Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Wednesday, April 6, 2011

Peluang untuk melakukan kebaikan.... jangan sesekali ditangguhkan..

Saya melakukan kesilapan sekali lagi. Bertangguh menziarahi seorang jiran yang rapat dan saya kasihi... yang pagi tadi telah dijemput pulang kembali menghadap Allah SWT.

Sejak saya berpindah ke Teras Jernang, almarhumah merupakan antara jiran yang paling awal saya kenali. Ketika itu keluarga beliau mengendalikan kedai runcit untuk memenuhi keperluan kami di sini. Kebaikan, keramahan dan senyuman beliau menyebabkan saya merasa begitu rapat dengannya meskipun kami biasanya hanya bersua muka dalam majlis-majlis ilmu di masjid atau terserempak di sekolah (anaknya dahulu bersekolah di sekolah yang sama dengan anak saya).

Pada tahun lepas, saya menemuinya dalam keadaan beliau yang agak uzur. Sekali pandang, saya dapat mengagak beliau alami penyakit kronik yang memerlukan rawatan lanjut.Usianya masih muda...lewat 30an. Namun, tidak tergerak pula untuk saya bertanya lebih lanjut. Baru-baru ini saya menemuinya dalam aktiviti Karnival Masjid; keadaannya kelihatan semakin uzur, saya menawarkan diri untuk meng"arrange"kan PET Scan di tempat saya bekerja memandangkan temujanji di Putrajaya agak lama.Beliau sebenarnya telah didiagnos mengalami kanser ovari, yang pada pendapat saya merupakan komplikasi akibat perebakan kanser berkenaan ke tempat lain.

Agak lama juga saya menunggu maklumbalas darinya.... sehinggalah pada hujung minggu lalu, saya mendapat tahu keadaanya semakin uzur. Dalam kesibukan melalui rutin harian, saya berazam untuk singgah menemuinya bertanya khabar...namun entah mengapa kesibukan rutin harian saya dahulukan, sedangkan peluang berziarah itu telah diizinkan Allah terbuka di depan mata, namun saya biarkan berlalu...

Saya masih terbayang senyum, salam dan keramahan bicaranya....betapa dukanya hati saya mengenang kekhilafan diri yang masih terpedaya dengan kesibukan yang tidak jelas kelihatannya. Ya Allah, please forgive us...give and bless her with Jannah and rahmah...

"dan orang-orang yang telah memberi apa yang diberikan kepada mereka dengan hati yang penuh takut kerana (sedar) bahawa mereka akan kembali kepada Tuhannya. Mereka itu bersegera untuk mendapatkan kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang yang segera memperolehinya" (Al Mukminun maksud ayat 60-61)

1 comment:

Gurindam Jiwa said...

انّا للہ و انّا الیہی رجیعون

الفاتحة