Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Wednesday, September 28, 2011

Kekuatan dan Kemuliaan kita bukan atas persepsi orang lain...

Biasanya kita geram dan marah andai ada yang membuka ruang mencari silap dan lemah diri kita...betapa berat dirasakan tatkala reputasi diri dipersoal..apatah lagi yg melibatkan ilmu atau kompetensi yang diizinkan Allah utk kita miliki.

Namun..cakap-cakap atau mungkin juga tulisan yang dilemparkan...adalah sekadar persepsi dan tanggapan. Belum tentu benar...malah jika benarpun, apa pula faedahnya disebarkan untuk tatapan mereka yang tidak tahu mengenainya??

Sepertimana yang pernah saya kongsikan sebelum ini, setiap apa yang kita bicarakan mahupun diterjemah dlm bentuk tulisan mahpun terjemahan amalan...MESTI ada objektifnya. Sudah pasti sandaran objektif itu dirujuk pula pada apa yang di'pandang' Allah.

Mengapa kita perlu selongkar keaifan dan kelemahan seseorang...serta merobek kekuatan yang ada padanya..apatah lagi jika kekuatan yang dimilikinya itu adalah untuk kebaikan sesama insan..? Individu yang melakukan kebaikan kerana Allah..tidak tergamak menghina dan memburukkan manusia lain.. barang dijauhkan Allah kita semua dari sikap dan sifat buruk sedemikian..

Tuesday, September 20, 2011

Antara kebuluran di Somalia dan jamuan rumah terbuka di Malaysia....

Seorang sahabat menunjukkan isu yang dibahaskan di sebuah laman web mengenai keperluan kita membantu masalah kebuluran di Somalia...dan menyorot kembali kemewahan kita yang meraikan Aidilfitri dengan pelbagai jamuan terbuka..

Sambil menekankan perlunya kebuluran Somalia dibantu serta membebaskan mereka dari kebuluran; antara isi penting yang diutarakan ialah betapa me’lalut’nya tujuan asal rumah terbuka sempena Aidilfitridi di sini dengan memberikan banyak poin negatif yang antaranya:

1. Membazir dengan pelbagai jenis makanan yang dikatakan sering terbuang
2. Biasanya dibuat oleh individu untuk ‘menayang’ rumah dan isi hiasan
3. Terlalu berlebihan meraikan aidilfitri yang sepatutnya dirayakan sehari sahaja.

Sejak sekian lama, saya mempunyai tanggapan bahawa sebahagian besar kita cenderung untuk menghujahkan betapa perlunya negara-negara yang miskin dibantu dengan pelbagai misi kemanusiaan...betapa derma dan apa sahaja perlu dihulurkan demi mereka yang bertarung dengan hidup dan maut...demikian juga apa sahaja bentuk jamuan seperti aqiqah, qurban serta sukarelawan-sukarelawan yang membantu dalam misi-misi yang telah dikenalpasti.

Tidak dinafikan, fungsi media, publisiti, tanggapan secara selektif (terpilih) dan juga kesilapan mentafsir data secara menyeluruh, menyebabkan ada antara kita yang bersikap mengutamakan ‘orang luar’ untuk dibantu berbanding kita di Malaysia ini yang dikatakan ‘terlalu mewah’ serta sudah berlebihan makanan dan kekayaan.

Sesuatu yang meruntun perasaan saya, apabila ada yang berhujah; jika berpeluang sampaikanlah kepada tuan rumah yang adakan majlis rumah terbuka untuk menggantikan rumah terbuka tersebut dengan derma kemanusiaan ke Somalia. Jikalah agaknya sedemikian, mengapa tidak dikatakan pada mereka yang mempunyai deratan kereta lebih sebuah yang mungkin mewah atau memiliki lebih dari sebuah rumah untuk memiliki sahaja rumah kecil/ sederhana dan kereta yang memadai untuk kemudahan serta dermakan lebihan itu untuk mereka di Somalia??

Petunjuk-petunjuk dalam Al Quran dan hadith rasulullah SAW mengutamakan mereka yang mempunyai hubungan darah (keluarga), yang dekat dan akrab untuk diutamakan dalam apa sahaja pemberian.

“Dan sembahlah Allah dan jangan sekali-kali menyirikkanNya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat dan jiran yang jauh, teman sejawat, mereka yang berjuang di atas jalan Allah dan hamba sahaya yang kamu miliki....” maksud ayat 36 Surah An Nisa’.

Bagi saya, setiap individu kita majoritinya mempunyai kesedaran membayar zakat. Jika ada lebihan untuk dikongsikan dalam majlis mengeratkan silaturrahim serta bersedekah amal jariah...saya tidak nampak mengapa perlu kita debatkan keutamaan untuk dihantar ke Somalia. Saya tidak menganggap majlis rumah terbuka sebagai membazir; bagi saya ia adalah antara platform untuk kita saling bertemu dan meraikan insan yang telah lama tidak kita temui. Saya juga tidak pernah membuat prasangka buruk bahawa tuan rumah saja suka-suka hendak menayangkan rumah dan isi hiasannya kerana bagi saya, tidak sedikitpun isi hiasan mahupun rupabentuk rumahnya yang menggangu rasahati saya yang nyatanya lebih kuat untuk menemui insan yang menjemput saya hadir berbanding sibuk memerhati material rumah mahupun hiasan-hiasan...dan saya juga tidak ada ruang untuk membandingkannya dengan apa yang ada di rumah saya.

Siapakah jiran-jiran yang dekat dengan Somalia.....? Keadaan di Somalia...bagi saya berpunca dari sikap mereka sendiri. Ketidakstabilan politik akibat ‘keegoaan sesama sendiri, saling berbunuhan dan gagal memanfaatkan ilmu untuk kebaikan masyarakat. Bayangkan lebih 20 tahun berlalu tanpa kerajaan yang aman....

Tuesday, September 13, 2011

Prof Dr.Harlina Halizah Haji Siraj dan saya.....

Saya dedikasikan tulisan kali ini buat beliau.

Umum mengetahui, beliau yang merupakan pakar dalam bidang Pebidanan dan Sakit Puan serta pensyarah di UKM ...dan juga merupakan antara penggerak dalam da'wah yang saya sifatkan antara yang berpengaruh pada masakini. Saya secara peribadi akan merasa teruja setiap kali namanya disebut atau ada sesiapa yang memberikan komen pandangan dan ucapan beliau di media-media massa..

Pertama kali mengenali beliau ketika saya memulakan pengajian perubatan pada tahun 1989; ketokohannya sudah terserlah pada waktu itu. Beliau antara yang paling aktif dalam kegiatan da'wah, sering berkongsi tazkirah, menterjemah akhlak dan kewibawaan yang disegani,cemerlang pula dalam akademik sehingga menjadi sebutan di kalangan pensyarah serta menjadi teladan dan ikon buat kami adik-adik juniors. Cuma saya...seperti biasa, akan tampil dalam saf paling belakang bila hadir ke majlis beliau (bukan apa...suara beliau begitu jelas walaupun berada di saf paling belakang....)

Saya juga tidak pernah lupa apabila mengenang kembali setiap kali beliau mengimamkan solat kami di surau terutama ketika berterawikh dalam bulan ramadhan...suaranya yang jelas, mantap dan mudah didengar oleh kami semua...memang sukar untuk mengantuk semasa terawikh berkenaan...semuanya yang begitu segar dalam ingatan..

Lebih 10 tahun juga saya tidak bersua muka dengannya secara 'live'...sekadar mencuri pandang di TV...mendengar khabar di radio atau membaca tulisan-tulisannnya di laman web mahupun media cetak. Baru-baru ini, Allah izin saya sempat menghadiri kuliahnya sempena bulan ramadhan. Saya mengambil peluang bertemu dan bersalam dengannya... betapa keramahan dan bicaranya tidak berubah; yang paling manis, beliau masih mengingati saya (walaupun saya antara adik2 yang berada di saf paling belakang...)sambil berbicara sepatah dua kata untuk sama-sama membantunya dalam usaha menyemarakkan da'wah di jalan Allah.

Sekali lagi hari ini...saya hubungi beliau untuk menjemputnya hadir ke majlis anak-anak pelajar saya untuk berkongsikan ilmu dan pengalaman; saya berdebar juga andai saya tidak mendapat jawapan yang saya harapkan. Beliau membalas sms saya dgn begitu cepat dan informal sekali...seolah-olah kami tidak pernah berpisah selepas lebih 10 tahun tidak berjumpa....

Tuesday, September 6, 2011

Harta...Harta...Harta....

Saya biasa mendengar satu hadith yang maksudnya.." Bukanlah yang KAYA itu dari apa yang dimilikinya akan tetapi yang KAYA itu ialah yang kaya jiwanya (cukup dengan apa yang ada pada dirinya).." (Riwayat oleh Bukhari).

Namun realiti semasa...menyaksikan bagaimana kita diukur dengan apa yang kita ada...rumah..hiasan...aksesori...status kenderaan...cara berpakaian dan penampilan...serta apa sahaja yang dikatakan merupakan petunjuk golongan yang dikatakan 'elitus' atau berada... Ya, itulah realitinya.

Tersentak juga apabila dimuhasabahkan kembali...di mana jiwa kita keadaan dan kedudukannya. Kayakah agaknya hati kita dengan pengisian yang menterjemahkan kita sebagai insan yang menyerahkan diri sepenuhnya pada peraturan Allah...memanfaatkan majoriti masa dan usaha semata-mata ikhlas keranaNya..?

Beberapa bulan lalu, saya dihadiahkan beberapa buku tulisan Kapten Hafiz Firdaus Abdullah (buku-buku itu merupakan hadiah dari isteri beliau...betapa bersyukurnya saya menerima buku-buku berkenaan)...salah satu darinya ialah mengenai Fiqh Harta. Sekali imbas...tajuk sedemikian mengingatkan saya pada Kitab Fiqh sewaktu saya belajar di Sekolah Rendah Agama dahulu...betapa memori itu 'melambatkan' usaha saya mendekati buku tulisan ilmuwan berkenaan sebaik-baiknya.

Namun tulisan Kapten dalam intonasi yang sangat berbeza dari Kitab-kitab Fiqh yang biasa saya temui. Ianya memaparkan idea yang sangat relevan, kontemporari serta menghujahkan permasalahan demi permasalahan mengenai harta yang kini menjadi 'sasaran' utama kebanyakan manusia.

Satu yang sangat menarik, saya perhatikan dalam dunia hari ini wujudnya dua golongan manusia yang begitu 'ekstrem'..di satu hujung mereka yang gagal memanfaatkan peluang menyara hidup dengan jalan-jalan halal yang diredhai Allah (sebaliknya memilih jalan yang susah sehingga 'terpaksa' meminta bantuan orang lain dalam menyelesaikan hutang piutang...) dan di satu hujung yang lagi, mereka yang memiliki kekayaan luar biasa sehingga hartanya itu menjadi 'Tuhan' dalam kehidupannya di dunia yang sementara...

Kupasan dalam buku Fiqh Harta ini sangat bermanfaat untuk dikongsikan; apatah lagi turut diulas dengan sebahagian golongan yang 'menjual' agama untuk mendapatkan harta.

Satu lagi petikan hadith sahih Riwayat Muslim untuk sama-sama kita hayati.." Bersedekahlah, dan jangan berkira; kerana Allah akan berkira pula ke atas kamu dan jangan pula kedekut, kerana Allah akan kedekut pula ke atas kamu "

Monday, September 5, 2011

Berdoa dan ingatlah pada Allah...jangan caci, hina dan umpat orang lain

Saya hadir ke satu majlis tazkirah sebelum majlis berbuka puasa baru-baru ini. Satu pengisian yang nyata menyentuh hati dan perasaan serta memberikan fokus terhadap isu yang mungkin selama ini tidak saya titikberatkan.

Jujurnya, saya secara fitrah memerlukan pesanan dan ingatan untuk meletakkan diri dan hati cenderung berdoa dan berzikir. Dalam banyak ruang waktu, saya nyatanya terlupa untuk melakukan amalan yang sangat dituntut untuk kita lakukan.

Apabila dalam ruang yang biasa hati terlupa dan tidak mengingati Allah.....lalu dipenuhi pula oleh pengisian yang tidak mengingatkan diri dengan akhirat, saya sering pula ter’latah’ apabila berhadapan dengan keadaan-keadaan yang melukakan atau menyakitkan hati saya.

Jikapun terdaya, saya sekadar bersabar sambil menahan geram dan marah. Jarang pula saya berdoa dan ingat pada Allah untuk melindungkan saya dari amalan sedemikian (malah yang pernah saya lakukan pun dalam keadaan yang tidak ada ‘internalization’) serta tidak pernah saya mendoakan pula agar pelakunya mendapat hidayah serta memohon agar kesilapan yang melukakan hati/ perasaan saya adalah yang kesilapan terakhir yang dilakukannya terhadap sesama insan, agar dirinya dilimpahkan Allah dengan kebaikan dan rahmat...

Ya Allah...maafkanlah dan ampunkanlah diri kami...perbaikilah amalan kami..bantulah kami untuk terus melakukan kebaikan. Lindungilah kami dari perkataan-perkataan yang hina dan berdosa terhadap mereka yang melakukan sesuatu yang tidak kami sukai itu; jadikanlah kesilapan yang dilakukannya itu sebagai kesilapannya yang terakhir, dorongkan hati mereka menerima kebaikan dan hidayah..

NB: Pertama kali berkenalan dengan Puan Rina...anaknya Irfan yang turut hadir dalam majlis iftar berkenaan. Selepas 24 jam berita kematian wartawan Bernama yang ditembak di Somalia, saya mendapat berita bahawa Puan Rina merupakan isteri kepada wartawan berkenaan. Moga rahmat dan keampunan Allah buat almarhum suami beliau. Saya diizinkan Alah menemui Rina sebentar semasa berziarah jenazah suaminya; Rina masih mengingati saya walaupun kami bertemu sebentar cuma dalam majlis iftar berkenaan. Sayunya hati menatap ketabahan dan kesabarannya...di tengah2 kesesakan liputan media massa dan masyarakat yang hadir memberikan penghormatan terakhir...

Berkisah tentang kebaikan....



Setiap diri mempunyai hajat dan kecenderungan untuk melakukan sesuatu yang dikatakan baik. Setiap diri juga mempunyai definisi tentang kebaikan. Sesuatu yang baik pada seseorang, mungkin tidak sedemikian pada seorang yang lain.

Saya sebelum ini juga mempunyai tanggapan yang berbeza mengenai kebaikan. Kadang-kadang saya memberikan sendiri definisi atau kesimpulan akan sesuatu yang dikatakan baik. Dan...kadang-kadang menyebabkan saya sendiri keliru apabila berhadapan dengan situasi yang dikatakan kompleks...bagaimana kita menilaikannya sebagai sesuatu yang ‘baik’ dan yang ‘tidak baik’..

Pernah satu ketika dahulu, saya berkongsi pandangan mengenai seseorang yang memiliki harta yang banyak...rumah beberapa buah, kenderaan mewah bersusun serta mampu pula menunaikan umrah setiap tahun termasuk ibadah-ibadah lain yang nyata perlu diutamakan. Ada yang mengatakan tindakannya menunaikan umrah sunat saban tahun tidak wajar kerana ia perlu utamakan membantu masyarakat miskin dan kelaparan.....tambahan pula ada dikalangan ahli keluarganya yang tidak mampu menunaikan haji.

Juga ada keadaan di mana seseorang saban tahun menghantar sejumlah wang untuk berkorban/ menunaikan aqiqah ke negara jiran yang dikatakan lebih miskin; gigih mengutip derma untuk Palestin dan Somalia mahupun negara-negara Islam yang tertindas sosialnya...namun tidak pernah mengendahkan jiran-jirannya yang miskin papa kedana.


Diasak naluri keliru, atau juga pandangan yang kelabu, atau juga membuat kesimpulan yang jumud beku...lalu mentafsirkan sesuatu menurut sudut pandang atau skop yang diyakini benar sebagai sesuatu yang baik...namun asasnya tidak diketahui entah bagaimana ianya disandarkan.

Dalam setiap yang kita lakukan, nilai kebaikan itu serupa piawainya...hanya pada Allah timbangan dan neracanya. Ia juga, jika disandarkan pada pahala dan dosa, natijah hasil perbuatan menghasilkan praktis dan terjemahan yang serupa.

Sekali lagi...persoalan demi persolan sedemikian hanya terjawab apabila kita memahami Al Quran dengan ikhlas penuh penghayatan dan melaksanakan sunnah yang diterjemahkan oleh baginda rasulullah SAW.

Keutamaan melakukan kebaikan adalah berdasarkan ayat 177 Surah Al Baqarah.. iaitu Bukanlah kebaikan itu dengan menghadapkan wajahmu ke timur mahupun barat tetapi kebaikan itu ialah seseorang yang beriman kepada Allah, akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada keluarga yang dekat, anak yatim, mereka yang miskin, mereka yang meminta, memerdekakan hamba, yang menunaikan solat, zakat dan menepati janji apabila berjanji, dan mereka yang sabar dalam penderitaan dan kesusahan serta ketika berperang...

Rasulullah SAW pula mempamerkan terjemahan praktis kebaikan secara setempat; iaitu dalam lingkungan di mana baginda berada. Tidak terdapat nas atau athar sahabat yang menghantar bantuan zakat yang diutamakan ke jajahan baru ditakluki atau yang jauh dari masyarakat setempat... wallahua’lam.

Menterjemahkan kebaikan adalah di dalam lingkungan di mana kita berada, menyandarkannya terhadap hakikat keimanan kepada Allah dan akhirat serta keyakinan terhadap prinsip keimanan yang hakiki.


Setiap kebaikan yang dilakukan kerana Allah...biarlah Allah sahaja yang tahu dan memberikan balasan sebaik-baiknya. Tidak perlu rhetorik, tidak perlu publisiti, tidak perlu kamera, tidak perlu wartawan, tidak perlu mencari redha sesama manusia....biarkan sahaja terjemahan kebaikan itu dengan izin Allah menjadi ikutan tanpa kita sedari.