Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...
Monday, September 5, 2011
Berkisah tentang kebaikan....
Setiap diri mempunyai hajat dan kecenderungan untuk melakukan sesuatu yang dikatakan baik. Setiap diri juga mempunyai definisi tentang kebaikan. Sesuatu yang baik pada seseorang, mungkin tidak sedemikian pada seorang yang lain.
Saya sebelum ini juga mempunyai tanggapan yang berbeza mengenai kebaikan. Kadang-kadang saya memberikan sendiri definisi atau kesimpulan akan sesuatu yang dikatakan baik. Dan...kadang-kadang menyebabkan saya sendiri keliru apabila berhadapan dengan situasi yang dikatakan kompleks...bagaimana kita menilaikannya sebagai sesuatu yang ‘baik’ dan yang ‘tidak baik’..
Pernah satu ketika dahulu, saya berkongsi pandangan mengenai seseorang yang memiliki harta yang banyak...rumah beberapa buah, kenderaan mewah bersusun serta mampu pula menunaikan umrah setiap tahun termasuk ibadah-ibadah lain yang nyata perlu diutamakan. Ada yang mengatakan tindakannya menunaikan umrah sunat saban tahun tidak wajar kerana ia perlu utamakan membantu masyarakat miskin dan kelaparan.....tambahan pula ada dikalangan ahli keluarganya yang tidak mampu menunaikan haji.
Juga ada keadaan di mana seseorang saban tahun menghantar sejumlah wang untuk berkorban/ menunaikan aqiqah ke negara jiran yang dikatakan lebih miskin; gigih mengutip derma untuk Palestin dan Somalia mahupun negara-negara Islam yang tertindas sosialnya...namun tidak pernah mengendahkan jiran-jirannya yang miskin papa kedana.
Diasak naluri keliru, atau juga pandangan yang kelabu, atau juga membuat kesimpulan yang jumud beku...lalu mentafsirkan sesuatu menurut sudut pandang atau skop yang diyakini benar sebagai sesuatu yang baik...namun asasnya tidak diketahui entah bagaimana ianya disandarkan.
Dalam setiap yang kita lakukan, nilai kebaikan itu serupa piawainya...hanya pada Allah timbangan dan neracanya. Ia juga, jika disandarkan pada pahala dan dosa, natijah hasil perbuatan menghasilkan praktis dan terjemahan yang serupa.
Sekali lagi...persoalan demi persolan sedemikian hanya terjawab apabila kita memahami Al Quran dengan ikhlas penuh penghayatan dan melaksanakan sunnah yang diterjemahkan oleh baginda rasulullah SAW.
Keutamaan melakukan kebaikan adalah berdasarkan ayat 177 Surah Al Baqarah.. iaitu Bukanlah kebaikan itu dengan menghadapkan wajahmu ke timur mahupun barat tetapi kebaikan itu ialah seseorang yang beriman kepada Allah, akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada keluarga yang dekat, anak yatim, mereka yang miskin, mereka yang meminta, memerdekakan hamba, yang menunaikan solat, zakat dan menepati janji apabila berjanji, dan mereka yang sabar dalam penderitaan dan kesusahan serta ketika berperang...
Rasulullah SAW pula mempamerkan terjemahan praktis kebaikan secara setempat; iaitu dalam lingkungan di mana baginda berada. Tidak terdapat nas atau athar sahabat yang menghantar bantuan zakat yang diutamakan ke jajahan baru ditakluki atau yang jauh dari masyarakat setempat... wallahua’lam.
Menterjemahkan kebaikan adalah di dalam lingkungan di mana kita berada, menyandarkannya terhadap hakikat keimanan kepada Allah dan akhirat serta keyakinan terhadap prinsip keimanan yang hakiki.
Setiap kebaikan yang dilakukan kerana Allah...biarlah Allah sahaja yang tahu dan memberikan balasan sebaik-baiknya. Tidak perlu rhetorik, tidak perlu publisiti, tidak perlu kamera, tidak perlu wartawan, tidak perlu mencari redha sesama manusia....biarkan sahaja terjemahan kebaikan itu dengan izin Allah menjadi ikutan tanpa kita sedari.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment