Dalam surah Al Baqarah ayat 94 Allah berfirman yang bermaksud, “ Katakanlah (wahai Muhammad), jika akhirat (balasan syurga) itu khusus untuk kamu saja dan bukan untuk orang lain, maka mintalah agar kamu dimatikan jika kamu orang yang benar”
Saya membaca tentang tafsir ayat ini yang membicarakan perihal bani Israil yang begitu degil dan ingkar kepada kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Mereka dengan angkuhnya menganggap diri mereka lebih suci serta diberikan kedudukan istimewa di sisi Allah...dan pada masa yang sama mereka menentang dan tidak mengiktiraf da’wah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Dalam majlis ilmu mengenai pengukuhan ilmu dan amal dalam praktis sebagai muslim di PICC baru-baru ini, Allah mudahkan untuk saya untuk begitu terkesan dengan penjelasan ayat berkenaan (ayat 94 surah Al Baqarah). Salah seorang ilmuwan memberikan provokasi kepada pendengar iaitu jika benar kita ini muslim sebenar-benarnya dan telah yakin benar akan dimasukkan syurga, maka katanya dia cabar setiap yang sedemikian untuk minta dimatikan Allah serta merta sebab dah ‘sure’ masuk syurga...
Sesungguhnya, hakikat kebenaran yang disampaikan Allah dalam ayat tersebut bukan sahaja ditempelak ke atas Bani Israil yang ingkar...namun juga merupakan konotasi terhadap kita yang berpuas hati pada kedudukan yang ‘kononnya’ sudah menerima Islam sebagai agama. Rasa cukup dengan bicara atau nama sebagai muslim...dan yakin benar itu sudah memadai untuk dimasukkan syurga walaupun amalan yang dilakukan belum tentu mendapat tempat di sisi Allah SWT.
Moga kita sama-sama dapat perhatikan...apa sebenarnya yang dipegang oleh hati kita dalam meneladani kehidupan sementara di dunia.
Pada batas apa sebenarnya jiwa kita ini terikat...pada jalan mana yang kita utamakan dalam melakukan apa sahaja amalan. Sesungguhnya, betapa mitos bahawa kita ini sebagai muslim sudah cukup menjamin tempat ke syurga telah menyesatkan atau melalaikan sebahagian besar individu yang begitu ‘gah’ dengan keistimewaan mereka yang dinamakan sebagai muslim...tanpa sedikitpun berusaha dengan ilmu yang benar untuk berusaha menjadi muslim yang diiktiraf di sisi Allah.
Menjadi muslim yang benar...yang beriman dan bertaqwa...memerlukan ilmu (kebenaran perlu dicari, ianya tidak datang sendiri) serta diikuti dengan tekun bersungguh-sungguh mengamalkan apa yang diyakini. Apa yang diucap, itulah yang dicirikan sebagai terjemahan kehidupan. Kita ini bukan sekadar berangan-angan... Moga kita tidak bercakap sebagai muslim dalam satu aspek, namun pada aspek lain yang apabila dilihat tiada kaitan dengan agama kita tinggalkan. Sama-sama kita doa kepada Allah...
No comments:
Post a Comment