Saya secara jujur dalam tempoh berpuluh-puluh tahun ini saya tidak begitu memahami tentang hakikat dajjal seperti yang diperjelas dalam hadith Rasulullah SAW. Seringkali dalam bacaan atau dalam majlis tazkirah yang memperkatakan tentang tanda-tanda hari kiamat, salah satu tanda yang besar ialah kebangkitan dajjal yang akan menyesatkan manusia. Dalam pelbagai tafsiran itu...saya nyatanya seperti acuh dan tidak acuh untuk duduk menghayati...apa sebenarnya hakikat yang dikatakan tentang 'DAJJAL' itu.
Dari Ali r.a beliau berkata Rasulullah SAW bersabda maksudnya, " Sesiapa yang membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat , ia akan terpelihara daripada segala fitnah yang berlaku sehingga lapan hari. Kiranya Dajjal keluar, ia terpelihara daripadanya". (Hadith Riwayat Muslim dan Abu Daud).
Dalam konteks cetusan dan sentimen yang didorong oleh sebahagian masyarakat yang bersungguh-sungguh ingin kembali beramal dengan amalan Rasulullah SAW, alhamdulillah saya juga memilih untuk membacakan sebahagian surah ini bersama anak-anak pada malam jumaat. Bacaan Yasin pada malam Jumaat adalah juga adalah satu ibadah, kerana Surah Yasin adalah sebahagian dari Al Quran; tetapi mengkhususkan bacaan Surah Yasin pada malam/hari Jumaat bukanlah sunnah Rasulullah SAW. Dalil untuk beramal secara khusus pada hari Jumaat seperti di dalam hadith sahih ialah membaca Surah Al Kahfi.
Antara buku yang pernah saya beli semasa usia remaja dahulu ialah Buku terjemahan tulisan Abul Hasan Ali An-Nadwi iaitu bertajuk "Pertentangan antara Iman dan Materialisma". Sayapun tidak pasti mengapa saya memilih buku tersebut, namun kandungannya pada saya ketika usia tersebut agak berat untuk saya hayati, apatah lagi bahasa terjemahan yang dikongsikan agak sukar dan struktur ayatnya untuk difahami. Namun di dalam hati kecil saya, saya sangat yakin bahawa buku itu sangat bermanfaat untuk kita memahami hakikat pentingnya untuk kita menterjemahkan aqidah kita kepada apa yang wajib kita imani di dalam kehidupan sebenar yang dilalui.
Fakta-fakta di dalam buku itu sebenarnya menghuraikan mengenai Surah Al Kahfi iaitu hakikat kehidupan yang penuh ujian... huraian yang diajar oleh Allah SWT kepada kita hamba-hambaNya melalui perantaraan Rasulullah SAW.
Sebelum ini...jika dikatakan tentang Dajjal...saya hanya terbayang gambaran seperti 'hantu'.... jin atau juga 'manusia' hodoh yang bermata satu...dikatakan juga bahawa Dajjal itu adalah mereka yang sangat jahat...menyusahkan manusia, merosakkan alam, serta berbuat pelbagai kerosakan. satu-satunya fakta yang terus diperkatakan kepada kami ketika kanak-kanak juga ialah...Dajjal ini kemunculannya membawa petanda hari sudah begitu dekat dengan kiamat.
Namun...istilah dajjal di dalam hadith Nabi di atas, juga disebut dalam hadith-hadith sahih yang lain sebenarnya tidak terhad sedemikian. Konteks ancaman dajjal yang membelit manusia sehingga menjadi manusia rakus yang kemudiannya berpotensi untuk bermetamorfosis sehingga menjadi raksasa...bukan pada asas fizikal yang dilihat semata-mata dengan pancaindera. Fitnah dajjal yang dikatakan mampu ditangani dengan pembacaan Surah Al Kahfi, begitu terperinci huraiannya di dalam Buku oleh Abi hasan Ali An Nadwi itu.
Sebelum hakikat dajjal ini saya kongsikan melalui pengamatan terhadap tulisan ulama Abul Hasan ini, wajarnya kita sama-sama mengambil iktibar serta segera mengamalkan apa yang diperintahkan Allah di dalam Al Quran. Beriman kepada Al Quran bukan sahaja membaca..serta menganggap Al Quran bagai 'kitab ajaib' dengan pelbagai penawar segera. Namun beriman pada Al Quran ialah membaca, memahami, menghayati isi dan fakta di dalamnya, beramal dengannya serta menyampaikan pula kebenarannya kepada orang lain. Mana mungkin jika kita sekadar membaca surah Al Kahfi itu...tanpa memahami isi dan pengajarannya boleh membawa kita terpelihara dari fitnah dajjal seperti yang sarankan oleh Rasulullah SAW. Bayangkan manual sebuah alat/ mesin dalam Bahasa yang tidak mampu kita fahami, mampukah mesin itu kita manfaatkan kegunaannya??
Tema pengkisahan di dalam surah Al Kahfi membawa 4 kisah yang diceritakan Allah iaitu kisah Ashabul Kahfi, Pemilik Dua Kebun, Kisah Nabi Musa da Khidir dan Kisah tentang Zulqarnain. Fokus pengkisahan dalam ayat-ayat kisah berkenaan mengutarakan satu tema yang sama iaitu kepentingan aqidah yang jelas dan ikhlas dalam menghambat/ bertarung terhadap nilaian yang mempunyai sifat-sifat 'dajjal'.
Menurut Ibnu Manzur, asal perkataan dajjal dirujuk kepada penipu, pendusta dan pembohong..apa-apa yang menipu, disebut dajjal. Abu Al-Abbas pula menyatakan: "Dinamakan dajjal kerana ia menipu orang ramai, berbohong dan menutup perkara batin dengan keindahan zahir".
Berbalik kepda pengkisahan dalam Surah Al Kahfi... bentuk 'abstrak' yang diutarakan sebagai analog terhadap dajjal ialah kekuasaan, harta, kekayaan, kehebatan serta apa-apa sahaja yang memadamkan perhambaan/ ubudiyah manusia terhadap Allah SWT. Ketelitian Abu Hasan Ali An Nadwi menulis baris-baris ayat mengungkapkan kefahamannya terhadap Surah Al Kahfi sangat menggetarkan perasaan saya. Setiap kisah dan fakta..diperkuatkan dengan dalil-dalil dan nas untuk dihayati..betapa pen'DAJJAL'an terhadap setiap diri terus terjadi andai hakikat tentang kekuasaan, harta, kekayaan, kehebatan serta apa-apa sahaja yang memadamkan perhambaan/ ubudiyah manusia terhadap Allah SWT dibiarkan berlaku tanpa mengambil berat terhadap perintah Allah dan ajaran Rasulullah SAW.
Sesungguhnya...bagi saya, banyak persoalan yang mendepani fikiran saya sejak tahun bertahun diizinkan Allah terjawab dengan penjelasan oleh Abu Hasan Ali An Nadwi.....wallahua'lam,
No comments:
Post a Comment