Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Wednesday, November 25, 2015

Yang dikatakan BAHAGIA...

Kita melihat orang lain, ada sesuatu padanya yang menjadi tumpuan dan perhatian.

Ada yang punya sesuatu yang hebat, tidak ada pada kebanyakan orang. Lalu kita dambakan untuk mendapat apa yang dimiliki orang itu…lantaran kita menyangka itulah yang pasti membuatkan kita BAHAGIA.

Ada pula orang lain, punya rupa paras hebat. Manis, tampan. segak atau cantik dan menawan. Atau pada kata-kata dan penampilannya begitu ranggi dan menjadikan dirinya berbeza. Lalu kita berharap untuk turut mendapatkan status yang dimilikinya. Kerana kita begitu yakin…itulah yang menyebabkan kita BAHAGIA.

Ada pula orang lain, ada publisiti penuh glamour di TV. Jadi tumpuan dan ikutan. Puluhan ribu respon di FB dengan komen viral yang sangat menarik. Kita juga berharap untuk menjadi sepertinya, kerana dengan itu kita rasakan membuatkan kita lebih baik dan BAHAGIA.

Dalam kehidupan, tatkala kita lihat orang lain ada pasangan yang menyenangkan. Rupa paras indah, cantik, tampan dan hebat. Punya harta dan rumah agam serta kenderaan yang menjadi idaman. Kita juga lantas menyimpan harapan. Kerana kita lihat…itulah nilai-nilai hidup yang akan membahagiakan kita.

Kita melihat orang lain ada semuanya. Kita melihat mereka seperti bahagia dengan apa yang mereka ada. Namun kita lupa…kita tidak pernah tahu apa yang ada dalam hatinya. Kita tidak pernah tahu apa yang sedang diambil darinya.


Lalu kita fokus pada diri kita. Selepas kita cuba untuk dapatkan bahagia dari apa yang kita lihat, kita mahu lebih pula. Kita mahu lebih hebat.

Tatkala diri sendiri kita rasa hebat…kita dabik dada tunjukkan bahawa kitalah yang hebat. kadang-kadang ada lidah diplomasi yang kita gunakan, untuk orang sedar bahawa nilai 'hebat ' itu sebenarnya ada pada kita.

Lalu, kita rasa dengan mencapai sesuatu yang terhebat adalah nilai hidup yang membahagiakan hidup kita. Walaupun kadang-kadang terpaksa berdalih atau memperdayakan sesuatu realiti…agar kita tampak hebat; semata-mata mengisi ruang di hati kita untuk lebih bahagia.

Tidak cukup dengan bicara. Kita ambil gambar atau selfie. Tunjukkan apa yang kita ada..susun kata-kata untuk berkongsi bahagia.

Kita tidak sedar, bahawa itu semua tidak perlu kita lakukan. Aksi tunjuk menunjuk mungkin melukakan hati orang lain. Mungkin pula ada orang lain merana kesusahan kerananya.

Kita tidak tahu juga bahawa mungkin  'kebahagiaan' yang kita lihat sebenarnya siksaan perlahan-lahan sebagai hukuman dari Tuhan. Kita tidak nampak bahawa kenikmatan itu adalah istidraj untuk ke neraka yang abadi.

Apatah lagi…mungkin 'kebahagiaan' yang kita lihat itu menyebabkan seseorang itu menjadi lebih kufur dan tidak tahu bersyukur.

Bahagia dan kesengsaraan itu merupakan izin dari Allah SWT. Dialah yang menyebabkan kita sedih dan ketawa. Tidak mungkin bahagia itu datang bergolek tanpa sebab. Terkadang, ada kesedihan yang menjadi nadi untuk membuat seseorang itu tersenyum tenang.

Bahagia itu datang dari Allah SWT. Kekal sifatnya dan bersih suci dari nifaq dan dosa-dosa sendiri.

Bahagia pada nilai materialis, pudar kecundang ditelan pusingan jam.
Bahagia pada nilai kecantikan manusia, semuanya luntur tatkala bertambah umur.

Sesungguhnya bahagia itu adalah hadiah dari Allah, Dialah AlWahab AlMujib Tuhan Pencipta setiap sesuatu. Hadiah dalam apa jua yang diterima sama ada bahagia atau sengsara sebenarnya adalah laluan untuk membuka jalan kita ke syurga.

Tiada kemanisan paling bahagia selain kita dapat memahami setiap patah perkataan alquran serta doa-doa yang diungkap penuh takut dan harap kepadaNya, ikhlas semata-mata mengharap dan beribadah kepadaNya.

Saturday, November 21, 2015

Kita telah kalah tatkala berpecah..

Allah melalui firmanNya dalam Quran jelas mengingatkan kita untuk berpegang pada taliNya dan jangan berpecah belah..secara keseluruhannya.

Bersatu padu demi aqidah adalah keutamaan. Maknanya mengutamakan Allah dan sunnah Rasul adalah keutamaan yang tidak boleh dikemudiankan.

Konteks ini takkan mampu diterjemahkan jika isi Alquran kita tak faham.

Quran kita takkan faham andai terus bergantung pada terjemahan yang pada ungkapan perkataan terjemahan itu TERLALU banyak makna yang hilang

Quran kita takkan faham jika kita cuai dan ambil mudah untuk memahami Bahasa Arab.

Hari ini, ramai yang baca dan hafaz Quran..tetapi kita masih kurang usaha untuk faham dan merasai 'keajaiban' quran sebagai mukjizat dalam kehidupan. Adapula yang baca quran demi keajaiban-keajaiban yang tidak disandarkan pada sebarang tafsir atau rujukan muktabar.

Apabila kita tak faham Quran, kita rela berkelompok untuk menang perjuangan. Kita kata kita perlu istiqamah berjuang dalam kelompok yang menjiwai aspirasi Islam demi keredhaan Allah, dunia dan akhirat. Tapi kita tidak apakan perpecahan..rela pula bergaduh sesama individu seaqidah.

Sesungguhnya kita telahpun kalah apabila kita berpecah.

Jom kita tumpukan usaha belajar Bahasa Arab, belajar tafsir…pegang sungguh-sungguh kalam Allah dan amalkan sunnah. Kita kukuhkan aqidah, bersatu eratkan ukhuwah. Jangan biarkan kita terus berpecah..


Kuota ke asrama penuh… saling BERGANDING bukan BERTANDING..

Semasa mengambil rekod keputusan akhir tahun anak saya di SRAI Bangi baru-baru ini, guru kelasnya memaklumkan tahap pencapaian Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang semakin baik. Mereka yang cemerlang dalam PSRA terutama pelajar perempuan berhadapan saingan sengit untuk terpilih ke Sekolah Agama Berasrama Penuh di bawah kelolaan JAIS.

Kuota markah untuk pelajar perempuan ditetapkan pada  markah 98%; maknanya untuk kemasukan sessi 2016, anak-anak perempuan yang lulus mencapai 98%  dalam PSRA sahaja layak dipertimbangkan ke sekolah berasrama seperti SAMBES di Subang. Saya terkedu seketika…bukan kecewa kerana diskriminasi sedemikian.  Kuota sedemikian telah lama wujudnya… juga diaplikasi hampir semua institusi mahupun bidang-bidang tertentu. Namun, kedudukan kuota sedemikian semakin menyedarkan saya bahawa untuk wanita/ perempuan…kita memerlukan penilaian semula kurikulum yang berbeza dengan pelajar lelaki.

Era masa hadapan semakin mencabar. Fokus pembangunan lahiriyah memerlukan gandingan individu lelaki dan perempuan.Ia merupakan GANDINGAN…bukan TANDINGAN antara satu sama lain.

Satu seminar yang disampaikan oleh sahabat/ Professor yang saya kasihi Dr Harlinah Halizah Hj Siraj baru-baru ini turut memberikan tumpuan pada fokus untuk memberikan keutamaan yang spesifik untuk pembangunan wanita. Dana dalam bentuk kewangan, masa dan logistik berkaitan yang diberikan kepada pembangunan wanita secara umumnya akan memberikan pulangan hampir 99% kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhannya. Fakta ini membuka dimensi penting untuk kita sama-sama fikirkan bahawa untuk pembangunan masyarakat dalam masa akan datang, skop kurikulum yang mengoptimakan kemampuan unik wanita dapat dilaksanakan.




Mulai tahun 2016 ini, pengurusan Al NIDAA yang bertanggungjawab dalam pembangunan Sekolah Menengah Islam Tahfiz Al Amin (SMITA) mengumumkan telah mula membuka pendaftaran untuk pelajar puteri.

Satu perkembangan yang sangat memberansangkan serta sangat dinanti-nantikan. Di tengah-tengah kerancakan masyarakat Muslim majoriti negara ini yang kian cenderung untuk memilih pendidikan komprehensif anak-anak terutama dalam konteks memartabatkan alquran, SMITA kini turut menyediakan pakej pendidikan untuk para puteri yang kita kasihi.


Sudah tentu, potensi yang dikongsikan oleh SMITA Puteri perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya ke arah pembangunan masyarakat seterusnya kejayaan individu berkenaan di dunia dan akhirat.

Dan saya juga…mula memikirkan potensi untuk membangunkan Universiti/ Kolej yang khusus untuk golongan wanita sahaja. Bantu saya untuk mendrafkan kurikulum yang dapat membangunkan potensi seorang puteri untuk menjadi anak, isteri, ibu, pemimpin dan individu yang insyaaAllah mampu memberikan pulangan terbaik kepada masyarakat secara keseluruhannya. Allahul musta'an..

Thursday, November 12, 2015

Amalan yang bagaimana membawa kita ke syurga..?

Antara maksud hadith Rasulullah SAW yang paling saya ingati maksudnya ialah untuk kita tidak memandang remeh terhadap apa jua yang kita lakukan. Antaranya, berjumpa dengan saudara semuslim dengan senyuman (walaupun muslim itu kita tidak kenal rapat dengannya) atau bersedekah walaupun hanya dengan separuh dari tamar.

Saya sering berfikir…bertanya pada diri sendiri. Entah amalan saya yang bagaimana merupakan sesuatu yang dipandang di sisi Allah SWT. Selalu juga..kadang-kadang saya terlupa untuk meniatkan sejujur-jujurnya ikhlas dengan amalan yang dilakukan. Ada juga..sekadar bersaing dengan manusia lain. Atau juga tewas disebabkan ada keadaan yang menyebabkan saya kalah atau tercabar untuk meneruskan perjuangan.

Siang tadi, dalam sesi bertukar-tukar hadiah sempena sesi retreat jabatan,…saya tergamam seketika apabila deskripsi tentang diri saya disebut oleh seorang staf di tempat saya bekerja. Sebelum menyebutkan nama saya..dia menyebut beberapa perkara, yang saya rasa rasa itu orang lain. Lebih pelik apabila disebutkan, pegawai yang akan menerima hadiah darinya itu memberikan kad padanya setiap tahun. Pasti, itu bukan saya… Namun, seketika kemudian, nama saya dipanggil ke hadapan untuk menerima hadiahnya.

Saya betul-betul terlupa…bahawa saya saban tahun menghadiahkan kad ucapan selamat menyambut ramadhan dan aidilfitri kepada setiap staf di jabatan. Satu perkara yang saya anggap biasa, rutin…dan mungkin juga tidak dipandang; walaupun jauh di hati saya, saya meniatkannya sebagai satu dari usaha saya untuk mereka yang menerimanya dekat dengan tazkirah serta terpanggil untuk kembali ke jalan Allah SWT.

Allah SWT jua yang Maha Mengetahui tentang diri saya, Dia juga yang Maha Mengetahui segala isi hati. Semoga Allah menerima amalan-amalan kita, Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Monday, November 9, 2015

Sebuah retro tentang semalam..

Jika bukan kerana hidayahNya, atau juga lowongan yang mengikat hati saya untuk mencari kebaikan…pasti saya masih terikat dalam kehidupan semalam. Satu kehidupan yang berlalu tanpa niat dan matlamat. Beredar tanpa tujuan, sekadar memenuhi apa yang ingin dilalui dan dinikmati.

Ironinya pula..pada waktu yang berlalu sebelum itu, saya payah mengakui kesilapan. Saya tidak memandang semalam itu sebagai suatu kekeliruan yang cenderung membawa dosa. Puluhan waktu yang berlalu dengan secara bersahaja…jauh sekali untuk memusabah agar tidak terus menerus melakukan kesilapan yang sama.

Antara dosa dan kesilapan saya, saya tidak memandang apa yang saya lakukan tanpa tujuan itu sebagai dosa. Saya cenderung merasakan bahwa saya seperti bukan pendosa. Lalu berlalulah hari-hari, merakamkan segenap dimensi dalam apa yang ditafsirkan oleh kebanyakan insan terhadap definisi kebahagiaan.

Saya cuba mendekati hidayah Quran; membacanya saban waktu. Namun, saya sedar istiqamah untuk dekat dengan pengertian yang dibawa oleh Quran..hampir tidak ada. Puluhan usrah dan tazkirah saya hadiri.Terkadang diberi peluang pula berkongsi kebaikan melalui penyampaian. Di kala ini, saya sangat menyesali hari-hari yang telah berlalu itu…saya sebenarnya menipu diri sendiri kerana kala itu saya sebenarnya TIDAK TAHU apa isi alquran. Obviously, I was just faking myself.

Kala ini, saya menghitung stamina yang masih dipinjamkan Allah untuk terus berlari. Terus mencari kekuatan untuk membuka ruang-ruang ilmu yang selama ini tidak saya hiraukan.

Bagai anak kecil yang baru memahami bahasa senyum..atau juga pengertian perkataan demi perkataan…demikianlah dengan bahasa Arab yang singgah dalam kehidupan saya ini dalam destinasi dekat kepada ArRahman. Sahabat saya yang turut hadir dalam halaqah bahasa siang tadi menangis sebak mengenang waktu remajanya yang juga seperti saya.

Penuh harapan… moga diizinkan Allah untuk kami terus belajar dan terus dekat dengan kalimahNya yang mulia

Wednesday, November 4, 2015

Senyummu kini kenangan (Tribut buat sahabatku Almarhumah Alijah Selamat)


Gelenang yang basah dan bungkam,
hatiku terdampar di rantau kelam,
menolak semuanya tersurih suram,
lalu sepi sekali rindu semalam.

Noktah khabar menyentap leka,
suara itu yang dahulu tidak kusahut seadanya,
betapa rinduku, 
sering menjemput bayangan cemburu,
untuk hadir berkisah denganmu di majlis ilmu,
namun kesilapanku terus membatas waktu,
dan kubiarkan segalanya itu berlalu.

Hari ini,
senyummu adalah kenangan,
kita yang pernah berkongsi sebuah kehidupan semalam,
kulerai gema sebak dan derai tangisan,
bahawa aku ini juga kini sedang menunggu giliran.


Aku akan terus merindui senyummu teman.

" Ya Allah, ampuni dan rahmatilah dia, tempatkan dia bersama mereka yang Engkau redhai"