Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Thursday, December 24, 2015

Tentang Maulidur Rasul...

Saya tidak bermaksud untuk memanjangkan isu perbahasan mengenai konteks maulidur rasul menurut dimensi sunnah mahupun bid'ah. Saya bukan ustazah…bukan juga ilmuwan agama yang mempunyai hujah sahih untuk memberikan pendapat-pendapat yang perlu dihujahkan.

Namun sambutan Maulidur Rasul ini memberikan kenangan yang sangat hebat dalam jiwa saya. Di zaman kanak-kanak dahulu saya melaluinya sebagai acara tahunan yang menemukan saya dengan insan-insan yang memelihara hubungan sosialnya sesama jiran, warga masjid serta menghubungkan ukhuwah antara guru-guru sekolah agama, saya dan rakan-rakan sebagai murid serta warga kampung yang begitu pemurah sudi menjamu kami dengan hidangan yang istimewa.

Saya bersetuju dengan sebahagian besar pandangan yang mengemukakan dalil bahawa perayaan itu tiada dalam agama kita. Memang betul…selama ini juga saya menganggapnya bukan satu perayaan. Ia sekadar platform masyarakat untuk saling memperingatkan tentang insan yang kita kasihi, yang kehidupannya diperjuangkan untuk menyampaikan nikmat Islam ini kepada kita semua. Secara tidak langsung, kami saling mengenal. Saling membantu dalam mewujudkan keharmonian serta kerjasama baik dalam strata masyarakat. Saya tidak pernah menganggapnya sebagai kewajipan aqidah atau berkaitan dengan ibadah.

Ambillah kebaikan-kebaikan yang boleh dikongsikan sesama insan. Ianya jauh lebih baik dari mencalarkan ukhuwah dalam bahasa-bahasa yang menjauhkan masyarakat dari da'wah. Sudah pasti kaedah terbaik meraikan kelahiran baginda SAW adalah seperti yang disebutkannya dalam hadith sahih iaitu untuk kita berpuasa setiap Isnin..

Wednesday, December 23, 2015

Bayangan 'Mus'ab bin Umair' di Masjid Wilayah...

Pengalaman belajar Bahasa Arab secara intensif di Masjid Wilayah ogos lalu menemukan saya dengan beberapa insan yang merupakan sukarelawan Masjid tersebut. Begitu tenang sekali tatkala menelusuri kelana selama sebulan berada di Masjid tersebut, dan sukar untuk saya lupakan kenangan manis bersama Bayyinah serta sahabat-sahabat yang lama saya kenali dan juga yang pertama kali saya temui dalam majlis ilmu ketika itu.

Apabila dihulurkan borang untuk memohon sebagai sukarelawan, saya tidak teragak-agak untuk mengisinya. Peluang itu yang merupakan 'milestone' baru dalam perjalanan saya untuk mendalami usaha da'wah serta belajar dari mereka yang lebih tahu.

Beberapa bulan saya bertugas di Masjid tersebut, pengalaman siang tadi menyentuh dan menggetar perasaan saya. Saya berpeluang duduk berbicara dengan seorang remaja perempuan berbangsa Cina berusia 17 tahun. Hadir ke Masjid bersama ibu dan dua adik-adiknya. Dengan satu niat, memperjelaskan pengetahuannya tentang masjid dan Islam. Saya nyata terpaku menerima kehadirannya. Beliau dibawa masuk melawat kawasan masjid serta diberikan penjelasan tentang Masjid oleh sahabat saya seorang sukarelawan muslim berbangsa Cina.

Dalam kesempatan bersembang saya dekati  dia dengan bahasa mudah, lalu bertanya padanya. "What make you come to this masjid?"

Jujur..saya begitu curious apabila berdepan dengan insan muda belia, belasan tahun dengan segenap kekuatan yang ada pada mereka sebagai remaja. Namun, mencipta kelainan berbanding remaja seusianya apabila hadir ke masjid dengan niat yang begitu mulia. Pengalaman saya mengajar lebih sepuluh tahun ini nyata berbeza apabila berhadapan dengan individu sepertinya.

Sambil tersenyum dia memulakan patah-patah bicaranya. Rancangan asal untuk melawat Masjid bersama rakannya dari Jerman tidak menjadi. Namun, beliau terus dengan niatnya untuk hadir juga ke Masjid itu. Meskipun sendirian dengan keluarganya.

Tanpa saya tanya, dia tidak segan menceritakan bagaimana seorang rakan baiknya telah memberikan ilham untuknya mengetahui tentang masjid dan Islam.

Beliau menceritakan bahwa sahabat baiknya itu…"He has a very much impact on me"

Cerita remaja berbangsa Cina itu lagi bahawa rakan baiknya itu adalah seorang muslim, pernah menjadi atheis dalam kehidupan sebelum itu. Namun, kehidupan peribadi sahabatnya itu yang tidak bertangguh dalam usaha seharian (ciri unik yang sering tidak ada dalam remaja-remaja seusia mereka) ,  dan kini mengamalkan Islam dengan penuh kesungguhan,  sangat menarik perhatiannya. Dia tidak segan untuk terus berbicara bahawa rakan baiknya itu seorang yang open minded, mudah berbicara, sering memberikan nasihat yang baik buatnya.

Tanpa saya sedar, saya membayangkan insan itu dan kebaikan-kebaikannya. Betapa pula bayangan saya itu, menggetarkan sanubari..jauh ke sudut hati.

Subhanallah..subhanallah.

Betapa dalam kemelut remaja hari ini dengan isu-isu sosial yang sering dibahaskan, namun wujud lagi insan dengan karakter baik yang mengingatkan saya dengan sahabat Rasullullah SAW bernama Mus'ab bin Umair r.a.

Saya perhatikan remaja yang hadir ke masjid itu penuh kesungguhan memerhatikan kami solat serta bertanyakan segala aspek yang ingin diketahuinya. Semoga Allah membuka hatinya untuk menerima taufik dan hidayah. Doa saya untuknya yang bernama Karen..






Wednesday, December 16, 2015

Antara komitmen hadir majlis ilmu dan menterjemahkan ilmu dalam kehidupan...

Saya sebelum ini sukar membezakan hadir mendengar ilmu, sibuk dengan majlis-majlis ilmu, sibuk memahamkan ilmu dan  untuk mengamalkan apa yang telah didengar dari ilmu itu.

Menyedari diri yang memerlukan reminder dari masa ke semasa,  saya cuba isikan masa dengan majlis ilmu untuk dihadiri, sama ada secara langsung atau melalui kuliah online atau melalui diskusi dan perbincangan. Pantang mendengar kuliah atau tajuk seminar yang menarik.

Namun di suatu tahap, saya bagai tersentak apabila saya dinasihatkan untuk 'berehat' seketika. Yang tersayang memberi isyarat untuk tidak menyibukkan dengan majlis-majlis ilmu dahulu. Saya agak terpinga juga, mencari-cari apa yang tersirat sebenarnya.

Lama juga saya berfikir..yang akhirnya saya menemui jawapan; bahawa majlis ilmu yang dihadiri itu tidak bermakna jika apa yang dinasihatkan untuk diamalkan hanya tertinggal dalam catitan. Majlis ilmu yang dihadiri, keutamaannya ialah beramal dengan apa yang didengar. Bukan sibuk mendengar segala BAGAI…tapi hati terus kosong dan tiada niat untuk berubah.



Monday, December 14, 2015

Barakah itu dari Allah jua...

Pertama kali saya mendengar tentang terjemahan barakah adalah ketika saya belajar tafseer Surah AlMulk bersama Syeikh Redha Bedeir di AlMaghrib beberapa tahun dahulu. Saat itu baru saya tahu bahawa barakah itu adalah kebaikan yang sentiasa bertambah dan terus bertambah dan terus menerus bertambah.

Dalam bahasa kita, kita sebutkan berkat. Ada yang menyebut hidup tanpa restu ibubapa adalah hidup yang tidak berkat. Atau ilmu yang tidak mampu mendidik seseorang mengamalkan kebaikan ilmu itu, dikatakan ilmu berkenaan tidak berkat. Tidak berkat dikaitkan dengan nikmat atau kebaikan yang terputus. Lalu sebelum ini jika disebut berkat atau barakah, saya sekadar mengaitkannya pada contoh terhad…dan tidak saya tahu bahawa tafsirannya jauh lebih luas daripada itu.

Dunia akademik yang saya ceburi selama ini menemukan banyak contoh bagaimana Allah sentiasa mrmbuka pintu barakah untuk kita pilih. Barakah imu, masa, usia, usaha, keutamaan serta apa jua yang kita sangat inginkan.

Pernah satu ketika dahulu semasa saya menyiapkan tesis di peringkat sarjana, saya perlu hantarkan draf penulisan itu dalam tempoh 24 jam. Namun, permintaan keluarga saya ketika itu untuk menghantar pulang ibu saya jauh ke selatan tanahair sekembali beliau dari menunaikan umrah. Saya terima permintaan itu, dan saya serahkan pada Allah untuk bantu saya menyiapkan penulisan tesis berkenaan. Di luar jangkaan saya, Allah kurniakan barakah waktu buat saya yang mana tesis berkenaan saya siapkan pada malam itu juga (saya berjaga malam hingga awal pagi) dan kami bertolak balik ke Bangi jam 4 pagi. Sesuatu yang bagi saya ajaib apabila tesis itu berjaya saya siapkan dengan izin Allah tanpa banyak pembetulan pada pagi berikutnya.

Semasa saya mula belajar Bahasa Arab dari Bayyinah, Ustaz Nouman sering mengungkapkan konsep barakah. Yang saya terus ingat tazkirah beliau, sesuatu yang kita buat semata-mata mengharap keredhaan Allah, Allah will put barakah in it. Beliau sebut usahanya dalam mengajar dan berkongsi ilmu bahasa arab untuk masyarakat memahami alquran dan bacaan di dalam solat, pengalamannya menemukan betapa realiti barakah itu Allah izinkan buat beliau dan team Bayyinah untuk terus menyampaikan kebaikan mereka di dalam bidang berkenaan.

Berbekal usaha, doa dan tawakkal pada Allah SWT, saya turut berdikit-dikit memulakan kelas Bahasa Arab untuk memahami AlQuran. Sudah tentu bidang ini di luar jangkaan saya. Satu usaha yang selama ini saya tidak pernah terfikir untuk melakukannya. Namun untuk menyahut cabaran serta menebus kekhilafan saya selama ini yang mengabaikan bahasa tersebut dalam kehidupan, saya mula menyinsing usaha-usaha yang sebenarnya saya niatkan untuk berkongsi di samping memanfaatkan ilmu yang sedang saya belajar dari Bayyinah secara online.

Kelas saya yang pertama hanya dua orang. Kemudian, datang seorang demi seorang. Yang mana, hampir setiap minggu individu yang hadir bertukar ganti meskipun ada beberapa di kalangan mereka yang agak konsisten.

Saya tetap niatkan di dalam hati, saya hanya ingin mengikut jejak langkah Ustaz Nouman dan team Bayyinah untuk berkongsi kebaikan Alquran serta menghargai kitab suci itu sebagai mukjizat agung dalam kehidupan kita sebagai muslim.  Saya tidak pernah terfikir tentang yuran, saya tidak anggap beban pengajaran atau penyelidikan sebagai alasan untuk saya batalkan kelas berkenaan. Meskipun sering saya perlu buat ulangan demi ulangan, namun akhirnya saya akur bahawa ulangan-ulangan itu sebenarnya memberikan kebaikan-kebaikan tidak ternilai kepada diri saya sendiri.

Saya tidak mempunyai pembantu khas, person incharge atau organiser dalam membantu mengendalikan kelas berkenaan. Ada beberapa staf pengkeranian yang membantu hebahkan serta menempah bilik. Ada juga membantu menyalurkan maklumat pentadbiran kepada yang berkenaan. Itu sahaja. Serba-serbinya memang kekurangan.

Selepas hampir 4 bulan, kelas berkenaan sudah mempunyai hampir 10 kehadiran tetap dan 10 lagi yang bertukar ganti disebabkan komitmen tugas yang tak dapat dielakkan. Dengan kelas itu juga kami mulakan kelas hafazan serta membuat terjemahan sedikit demi sedikit ayat-ayat yang dibaca serta menyusun struktur nahu yang semestinya untuk kita tahu.

Hanya Allah SWT yang menggerakkan sahabat-sahabat saya hadir mendengar perkongsian saya. Hanya Allah SWT jua yang memberikan barakah masa untuk saya siapkan nota-nota serta bahan bacaan untuk dikongsikan. Hanya Allah SWT jua yang memberikan insight humbleness di kalangan sahabat-sahabat saya terus hadir mendengar dari individu seperti saya yang entah di mana kedudukan saya sebenarnya dalam neraca piawai ilmu yang saya kongsikan itu.

Sungguh…barakah itu dari Allah jua...




Friday, December 11, 2015

Hidup ini teorinya 'SEIMBANG'..

Ingatan saya jauh menelusuri segmen waktu lalu..sering dikhabarkan kepada saya bahawa kita perlu seimbangkan kehidupan dunia dan akhirat. Yang saya tahu kala itu, biarlah sibuk bagaimanapun kita, namun jangan sesekali lupa keperluan kita untuk beramal untuk hari akhirat. Jangan sesekali dibaikan tikar sejadah serta apa sahaja ibadah yang merutinkan kita sebagai muslim!

Fokus itu nyata terbatas dalam lingkungan teori. Tiada nilai ihsan dan naluri aqidah. Jauh sekali dalam penghayatan khusyu' nya ibadah. Apa yang berlaku, saya yang sentiasa mendahulukan apa yang tampak di depan mata. Fokus akhirat yang begitu sayup dalam saujana hati yang sering terlupa tentangnya, apatah lagi konteks dosa dan pahala!

Hidup yang seimbang sebenarnya merupakan kehidupan yang memenuhi objektif kehidupan beribadah kepada Allah SWT sahaja. Tiada dalam agenda kehidupan yang diklasifikasikan sebagai 'self centred' atau sekadar memenuhi agenda diri dan hati sendiri. Ubudiyah kepada Allah SWT meletakkan seseorang pada niat dan amalan untuk melaksanakan sesuatu yang terbaik menurut keredhaan Allah SWT serta mengambil teladan sunnah.

Seimbang adalah mengutamakan keperluan diri tanpa mengabaikan hak insan yang wujudnya disekeliling kita. Menghormati hak mereka serta memberi fokus pada konteks masyarakat secara keseluruhannya. Agendanya adalah menterjemahkan quran dan sunnah, bukan menyusun prioriti diri, berbangga-bangga sehingga menindas dan mengenepikan hak-hak orang lain.

Saya melihat kehidupan pada hari ini perlumbaan sesama insan dalam mencanangkan apa lebihnya dia berbanding orang lain. Tidak sedikit kadang-kadang terlintas juga di hati perkara-perkara yang tidak sepatutnya saya fikirkan. Betapa kita ini sentiasa memerlukan hidayah dan bimbingan suci dari Tuhan Maha Pencipta dan Maha Pengasih untuk hidup di dunia ini dalam keadaan yang seimbang.

Wednesday, December 9, 2015

Bicara lisan


Bicarakanlah lisanmu,
lalu didengar insan,
disambut emosi, senyum dan geram,
berbolak balik,
dalam kitaran fakta dan mimpi,
terlontar keliru diulit nyata,
lalu ditulis dosa dan pahala.

Bicara lisan dengan insan,
berubah dengan niat dan tujuan,
lalu digubah rayuan syaitan,
berbelanglah warna-warna suara insan,
dengan bebulu nifaq sarat tersirat,
patah lidah yang tidak pernah retak,
tidak sunyi mencipta skrip beritma,
terlontar pula ditindih lisan yang tidak sopan.

Sesungguhnya insanlah memilih bicara itu,
untuk melihat sisinya dari dimensi iman,
atau tersadung bungkam dikaram syaitan.

Bicara lisan dengan Allah ArRahman,
dalam solat mahupun tadabbur quran,
adalah dari hati yang sentiasa kerinduan,
tidak jerlus dalam meredah keperitan materialis,
tabah kalis dihentam  nifaqis,
redup hatinya memohon,
di mihrab agung yang bukan asing,
menyusun bicara yang difahaminya,
bukan sebagai yang pekak mahupun buta,
penuh linangan airmata.

Pilihlah wahai hati..
antara buta atau nampak,
antara dengar atau pekak,
antara jelas atau kusam,
antara benderang atau padam.

bicaramu adalah pilihan pada kufur atau syukur,