Secara peribadi, saya selama ini tidak pernah menghayati kisah pengorbanan Hajar. Saya pernah tertanya-tanya mengapa Hajar ditinggalkan sendirian dengan bayi yang masih kecil di lembah yang tidak berpenghuni itu. Namun, tidak ada pula usaha untuk memahami hakikat itu...sekadar membiarkan kisah itu terpendam tanpa huraian iktibar dan teladan.
Hajar merupakan isteri Nabi Ibrahim a.s; dibawa berhijrah ke lembah tandus bersama putearanya Ismail atas perintah dari Allah. Jika selama ini sejarah itu saya baca sepintas lalu, namun buat pertama kalinya melalui Seminar Penghayatan Seerah Nabi Muhammad SAW...kisah berkenaan mencuri tumpuan dan begitu berbekas di hati saya.
Selepas bermusafir beberapa ketika dari Mesir, Nabi Ibrahim a.s, Hajar dan ismail tiba di lembah berkenaan yang tidak diduduki sesiapa. Terdapat beberapa pohon kurma. Nabi Ibrahim a.s. meletakkan Ismail di atas tanah lalu terus meninggalkan Hajar dan anaknya itu dengan sekarung kurma dan seuncang air.
Hajar ketika itu benar-benar keliru lantaran ditinggalkan sedemikian. Hajar memanggil berkali-kali suaminya nabi Ibrahim a.s namun baginda terus berjalan. Lalu Hajar bertanya..." Adakah ini perintah dari Allah?...lalu Nabi Ibrahim menjawab tanpa menoleh.."Ya"
Lalu Hajar dengan penuh tabah mengambil keputusan tersebut...beliau faham bahawa itu sesungguhnyaadalah perintah Allah; bukan keputusan dari suaminya. Lalu kata Hajar...Allah tidak akan mensia-siakan kita. Hajar kemudian kembali mendapatkan Ismail.
Dalam perjalanan pulang meninggalkan Hajar dan puteranya Ismail, Nabi Ibrahim berdoa di sebalik gunung yang tidak kelihatan pada pandangan Hajar iaitu doa yang diungkapkan baginda dalam ayat 35-37 Surah Ibrahim.
Sama-sama bayangkan jika kita berada dalam kedudukan Hajar. Ditinggalkan sedemikian... di gurun tandus, tanpa manusia dan tanpa penghidupan... Namun Hajar dengan penuh tawakkal menyandarkan harapannya pada Allah, menerima sepenuhnya keputusan Allah tanpa debat dan tanpa keluh kesah. Begitu juga ketabahan nabi Ibrahim a.s. Meninggalkan isteri dan anak yang dikasihi demi melaksanakan keputusan dan perintah Allah SWT.
Sampai waktu apabila bekalan air dan kurma habis, Hajar dalam keadaan resah mencari-cari punca air..manakala anaknya Ismail a.s mulai menangis. Hajar naik ke Bukit Safa mencari-cari andainya ada air di situ...kemudian berlari ke lembah dan naik ke Bukit Marwah...terus berusaha mencari sumber air untuk diri dan anaknya untuk meneruskan kehidupan. Dalam keadaan resah itu...Hajar mengulang perjalanannya antara kedua bukit tersebut sebanyak 7 kali ...yang akhirnya dengan izin Allah mengalir matair zam-zam. Semasa di Marwah, Hajar mendengar bunyi aliran air yang digali oleh Malaikat Jibrail. Beliau nampak Jibrail sedang menggali tanah menggunakan sayapnya. Jibrail berkata padanya...jangan takut..ini adalah rumah Allah, lalu Jibrail pun berlalu.
Tawakkal dan kesungguhan Hajar menyandarkan harapan pada Allah adalah teladan untuk kita semua. Betapa komitmen Hajar itu diabadikan serta diiktiraf Allah melalui ibadah sa'i yang menjadi satu dari rukun wajib Haji dan Umrah...bayangkan betapa bergandanya ganjaran untuk Hajar apabila kesungguhan tawakkalnya itu dan bersungguh-sungguh berusaha itu diikuti oleh juta-jutaan muslim hingga hari akhirat.
Demikian juga dengan doa yang diungkapkan oleh Nabi Ibrahim a.s semasa meninggalkan Hajar dan puteranya Ismail a.s dikabulkan Allah menjadi kenyataan...
NB: Buat semua muslimin muslimat yang bakal menunaikan Haji... didoakan semuanaya dipermudahkan Allah serta mendapat Haji yang mabrur...
No comments:
Post a Comment