Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Monday, October 31, 2011

Mendefinisikan 'DAJJAL'...

Saya secara jujur dalam tempoh berpuluh-puluh tahun ini saya tidak begitu memahami tentang hakikat dajjal seperti yang diperjelas dalam hadith Rasulullah SAW. Seringkali dalam bacaan atau dalam majlis tazkirah yang memperkatakan tentang tanda-tanda hari kiamat, salah satu tanda yang besar ialah kebangkitan dajjal yang akan menyesatkan manusia. Dalam pelbagai tafsiran itu...saya nyatanya seperti acuh dan tidak acuh untuk duduk menghayati...apa sebenarnya hakikat yang dikatakan tentang 'DAJJAL' itu.

Dari Ali r.a beliau berkata Rasulullah SAW bersabda maksudnya, " Sesiapa yang membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat , ia akan terpelihara daripada segala fitnah yang berlaku sehingga lapan hari. Kiranya Dajjal keluar, ia terpelihara daripadanya". (Hadith Riwayat Muslim dan Abu Daud).

Dalam konteks cetusan dan sentimen yang didorong oleh sebahagian masyarakat yang bersungguh-sungguh ingin kembali beramal dengan amalan Rasulullah SAW, alhamdulillah saya juga memilih untuk membacakan sebahagian surah ini bersama anak-anak pada malam jumaat. Bacaan Yasin pada malam Jumaat adalah juga adalah satu ibadah, kerana Surah Yasin adalah sebahagian dari Al Quran; tetapi mengkhususkan bacaan Surah Yasin pada malam/hari Jumaat bukanlah sunnah Rasulullah SAW. Dalil untuk beramal secara khusus pada hari Jumaat seperti di dalam hadith sahih ialah membaca Surah Al Kahfi.

Antara buku yang pernah saya beli semasa usia remaja dahulu ialah Buku terjemahan tulisan Abul Hasan Ali An-Nadwi iaitu bertajuk "Pertentangan antara Iman dan Materialisma". Sayapun tidak pasti mengapa saya memilih buku tersebut, namun kandungannya pada saya ketika usia tersebut agak berat untuk saya hayati, apatah lagi bahasa terjemahan yang dikongsikan agak sukar dan struktur ayatnya untuk difahami. Namun di dalam hati kecil saya, saya sangat yakin bahawa buku itu sangat bermanfaat untuk kita memahami hakikat pentingnya untuk kita menterjemahkan aqidah kita kepada apa yang wajib kita imani di dalam kehidupan sebenar yang dilalui.

Fakta-fakta di dalam buku itu sebenarnya menghuraikan mengenai Surah Al Kahfi iaitu hakikat kehidupan yang penuh ujian... huraian yang diajar oleh Allah SWT kepada kita hamba-hambaNya melalui perantaraan Rasulullah SAW.

Sebelum ini...jika dikatakan tentang Dajjal...saya hanya terbayang gambaran seperti 'hantu'.... jin atau juga 'manusia' hodoh yang bermata satu...dikatakan juga bahawa Dajjal itu adalah mereka yang sangat jahat...menyusahkan manusia, merosakkan alam, serta berbuat pelbagai kerosakan. satu-satunya fakta yang terus diperkatakan kepada kami ketika kanak-kanak juga ialah...Dajjal ini kemunculannya membawa petanda hari sudah begitu dekat dengan kiamat.

Namun...istilah dajjal di dalam hadith Nabi di atas, juga disebut dalam hadith-hadith sahih yang lain sebenarnya tidak terhad sedemikian. Konteks ancaman dajjal yang membelit manusia sehingga menjadi manusia rakus yang kemudiannya berpotensi untuk bermetamorfosis sehingga menjadi raksasa...bukan pada asas fizikal yang dilihat semata-mata dengan pancaindera. Fitnah dajjal yang dikatakan mampu ditangani dengan pembacaan Surah Al Kahfi, begitu terperinci huraiannya di dalam Buku oleh Abi hasan Ali An Nadwi itu.

Sebelum hakikat dajjal ini saya kongsikan melalui pengamatan terhadap tulisan ulama Abul Hasan ini, wajarnya kita sama-sama mengambil iktibar serta segera mengamalkan apa yang diperintahkan Allah di dalam Al Quran. Beriman kepada Al Quran bukan sahaja membaca..serta menganggap Al Quran bagai 'kitab ajaib' dengan pelbagai penawar segera. Namun beriman pada Al Quran ialah membaca, memahami, menghayati isi dan fakta di dalamnya, beramal dengannya serta menyampaikan pula kebenarannya kepada orang lain. Mana mungkin jika kita sekadar membaca surah Al Kahfi itu...tanpa memahami isi dan pengajarannya boleh membawa kita terpelihara dari fitnah dajjal seperti yang sarankan oleh Rasulullah SAW. Bayangkan manual sebuah alat/ mesin dalam Bahasa yang tidak mampu kita fahami, mampukah mesin itu kita manfaatkan kegunaannya??

Tema pengkisahan di dalam surah Al Kahfi membawa 4 kisah yang diceritakan Allah iaitu kisah Ashabul Kahfi, Pemilik Dua Kebun, Kisah Nabi Musa da Khidir dan Kisah tentang Zulqarnain. Fokus pengkisahan dalam ayat-ayat kisah berkenaan mengutarakan satu tema yang sama iaitu kepentingan aqidah yang jelas dan ikhlas dalam menghambat/ bertarung terhadap nilaian yang mempunyai sifat-sifat 'dajjal'.

Menurut Ibnu Manzur, asal perkataan dajjal dirujuk kepada penipu, pendusta dan pembohong..apa-apa yang menipu, disebut dajjal. Abu Al-Abbas pula menyatakan: "Dinamakan dajjal kerana ia menipu orang ramai, berbohong dan menutup perkara batin dengan keindahan zahir".

Berbalik kepda pengkisahan dalam Surah Al Kahfi... bentuk 'abstrak' yang diutarakan sebagai analog terhadap dajjal ialah kekuasaan, harta, kekayaan, kehebatan serta apa-apa sahaja yang memadamkan perhambaan/ ubudiyah manusia terhadap Allah SWT. Ketelitian Abu Hasan Ali An Nadwi menulis baris-baris ayat mengungkapkan kefahamannya terhadap Surah Al Kahfi sangat menggetarkan perasaan saya. Setiap kisah dan fakta..diperkuatkan dengan dalil-dalil dan nas untuk dihayati..betapa pen'DAJJAL'an terhadap setiap diri terus terjadi andai hakikat tentang kekuasaan, harta, kekayaan, kehebatan serta apa-apa sahaja yang memadamkan perhambaan/ ubudiyah manusia terhadap Allah SWT dibiarkan berlaku tanpa mengambil berat terhadap perintah Allah dan ajaran Rasulullah SAW.

Sesungguhnya...bagi saya, banyak persoalan yang mendepani fikiran saya sejak tahun bertahun diizinkan Allah terjawab dengan penjelasan oleh Abu Hasan Ali An Nadwi.....wallahua'lam,

Wednesday, October 26, 2011

Tentang Taubat dan Doa...

Pada masa ini, Thailand sedang dilanda bencana banjir yang berpanjangan...bermula Ogos lalu, sehinggalah kini. Masih belum tampak pemulihan; sesuatu yang begitu luar biasa kerana situasi tersebut terus sedemikian melebihi tempoh berbulan-bulan.

http://news.yahoo.com/residents-flee-bangkok-massive-flood-warning-022308526.html

Turki pula kini bertungkus lumus menyelamatkan mangsa gempa selepas daerah yang terjejas dilanda gempa kuat pada skala 7.2 ritcher.

Di dalam surah Al Mulk ayat 16 dan 17, Allah berfirman;

أَأَمِنتُم مَّن فِي السَّمَاءِ أَن يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ

Are you secure of those in the heaven that He should not make the earth to swallow you up? Then lo! it shall be in a state of commotion.
Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: Menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?

أَمْ أَمِنتُم مَّن فِي السَّمَاءِ أَن يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ

Or are you secure of those in the heaven that He should not send down upon you a punishment? Then shall you know how was My warning.
Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: Menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?

Sentiasa insaf dan takut terhadap azab Allah adalah merupakan sesuatu yang perlu kita lakukan....sesungguhnya merasa aman dari azab Allah adalah dosa...jika langsung tidak diendahkan, bakal menjadi dosa besar pula.

Di tengah kegawatan majoriti masyarakat Islam yang mengabaikan Al Quran, pandang remeh hakikat solat serta realiti terhadap dosa besar zina dan pembunuhan nasab yang menjadi-jadi, saya sebetulnya sangat gusar...

Firman Allah lagi dalam ayat 25 Surah Al Anfal, satu lagi ayat yang mengetarkan hati dan perasaan saya...

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

And fear an affliction which may not smite those of you in particular who are unjust; and know that Allah is severe in requiting (evil).
Dan takutlah pada bencana yang akan menimpa bukan sahaja mereka yang berlaku zalim di antara kamu, dan sesungguhnya azab Allah sangat pedih.

Bertaubat dan berdoa bukan satu option...bukan boleh dipilih-pilih secara suka atau rela...tetapi ia adalah sesuatu yang wajib untuk saya dan anda semua....

Sunday, October 23, 2011

Fenomena isteri-isteri berkerjaya...iktibar dari Ummul Mukminin Siti Khadijah..

Umum menegtahui, majoriti wanita dalam masyarakat hari ini...termasuklah diri saya yang keluar bekerja. Perubahan status dan cara hidup menjadikan wanita mengisi banyak jawatan utama serta tampil sebagai mereka yang berstatus, berketrampilan serta mempunyai imej yang dipandang dalam masyarakat.

Perhatikan pula mereka yang mempunyai empayar kekayaan dari urusniaga perniagaan.. tampil pula dengan imej korporat serta menjadi ikutan dan sanjungan dari mereka-mereka yang baru bertapak.

Meskipun sedemikian...saya turut menerima pelbagai respon dan maklumbalas yang jarang diperkatakan secara terbuka...jika adapun, ianya diolah secara tersendiri atau menjadi isu individu 'di celah-celah kehidupan..' Satu soalan yang tak mungkin saya lupa ialah apabila seorang peserta yang begitu lantang memeprsoalkan tentang implikasi wanita bekerja sehingga menyebabkan suami-suami mereka 'terabai...'. Ianya tidak setakat itu, malah membongkar implikasi tentang hubungan suami isteri yang akhirnya mungkin berakhir dengan hasilan yang menyedihkan.

Saya secara peribadi jarang menyorot isu tersebut secara detail...lantaran saya juga merupakan isteri yang bekerja. Tidak dinafikan kadang-kadang fokus kerja yang berlambak' , 'stress' yang tidak tercapai minda untuk menyelesaikan serta keletihan fikiran dan fizikal diluangkan di tempat kerja; menjadi isu besar yang perlu diberikan keutamaan. Tidak sedikit juga para isteri yang juga merupakan teman sekerja yang berkongsi kesedihan apabila terpaksa 'berpisah' dengan suami akibat tekanan 'outstation' serta keperluan memenuhi tanggungjawab kerjaya.

Seminar mengenai Seerah Rasulullah SAW yang memberikan penekanan terhadap banyak teladan yang perlu kita terjemahkan dalam praktis kehidupan, memberikan dimensi baru yang mungkin selama ini tidak saya perhatikan secara wajar. Antara yang paling menarik perhatian saya ialah betapa mulia dan indahnya peribadi Siti Khadijah dalam memberikan 'support' yang tidak berbelah bahagi terhadap suaminya baginda Rasulullah SAW .... mencukupkan baginda segala keperluan tugas sebagai penyampai risalah Allah, insan yang mula-mula mengucapkan syahadah...serta memberikan segenap kesetiaan tanpa berbelah bahagi.. Siti Khadijah adalah wanita hartawan...berpengaruh...dalam dunia moden ini mungkin kedudukannya pada masyarakat seperti wanita-wanita korporat.

Namun, di mana Siti Khadijah dalam kehidupan dan da'wah Rasulullah SAW... kesungguhan dan ketabahannya mengharung tribulasi dan fitnah dari rentangan musyrikin Makkah diiktiraf oleh melalui salam dari Allah yang disampaikan oleh malaikat Jibrail melalui Rasulullah SAW...Allahu akbar

Kita pula para isteri....sebahagian majoriti masih tersekat dalam pencarian status dan imej... , kadang-kadang terlupa sehingga tidak sengaja/ sengaja meletakkan suami sebagai keutamaan kedua atau ketiga selepas kerjaya...belum lagi dihadap cabaran da'wah mahupun...namun, betapa ramai yang 'melawan' para suami....sehingga mencetuskan isu perselisihan gender dan kekeluargaan..


SubhanaAllah....baru saat ini saya begitu menghargai teladan agung yang ditinggalkan oleh Ummul Mukminin Siti Khadijah r.a...

Friday, October 21, 2011

Zina yang menjadi-jadi... di mana kita dalam menterjemah penyelesaiannya?

Jiwa saya sebak apabila diskusi yang saya hadiri petang itu memaparkan senerio lumrah mengenai zina yang kini menjadi berita ruji atau kisah yang tidak perlu diterima dalam keadaan terkejut.. apabila disuakan pula apakah cadangan langkah-langkah penyelesaian yang praktikal untuk menangani isu berkenaan, saya turut termenung. Bagai mati akal...terkedu..sesekali saya bertanggapan, urutan nasihat mahupun promosi kata-kata bagai diluahkan pada 'monumen batu' yang tidak mampu memberikan gerakbalas.

Apakah ertinya iman kita kepada Allah dan akhirat? Fokus penterjemahan menjadi insan taqwa yang memahami apa yang diungkapkan, kelihatannya hanya difahami di kalangan mereka yang mampu menghayati ilmu dalam konteks kefahaman dan izin dari Allah.

Di manakah Allah 'dalam kehidupan' penuh 'batuan materialistik ini? Di manakah pula rasa berjaga-jaga terhadap amaran azab Allah yang sangat dahsyat jika larangan terhadap dosa yang sangat keji dan dibenciNya terus dilanggar dan dipermudahkan? Di mana pula rasa yakin kita terhadap dosa dan pahala?

Zina yang menjadi-jadi dari hentakan dari suasana yang begitu tegar dan kondusif mengiklan dan mempromosikan betapa 'HEBAT'nya perlakuan zina...betapa 'cemerlang dan indah'nya dunia seraba materialistik dan keterlaluan ekspresif nya ini memandang 'MULIA' ikon-ikon yang berZINA. Manusia hari ini tidak lagi 'bersahabat' sesama manusia.. informasi dari internet dari hari ke hari terus bermetamorfosis menjadi rujukan 'PALING AGUNG' untuk diikut dan dimartabatkan. Fokus zina yang menjadi kesukaan syaitan...dihias sedemikian rupa sehingga seruan ke arah zina dari setiap saat..memenuhi ruang fikiran dan kehidupan..lalu dengan mudahnya dalam praktis terjemahan pada hakikatnya menonjolkan amalan yang TIDAK PERCAYA KEPADA ALLAH DAN AKHIRAT.

Saya berpandangan, kunci permasalahan terhadap isu zina adalah dari konstruk iman yang lemah dan rapuh lalu mewujudkan hasilan demi hasilan yang sangat menyedihkan... kitalah juga yang insyaAllah perlu mengenengahkan da'wah ila Allah..meyakinkan hati-hati bahawa kepercayaan kepada Allah dan rukun iman secara keseluruhannya bukan rhetorik akademik atau angan-angan mainan bibir. Bahawa kita ada Allah yang sentiasa Maha Mengawasi dan melihat apa sahaja yang dilakukan..

Tuesday, October 18, 2011

Berkongsi email dari pembaca: Kisah Kembara di Yunnan

Hampir setahun lalu, saya singgah di bumi Yunnan...meraikan Aidil Adha serta bertemu wajah dengan insan-insan yang seakidah. Keindahan perjalanan serta berpeluang menemui mereka yang seagama dengan saya masih jelas berbekas serta segar dalam ingatan.

Jika trend penulisan travelog dan kisah perjalanan mendapat tempat di kalangan penulis hebat dan mereka yang terkenal serta mencipta hitz jualan...saya juga berkongsi gembira dan syukur jika ada hati-hati yang terbuka hatinya dengan izin Allah untuk berhijrah ke arah kebaikan dengan mengambil iktibar dari kisah-kisah kembara berkenaan. Saya kongsikan email pembaca yang singgah ke inbox email saya... catatan yang menyentuh hati dan perasaan saya tatkala membacanya...

Assalamualaikum wr. wbt

Dr. Malina yang dihormati,

Saya menemui blog Dr. Malina secara kebetulan, (didorong Allah SWT sebenarnya).

Sebelumnya, beberapa hari ini, saya berasa sangat tidak bahagia. Jiwa kosong, dan
hilang rasa terhadap kehidupan. Putus asa, kecewa dan berasa segalanya tidak bermakna.

Sebuah cerita lama larut malam tadi menyebut tentang Dali, daerah di selatan China yang nyaman dan menyenangkan perasaan serta fikiran.

Lantas, saya google tentang Islam dan Dali (Muslims in Dali). Subhanallah! Allah SWT
menemukan saya dengan blog Dr. dengan beberapa entri tentang kembara Dr. di daerah
Yunnan (Kunming, Dali, Li Jiang dsb.).

Tulisan-tulisan Dr. tentang daerah-daerah itu telah menjadi penawar jiwa kosong saya.
Dan saya terus memasang niat untuk menziarahi daerah-daerah tersebut pada AidilAdha
dua tahun lagi (kerana saya orang yang tidak berkemampuan, dan harus mengumpul banyak
wang untuk kembara sedemikian).

Namun begitu, catatan Dr. tentang daerah-daerah tersebut telah memberi lorong baru dalam hidup saya pagi ini. Jiwa saya semakin kosong harus tinggal di negara ini di mana orang berlumba-lumba mengumpul harta, berbohong terang-terangan dan membuat fitnah. Di bidang akademika, orang mengukur kepintaran dan kesempurnaan diri bersandarkan gelaran Prof. dan PhD dengan kertas ijazah paling tinggi. Saya berdoa moga-moga Allah SWT akan menghantar saya berkhidmat di daerah terpencil di tempat orang seperti Kunming dan Dali.

Di negara ini, menjadi orang biasa, sederhana atau orang kecil yang tak punya apa-apa adalah seperti satu dosa dan penuh sia-sia. Biarlah sahaja saya hidup miskin di daerah lain di kalangan orang-orang biasa bersandarkan ilmu dan agama Tauhid kepada Allah SWT.

Saya benar-benar berdoa agar Allah SWT menghantar saya jauh ke sana dan semoga saya dapat menabur ilmu di daerah sebegitu.

Terima kasih Dr. Malina. Alhamdulillah, dengan membaca blog Dr. tentang Dali, paling tidak, saya ada sebab untuk kembali berusaha.


Berbanyak terima kasih. Semoga Allah SWT merahmati Dr. Malina sekeluarga.

Salam hormat,
SS



NB: Jazakallahukhayran SS membenarkan saya berkongsi emailnya di sini. Doa saya yang terbaik untuk SS dan semua yang bersungguh-sungguh mencari laluan kembali menghayati tanda-tanda kekuasaan Allah....moga dipermudahkan Allah serta diberikan barakah dalam kehidupan

Monday, October 17, 2011

Menghayati pengorbanan Hajar...

Secara peribadi, saya selama ini tidak pernah menghayati kisah pengorbanan Hajar. Saya pernah tertanya-tanya mengapa Hajar ditinggalkan sendirian dengan bayi yang masih kecil di lembah yang tidak berpenghuni itu. Namun, tidak ada pula usaha untuk memahami hakikat itu...sekadar membiarkan kisah itu terpendam tanpa huraian iktibar dan teladan.

Hajar merupakan isteri Nabi Ibrahim a.s; dibawa berhijrah ke lembah tandus bersama putearanya Ismail atas perintah dari Allah. Jika selama ini sejarah itu saya baca sepintas lalu, namun buat pertama kalinya melalui Seminar Penghayatan Seerah Nabi Muhammad SAW...kisah berkenaan mencuri tumpuan dan begitu berbekas di hati saya.

Selepas bermusafir beberapa ketika dari Mesir, Nabi Ibrahim a.s, Hajar dan ismail tiba di lembah berkenaan yang tidak diduduki sesiapa. Terdapat beberapa pohon kurma. Nabi Ibrahim a.s. meletakkan Ismail di atas tanah lalu terus meninggalkan Hajar dan anaknya itu dengan sekarung kurma dan seuncang air.

Hajar ketika itu benar-benar keliru lantaran ditinggalkan sedemikian. Hajar memanggil berkali-kali suaminya nabi Ibrahim a.s namun baginda terus berjalan. Lalu Hajar bertanya..." Adakah ini perintah dari Allah?...lalu Nabi Ibrahim menjawab tanpa menoleh.."Ya"

Lalu Hajar dengan penuh tabah mengambil keputusan tersebut...beliau faham bahawa itu sesungguhnyaadalah perintah Allah; bukan keputusan dari suaminya. Lalu kata Hajar...Allah tidak akan mensia-siakan kita. Hajar kemudian kembali mendapatkan Ismail.

Dalam perjalanan pulang meninggalkan Hajar dan puteranya Ismail, Nabi Ibrahim berdoa di sebalik gunung yang tidak kelihatan pada pandangan Hajar iaitu doa yang diungkapkan baginda dalam ayat 35-37 Surah Ibrahim.

Sama-sama bayangkan jika kita berada dalam kedudukan Hajar. Ditinggalkan sedemikian... di gurun tandus, tanpa manusia dan tanpa penghidupan... Namun Hajar dengan penuh tawakkal menyandarkan harapannya pada Allah, menerima sepenuhnya keputusan Allah tanpa debat dan tanpa keluh kesah. Begitu juga ketabahan nabi Ibrahim a.s. Meninggalkan isteri dan anak yang dikasihi demi melaksanakan keputusan dan perintah Allah SWT.

Sampai waktu apabila bekalan air dan kurma habis, Hajar dalam keadaan resah mencari-cari punca air..manakala anaknya Ismail a.s mulai menangis. Hajar naik ke Bukit Safa mencari-cari andainya ada air di situ...kemudian berlari ke lembah dan naik ke Bukit Marwah...terus berusaha mencari sumber air untuk diri dan anaknya untuk meneruskan kehidupan. Dalam keadaan resah itu...Hajar mengulang perjalanannya antara kedua bukit tersebut sebanyak 7 kali ...yang akhirnya dengan izin Allah mengalir matair zam-zam. Semasa di Marwah, Hajar mendengar bunyi aliran air yang digali oleh Malaikat Jibrail. Beliau nampak Jibrail sedang menggali tanah menggunakan sayapnya. Jibrail berkata padanya...jangan takut..ini adalah rumah Allah, lalu Jibrail pun berlalu.

Tawakkal dan kesungguhan Hajar menyandarkan harapan pada Allah adalah teladan untuk kita semua. Betapa komitmen Hajar itu diabadikan serta diiktiraf Allah melalui ibadah sa'i yang menjadi satu dari rukun wajib Haji dan Umrah...bayangkan betapa bergandanya ganjaran untuk Hajar apabila kesungguhan tawakkalnya itu dan bersungguh-sungguh berusaha itu diikuti oleh juta-jutaan muslim hingga hari akhirat.

Demikian juga dengan doa yang diungkapkan oleh Nabi Ibrahim a.s semasa meninggalkan Hajar dan puteranya Ismail a.s dikabulkan Allah menjadi kenyataan...

NB: Buat semua muslimin muslimat yang bakal menunaikan Haji... didoakan semuanaya dipermudahkan Allah serta mendapat Haji yang mabrur...

Sunday, October 9, 2011

Bila lilin-lilin itu membakar dirinya....

Umum mengetahui...perumpamaan yang diberi kepada guru-guru atau mana-mana individu yang mengorbankan dirinya untuk menerangi alam dengan ilmu dan pengetahuan. mereka ini dikatakan 'membakar' diri demi kesejahteraan orang lain. Itulah juga konotasi yang sering saya baca...tahun demi tahun dalam konteks menghargai betapa tingginya jasa insan yang berbakti pada ilmu dan masyarakat.

Buku "Adorning Knowledge with Action" yang baru saya dapatkan beberapa minggu lalu kini menjadi tatapan saya.... yang mana bab demi bab di dalamnya saya baca secara berulang (fakta dan isinya begitu menyentuh hati dan perasaan)... Kewujudan fakta mengenai lilin yang membakar diri turut diselitkan dalam salah satu isi di dalamnya.

Apa yang mengejutkan saya...prinsip mengenai konteks lilin yang membakar ternyata sangat berbeza jauh dari apa yang kita 'agung'kan selama ini. Berdasarkan nota kaki rujukan, frasa penting dalam isi mengenai lilin yang membakar diri itu rupanya berasal dari hadeeth rasulullah SAW. Terjemahan dari hadeeth tersebut menyebut bahawa perumpamaan individu yang tidak mengamalkan ilmu yang dikongsikannya seperti pelita/lampu/ lilin yang menerangi... ia membakar/ memusnahkan diri tanpa mengambil manfaat dari cahaya yang diteranginya.".The example of the scholar who teaches the people good thins but forgets himself is that of a lantern, it gives the light to other people but burns itself out" (reported by At Tabaranee in al Kabeer and in ad Diyaa')

Dengan kata lain...jika kita diumpamakan sebagai lilin yang membakar diri; ia adalah satu TEGURAN/ TEMPELAK terhadap diri kita yang gagal menterjemahkan ilmu dalam kehidupan sebaik-baiknya.

'Ya Allah...I seek refuge in You from knowledge which does not benefit, from a heart which does not feel humble, from a soul that does not feel contented and from an invocation that is not answered'