1. Haji adalah keperluan fardhu sebagai seorang muslim. Sesungguhnya kemampuan seseorang untuk menunaikan haji adalah rahmat penuh kasih dari Allah SWT. Dan kemampuan itu tidak datang secara kebetulan tanpa usaha dan doa yang ikhlas. Usaha di sini ialah meletakkan keutamaan dalam kehidupan untuk menunaikan haji. Bayangkan...betapa saya sebelum ini yang langsung tidak meletakkan prioriti untuk menunaikan haji, menghabiskan entah berapa puluh ribu dalam membayar hutang-hutang untuk keperluan keduniaan yang nyatanya boleh ditangguhkan.
2. Pada masa ini, kita dikhabarkan hampir sejuta yang menunggu giliran untuk menunaikan haji. Memberikan ruang menunggu agak panjang bagi kebanyakan yang telah mendaftar. Namun, tempoh menunggu hampir 'tidak ada' jika mendaftar melalui syarikat haji swasta (pakej). Harganya mungkin mahal sedikit berbanding muassasah, namun yang penting, elakkanlah untuk pergi ke Tanah Suci pada usia veteran yang berisiko dengan pelbagai penyakit, daya imun yang lemah, stamina yang tidak lagi gagah serta kemampuan berfikir yang tidak lagi mantap.
3.Andai pergi pada usia yang sudah lanjut, bawalah bersama anak-anak atau pasangan yang lebih sihat. Jangan diberi peluang syaitan membuka laluan-laluan dosa dengan perangai-perangai yang menyebabkan orang lain berasa tersinggung atau menyusahkan mereka. Keperluan sihat bukan sihat fizikal sahaja, namun merangkumi sihat emosi, minda dan hati.
4. Pengisian ibadah haji bermula dari rutin harian kita di sini. Rutin yang diisikan dengan amal-amal yang menjurus kepada ubudiyah kepada Allah. Ia merangkumi cara kita berpakaian, bergaul sesama individu dalam masyarakat, sopan santun dalam meneladani urusan sesama manusia, tolak ansur dalam memberi dan menerima serta dimantapkan pula dengan amalan-amalan zikrullah, solat, puasa serta amalan sunat yang lain. Proses sedemikian diikhlaskan sepenuhnya kerana Allah serta tawakkal hati dengan mengharap rasa khusyu dan kerendahan hati.
Haji adalah rangkuman ibadah yang meletakkan fokus kepada ubudiyah lilahi wahdah. Disertai oleh pengorbanan semata-mata mencari redha Allah, dikuatkan pula oleh rasa ukhuwah sesama muslim untuk sama-sama beribadah.
Saya pula kembali merindui suasana indah di Madinah dan Masjidil Haram.., terasa harum dan indah setiap kali menatap masjid Nabawi mahupun Masjidil Haram... moga Allah memberi saya peluang untuk menunaikan haji dan umrah lagi...bersama insan yang sangat saya kasihi..
No comments:
Post a Comment