquran terjemahan yang realitinya sebelum itu sangat sukar saya membacanya ketika berada di Malaysia disebabkan oleh fontnya yang agak kecil... alhamdulillah..