Mungkin ini bukan kali pertama saya mendengar dari Prof Dr. Harlina tentang golongan-golongan manusia yang dikenalpasti wujud dalam komuniti hari ini. Namun kali ini, ucapan dari insan yang sangat saya hormati dan kasihi ini, singgah jauh berbekas di dalam hati.
Menurut beliau..., kita perlu sama-sama memuhasabah serta kongsikan pada mereka yang sekeliling kita...adakah kewujudan kita ini menjadikan dunia yang kita hadiri ini lebih bank ? (Is this world much better with our presence?). Dan saya tambah sedikit dari kuliah yang pernah saya hadiri sebelum ini, 'what do we want people to remember about us after our death'.
Secara umumnya, individu masyarakat itu terbahagi kepada 3 golongan manusia . Pertama, mereka yang kewujudannya sentiasa disenangi serta membahagiakan dan selepas kematian mereka, dirindui dan dikenang sepanjang zaman. Kedua, merupakan mereka yang hidupnya bahagia dengan menyakiti manusia lain, sehinggakan 'luput'nya mereka ini sangat diharap-harapkan. Manakala ketiga pula ialah mereka yang ada atau tidak, "nobody care about them".
Rangkuman dari fakta berkenaan, memerlukan fikiran dan tadabbur pada diri kita tentang 'jalan kehidupan' mana yang hendak kita pilih. Saya meletakkannya pada diri saya sendiri, yang biasanya saya tidak memfokuskan pada impak sebenar pada apa yang saya lakukan pada masyarakat selain dari memenuhi objektif atau niat di dalam hati...yang majoritinya merupakan 'agenda peribadi' diri saya sendiri.
Fokus ini juga membawa saya kepada berfikir semula pada niat sebenar apabila saya melakukan sesuatu..memang kebanyakkannya saya rasa niatnya adalah 'pure' kerana Allah, namun bila diasak dengan cabaran mahupun 'amukan' manusia yang saya terasa 'allergy' terhadap mereka, mula berbelah bagi dalam meneruskan 'perjuangan' atau dihimpit keras oleh perasaan penuh kecewa.
Airmata saya terus bergenang apabila di akhir bicara beliau kongsikan tentang tiga amalan yang merupakan amalan yang berkekalan tatkala kita sudah tiada lagi di dunia ini. Menurut hadith Rasulullah SAW yang maksudnya, apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali tiga iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan anak-anak yang mendoakan. Beliau meneruskan bicara dengan mengupas pengertian anak yang bukan sahaja anak-anak yang kita lahirkan secara semulajadi namun juga merupakan anak-anak pelajar yang kita kongsikan ilmu dengan mereka. Maka katanya, berbahagialah para pendidik, kerana Allah letakkan mereka pada posisi berpeluang memperolehi ketiga-tiga ganjaran tersebut...Allahuakbar.
Lantunan bicara Kak Har memang hebat menyantuni hati dan jiwa. Saya yang merasakan diri begitu kecil apabila berhadapan dengan kehebatan kosa dan fakta yang dikongsikannya. Dan saya terus berasa lebih kecil .... apabila insan itu hadir merendah diri tatkala bertemu dan berbicara dengan insan kerdil seperti saya...
No comments:
Post a Comment