Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Tuesday, December 27, 2011

'Legacy' yang bakal ditinggalkan dan doa Nabi Ibrahim a.s....

Salah satu cluster doa/ zikr dalam Al Quran ialah dalam ayat 77 hingga 85 Surah Asy Syua'ra'...yang mana dalam ayat 84 berkenaan, Nabi Ibrahim berdoa pada Allah moga baginda dijadikan buah mulut yang baik bagi golongan yang datang kemudian...
"....dan jadikanlah aku buah mulut yang baik bagi orang-orang yang datang kemudian (akhirin).."

Saya sebenarnya sebelum ini tidak mengambil berat tentang isu-isu berkaitan 'apakah legacy' yang bakal saya tinggalkan andai satu hari nanti saya telah dijemput Allah kembali menemuiNya. Ketika itu, rasa bimbang andai rasahati sedemikian menjatuhkan saya sebagai golongan yang mengharapkan pujian atau terkejar-kejar penghasilan unik untuk dikenang orang di hari kemudian.

Namun beberapa kupasan tazkirah oleh ilmuwan yang memberi peringatan dan juga doa yang dilafazkan oleh Nabi Ibrahim a.s ini Allah izin memberikan satu motivasi yang begitu unik dalam memperkuatkan azam dan tekad kita untuk terus memperkukuh ilmu yang benar sebagai muslim; dan berusaha bersungguh-sungguh mengamalkan da'wah menyeru manusia lain kepada jalan yang mendekatkan dirinya kepada Tuhan Pencipta Alam.

Apakah selepas ketiadaan kita di dunia ini nanti...manusia yang masih hidup sekadar sedih meratap dengan ketiadaan fizikal kita di dunia? Atau ketiadaan kita langsung tidak disedari akibat tiada apa yang significant dalam sejarah kehidupan selain corak monotonous atau stereotype (yang diumpamakan Alllah seperti binatang-binatang ternak) ? Atau ada yang lain bertepuk gembira dan lega dengan ketidakwujudan kita lagi di sisi mereka? atau kita disebut-sebut dengan perkara-perkara yang dibenci Allah dan hina pada pandangan manusia ? Moga Allah menjauhkan kita dari keadaan-keadaan sedemikian...

Sama-sama kita doa pada Allah agar kematian kita satu hari nanti janganlah kita tinggalkan legacy yang tidak menyumbang apa-apa dalam da'wah menyeru ke jalan Allah... atau jangan pula kematian kita disebut-sebut dalam keadaan yang jijik dan hina ...

Usaha yang ikhlas diserlahkan Allah keindahannya dalam wujud amal tersebut di sisi insan-insan yang diizinkanNya...apa yang penting, kita berusaha... Moga 'legacy' yang kita pilih, dengan ikhlas membawa manusia lain menjadi muslim yang lebih baik serta lebih 'dekat' kepada Tuhan yang Maha Pencipta, bi iznilah..

Monday, December 26, 2011

Ayat 94 Surah Al Baqarah.... terjemahan dan tafsirannya..

Dalam surah Al Baqarah ayat 94 Allah berfirman yang bermaksud, “ Katakanlah (wahai Muhammad), jika akhirat (balasan syurga) itu khusus untuk kamu saja dan bukan untuk orang lain, maka mintalah agar kamu dimatikan jika kamu orang yang benar”

Saya membaca tentang tafsir ayat ini yang membicarakan perihal bani Israil yang begitu degil dan ingkar kepada kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Mereka dengan angkuhnya menganggap diri mereka lebih suci serta diberikan kedudukan istimewa di sisi Allah...dan pada masa yang sama mereka menentang dan tidak mengiktiraf da’wah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Dalam majlis ilmu mengenai pengukuhan ilmu dan amal dalam praktis sebagai muslim di PICC baru-baru ini, Allah mudahkan untuk saya untuk begitu terkesan dengan penjelasan ayat berkenaan (ayat 94 surah Al Baqarah). Salah seorang ilmuwan memberikan provokasi kepada pendengar iaitu jika benar kita ini muslim sebenar-benarnya dan telah yakin benar akan dimasukkan syurga, maka katanya dia cabar setiap yang sedemikian untuk minta dimatikan Allah serta merta sebab dah ‘sure’ masuk syurga...

Sesungguhnya, hakikat kebenaran yang disampaikan Allah dalam ayat tersebut bukan sahaja ditempelak ke atas Bani Israil yang ingkar...namun juga merupakan konotasi terhadap kita yang berpuas hati pada kedudukan yang ‘kononnya’ sudah menerima Islam sebagai agama. Rasa cukup dengan bicara atau nama sebagai muslim...dan yakin benar itu sudah memadai untuk dimasukkan syurga walaupun amalan yang dilakukan belum tentu mendapat tempat di sisi Allah SWT.

Moga kita sama-sama dapat perhatikan...apa sebenarnya yang dipegang oleh hati kita dalam meneladani kehidupan sementara di dunia.

Pada batas apa sebenarnya jiwa kita ini terikat...pada jalan mana yang kita utamakan dalam melakukan apa sahaja amalan. Sesungguhnya, betapa mitos bahawa kita ini sebagai muslim sudah cukup menjamin tempat ke syurga telah menyesatkan atau melalaikan sebahagian besar individu yang begitu ‘gah’ dengan keistimewaan mereka yang dinamakan sebagai muslim...tanpa sedikitpun berusaha dengan ilmu yang benar untuk berusaha menjadi muslim yang diiktiraf di sisi Allah.

Menjadi muslim yang benar...yang beriman dan bertaqwa...memerlukan ilmu (kebenaran perlu dicari, ianya tidak datang sendiri) serta diikuti dengan tekun bersungguh-sungguh mengamalkan apa yang diyakini. Apa yang diucap, itulah yang dicirikan sebagai terjemahan kehidupan. Kita ini bukan sekadar berangan-angan... Moga kita tidak bercakap sebagai muslim dalam satu aspek, namun pada aspek lain yang apabila dilihat tiada kaitan dengan agama kita tinggalkan. Sama-sama kita doa kepada Allah...

Monday, December 19, 2011

Kita yang sama-sama menunggu giliran...

Saya masih belum keluar dari fokus pemikiran yang terus datang berulang-ulang... Hakikat sahabat dekat yang kini menunggu keputusan ujian diagnosis menentukan penyakit sebenar yang dialaminya. Namun sebagai individu yang pernah mempelajari asas klinikal dan juga sains perubatan yg berkenaan serta mengamalkannya dalam perawatan pesakit, saya tidak dapat menolak bahawa sahabat saya kini mengalami tempoh waktu yang cukup sukar. Bagai menanti hukuman di meja juri...ketidak tentuan yang dibatasi pelbagai kelemahan kita sebagai insan.

Bercakap tentang ujian Allah...pada fokus jika kita sendiri tidak mengalaminya; memang sukar untuk meng'internalisasi'kan kesukaran dan 'kesakitan' yang dirasai. Saya juga pernah 'terduduk' tidak bermaya apabila disyaki menghidap penyakit yang tidak dipastikan diagnosisnya... debaran kencang yang cukup tajam dan memilukan.. Pada sela yang sama, berlaku kematian yang tidak diduga di kalangan mereka yang saya kasihi..

Dalam muhasabah sendiri, baru saya sedar bahawa saya sebenarnya tidak 'memahami' akhirat dan kematian seperti mana yang diajar oleh melalui Al Quran dan terjemahan sunnah. Saya bercakap dan terus bercakap tentang dunia yang sementara...tentang kematian yang pasti...tentang akhirat yang mendatang; namun bila diri diuji, seperti tidak percaya pada hakikat yang sering dihujahkan....betapa lemahnya saya, sehingga ia akhirnya menyedarkan saya bahawa saya ketika itu merupakan insan yang begitu cemas jika dihadapkan dengan kematian yang tiba-tiba... kenapa? sebab saya sebenarnya tidak pernah bersedia dan ... tidak pernah merancang untuk hakikat kematian...takut benar jika dilontarkan dengan persoalan mati, terlalu khuatir bila diri di'ancam' maut yang datang mendadak ...

Kita sebenarnya sama-sama menunggu giliran...namun melihatkan perit dan sukarnya kenyataan majoriti insan apabila dihadap kisah kesedihan dan kebarangkalian untuk menghadap kematian dalam masa yang terdekat dalam keadaan yang tidak disangka-sangka; fokus perspektif kita terhadap kematian perlu diubah serta-merta...

Yusof Al Qardawi menukilkan bahawa setiap mukmin itu gembira dan cinta kehidupan kerana kehidupan ini membenarkan dirinya untuk terus melakukan kebaikan di jalan Allah....dirinya juga gembira apabila menghadapi kematian kerana itu yang membawanya segera menemui Allah dan bersegera menunggu di barzakh yang merupakan satu dari taman-taman syurga sebelum tibanya akhirat.

Kita sama-sama perlu mengisi kehidupan ini dengan kebaikan demi kebaikan... yang terbaik apabila kita mengharapkan syahid di jalan Allah dalam apa jua yang kita perjuangkan demi menegakkan da'wah dan kebenaran. Bahawa mereka yang meninggal dunia atas perjuangan ikhlas kerana Allah...akan terus 'hidup' di sisi Allah dengan rezeki-rezeki istimewa yang dizinkanNya...

(NB: Sahabat yang saya kasihi Dr.Latinah Mohamad kini dirawat setelah diagnosis Acute Promyelocytic Leukaemia disahkan minggu lalu, ..Hanya pada Allah saya bermohon kebaikan dan kesejahteraan beliau, sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengkabulkan Doa...)

Sunday, December 18, 2011

Antara sebab seseorang gagal memilih jalan kebenaran...

Semasa saya belajar di sekolah menengah dahulu...guru saya selalu mengulang-ulangkan, pandanglah pada KEBENARAN itu sebagai subjek perbincangan; bukan pada mereka atau individu yang berbicara tentangnya. Manusia itu ada kelemahan, namun nilai yang disandarkan pada Allah adalah mutlak sifatnya dan tidak boleh dipersoal dan diremehkan.

Apabila kita berharap untuk diserlahkan pada kebenaran...hendaknya biarlah kebenaran itu yang kita pandang BUKAN individu yang memperkatakannya. Jangan sesekali bias pada latarbelakang sehingga menyebabkan kenyataan individu tersebut kita anggap bias lalu kita menolaknya begitu sahaja...

Fitrah manusia secara umumnya membenarkan sesuatu kebenaran...inginkan kebaikan serta mengharapkan jiwanya tenang serta menempa kebahagian dalam kehidupan yang dilaluinya. Meskipun manusia itu pada zahirnya berbeza, namun sekelumit niat dan harapan di hatinya pasti mengharapkan sesuatu yang gembira dan bahagia dalam jiwanya.

Namun...fokus yang diserang habis-habisan oleh iblis dan syaitan (jin dan manusia) dalam jiwa manusia ialah bisikan-bisikan kejahatan terhadap perkara yang disukai oleh kelompok yang telah dihalau Allah dari syurga serta dijanjikan akan neraka itu.

Bisikan yang datang dan pergi secara berulang...hadir dan wujudnya sentiasa dalam setiap apa yang dilakukan insan iaitu antaranya ialah MEMANDANG RENDAH PADA SESEORANG YANG DIRASAKAN TIDAK SETARAF DENGAN DIRINYA.

Kebenaran itu hanya menjiwai jiwa yang benar sifatnya. Benar pada akhlak, pada bicara, pada hati serta benar pada objektifnya. Tanpa melandaskan ciri benar...sesebuah hati itu gagal memanfaatkan sifat kebenaran itu untuk diterjemahkan dalam dirinya sendiri.

Sesungguhnya, cabaran paling utama untuk dilaksanakan hari ini ialah menterjemah apa yang diucapkan...apa yang dibicarakan...apa yang dianjurkan dan apa yang di'titah'kan untuk diamalkan...sehingga ianya menjadi cara hidup ikhlas yang menyasarkan setiap amalan sebagai ibadah semata-mata kerana Allah SWT.

Gagal 'memandang ' Allah sebagai objektif mutlak, menyebabkan insan terus 'engrossed' terhadap 'self recognition' sesuatu keadaan yang bakal memusnahkan harapannya untuk 'menang' di hari akhirat. Ini merupakan sebahagian dari tafsir surah At Takathur yang baru sahaja saya pelajari intipatinya....

Friday, December 16, 2011

Ya Allah.... tutupkan jalan fitnah dan dakyah...bukakanlah pintu da'wah buat kami...

Setulus hati...saya mohon keampuan dari Allah atas segala khilaf dan kesilapan; sesuatu yang mungkin saya fahami di luar batas kebenaran atau skop seperti yang diredhai Allah. Yang mana kadang-kadang ianya terlontar untuk memberikan bicara atau terjemahan yang tidak menepati kebenaran.

Penulisan di blog ini adalah merupakan antara terjemahan rasa hati dan kefahaman saya untuk menyeru kepada kebaikan... juga sebahagian usaha untuk mengekang kejahatan yang sangat diharapkan oleh syaitan-syaitan di kalangan jin dan manusia.

Saya bukan menulis untuk sekadar dibaca... namun di ruang ini sebenarnya saya bertemu dan bertamu dengan setiap individu yang kenal dan mungkin juga tidak pernah kenal tentang diri saya.. yang mana setiap apa yang cuba saya kongsikan, satu taklif berat menanti saya yang terutamanya untuk sama-sama melaksanakan.

Dalam surah Al 'Ala, Allah memperingatkan tentang bermanfaatntya peringatan..terutama bagi jiwa yang khusyu' penuh merendah diri dan takut (pada azab Allah). Mereka yang lari jauh..... gagal memandang...meremehkan...enggan mendengar atau mengambil peringatan...tertinggal untuk menempah tiket ke neraka yang menjulang-julang wujudnya.

Ya Allah...Tuhan yang Maha Mendengar doa, Tuhan yang Maha Melihat pada hajat dan permintaan isi hati, Tuhan yang Maha mengabulkan doa...bantulah kami untuk menjauhkan diri pada perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengan kami, tutupkan liang dan laluan untuk kami berkongsi fitnah, amarah dan da'yah...BUKAkanlah untuk kami seluas-luasnya peluang dan usaha da'wah....

Wednesday, December 7, 2011

Jujurlah pada diri sendiri...

Seperti mana kita harap insan lain jujur terhadap apa yang dilakukan dalam urusannya dengan kita...demikian juga perlakuan kita apabila berhadapan dengan sesiapa. Saya pula melihat bagaimana kejujuran itu perlu pula disempurnakan pada diri sendiri...pada hati dan setiap amalan yang dilakukan.

Moga kita TIDAK bersusah payah berlaku jujur apabila 'terpaksa' berhadapan dengan situasi yang memerlukan kita sedemikian...sedangkan dalam ruang 'tertutup' dari dipandang insan, adakala kejujuran itu tanpa kita sedar mungkin kita campak dalam lurah yang sangat dalam di sisi kehidupan. Moga dilindungkan Allah utk kita agar apabila sesama insan...kewujudan Tuhan yang Maha Kuasa kita utamakan untuk dipertahan.

.....andai dosa itu mempunyai bau dan rasa... hampir pasti bahawa manusia akan memilih jalan untuk jujur pada dirinya..

Sunday, December 4, 2011

Tentang 'BERPALING' (TURN AWAY)...

Antara terminologi di dalam Al Quran yang menarik perhatian saya ialah أَعْرِض ... dalam beberapa ayat menggunakan huruf asas alif , a'in , ra dan dhahd ini; mengisahkan tentang bentuk-bentuk berpaling (meninggalkan atau mengabaikan / turn away) yang disuruh Allah untuk melakukannya dan juga bentuk=bentuk berpaling yang ditegah untuk kita lakukan.

Kita diminta untuk BERPALING dari melakukan perkara-perkara berikut:

1. Dari terus mengikut cerita/ mengungkit kesilapan dua orang yang melakukan maksiat zina (Surah An Nisa' ayat 16)

2. Dari insan yang ada padanya tanda-tanda sifat MUNAFIQ (Surah An Nisa' ayat 63)

3. Dari mereka yang enggan ta'at pada perintah (dalam konteks hari ini sunnah) Nabi (Surah An Nisa' ayat 81)

4. Dari yahudi yang kufur (Surah Al Maidah ayat 42)

5. Dari mereka yang meremehkan / mengolok-olokkan Al Quran (Surah Al An'am ayat 68)

5. Dari mereka yang musyrik (Surah Al An'am ayat 106)

6. Dari mereka yang jahil/ tidak berilmu (Surah Al A'raf ayat 199)

7. Dari bertanya perkara yang tidak ada kena mengena dengan kita (Surah Hud ayat 76)

8. Dari mereka yang bercakap perkara yang tidak bermanfaat (Surah Al Qasas ayat 55)

9. Dari orang yang kafir (Surah As Sajdah ayat 30)

10. Dari mereka yang enggan menerima peringatan Allah dan sentiasa mengutamakan kehidupan dunia (Surah An Najm ayat 29)


Kita ditegah untuk berpaling dari :

1. Mengingati Allah tatkala dalam kesejahteraan dan kebahagiaan sedangkan di waktu susah begitu ingat mohon doa pada Allah (Surah Al Isra' ayat 67), (Surah Fusilat ayat 51)

2. Mensyukuri nikmat-nikmat Allah (Surah Al Isra' ayat 83)

3. Menghayati dan mendengar ayat-ayat Allah (surah Al Kahfi ayat 57)

4. Al Quran (Surah Ta ha ayat 100)

5.Mengingati Allah... (mereka yang berpaling dari mengingati Allah diberikan penghidupan yang sempit) (Surah Ta ha ayat 124)

6. Tazkirah ayat-ayat Allah (Surah As Sajdah ayat 22)

7. Mensyukuri segala nikmat-nikmat Allah (Surah Saba' ayat 16)

8. Peringatan yang gembira dan menakutkan (balasan benar tentang syurga dan neraka) (Surah Fusilat ayat 4), (Surah Fusilat ayat 13)

Friday, December 2, 2011

Tentang faham dan penghayatan...

Bayangkan jika kita membaca buku...yang lafaznya hanya bbnmmmeegghhkkklllwww....... jika dikhabarkan pula ia sebenarnya kunci hikmah kebijaksanaan untuk diteroka dan membawa manfaat kehidupan... maka apakah kita akan terus membiarkan lafaz bbnmmmeegghhkkklllwww...itu terus tertinggal dalam bacaan lalu dibiarkan ter'buku' tidak dijenguk isi tafsiran dan kata kunci untuk diamalkan?? Apakah buku itu bermakna dalam kehidupan dan memperkukuhkan ilmu pengetahuan ??

Bayangkan pula kita bercakap dengan seorang yang amat dihormati dengan permohonan atau harapan...kita bercakap dalam bahasa ...dddffgghhjjrrlllmmnn...kemudian diungkapkan pula dengan intonasi yang tidak kemas, kedudukan hati yang tidak faham apa yang diucap...manusia apa agaknya kita ini?

Al Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang begitu komprehensif dan sistematik tafsirannya. Andai ianya dibaca dalam konteks bacaan yang langsung tidak pernah difaham...ianya serupalah seperti perumpamaan yang cuba diilustrasikan di atas.

Demikian juga dengan solat dan doa yang kita ungkap kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, Maha Hebat dan Maha Pencipta...memliki asmaul husna serta seluruh kerajaan di seluruh alam....betapa 'biadap'nya kita jika membiarkan diri dalam situasi kaku tidak memahami bacaan solat dan doa yang dipohon kepadaNya..serta membaca dalam intonasi kasar, terkadang seperti menengking dan 'syok sendiri' dalam batas lagu yang berlebihan (yang tidak pernah diajar oleh rasulullah SAW)??

Saya juga merupakan antara individu yang selama ini mengabaikan kesungguhan untuk faham dan menghayati isi-isi Al Quran; juga saya mengambil masa puluhan tahun untuk mempunyai 'insight' betapa kefahaman dalam membaca bacaan dalam solat adalah kunci untuk fokus dan meletakkan rasa pengabdian ikhlas terhadap Allah SWT.

Moga Allah memudahkan jalan untuk kita memperbaiki hati dan diri...