Cabaran yang sama-sama kita hadapi pada alaf ini ialah untuk mengisi kehidupan dengan ilmu, mengamalkan secara relevan serta memenuhi tuntutan kehidupan memenuhi apa yang diredhai Allah SWT. Namun, cabaran yang lebih besar pula ialah melawan arus golongan yang membesar-besarkan isu format dan struktur sesuatu ilmu, lantas melupakan kandungan dan konteks ilmu itu sendiri dalam membimbing kehidupan. Umpama air yang merupakan keperluan hidup, analog mengutamakan struktur dan format ialah seperti memberikan penekanan kepada morfologi dan struktur serta bahan binaan bekas yang mengisi air; keutamaan terhadap mutu dan keselamatan air langsung tidak dipedulikan.
Saya memandang generasi hari ini dahagakan pengiktirafan dalam sebarang aktiviti yang mereka lakukan. Kewujudan hati-hati yang kelihatannya hanya didamaikan oleh kehebatan pengiktirafan serta pulangan yang berupa kesenangan yang dilihat dengan pancaindera. Lantas, kewujudan ilmu yang wajarnya menjadi pembimbing kehidupan, dijadikan pula modal untuk menobatkan diri serta memperolehi hadiah dan sumbangan. Dilihat pula secara terperinci dalam pembentukan konteks pembinaan jiwa insan, Al Quran dan sunnah nyatanya tidak dititikberatkan.
Di sana-sini, pada kain rentang, pada isu di akhbar atau tulisan-tulisan pandangandi media cetak mahupun virtual; isu bible berbahasa melayu terus menjadi tumpuan. Bukanlah niat saya untuk mengeruhkan lagi keadaan; namun saya tertanya-tanya sikap dan pendekatan kita dalam mengemudi hidup kita sebagai muslim.
Dalam konteks yang sama, adakah kita akan memusnahkan internet atau media elektronik jika ada pendakwah agama lain menggunakan pentas berkenaan untuk tujuan mereka memperkenalkan diri dan agama mereka...sedangkan perkara berkenaan dipertonton dan dibentangkan pada kita sejak sekian lama (secara nyata mahupun tersirat).
Bible berbahasa melayu bukanlah ancaman; biarlah dalam apa sahaja bahasa yang dikemukakan. Namun, ancaman yang paling besar ialah majoriti umat islam hari ini ketandusan kefahaman mengenai aqidah yang benar serta gagal memperlakukan Al Quran dan mengambil teladan sunnah sebagai terjemahan dan praktis dalam kehidupan. Saya mohon kepada masyarakat agar sama-sama kita memelihara keamanan; tumpukan keutamaan kita serta turun padang bersama-sama untuk menterjemahkan dan menyeru ke arah Islam sebagai cara hidup menurut petunjuk Al Quran dan Sunnah.... bukan terus berdedaian dengan rhetorik mencari perhatian dan sokongan...
No comments:
Post a Comment