Semasa saya di sekolah menengah dahulu, setiap kali tertekan atau marah atau kecewa...saya luahkan atas kertas, yang kemudian saya koyak-koyakkan dan buang ke dalam tong sampah. Atau saya luahkan pada seorang teman yang mahu mendengar...atau jika terlalu geram...saya kisahkan melalui cerita kepada kumpulan kawan yang menjiwai apa yang saya lalui (itu sebenarnya mengumpat...mudah2an dosa saya diampunkan)atau saya menelefon ibu saya yang jauh di kampung....atau saya sekadar diam menahan rasa dan akhirnya mengalir air mata.
Itu semua dunia semalam...dunia tanpa istilah 'online'...serta perayauan internet nya masih belum begitu nyata. Dunia cyber pada era kita pada hari ini, saling bertindan dengan dunia nyata. Bersambung dan silih berganti; sehingga ada yang jiwa dan tidurnya terganggu akibat rasa kecewa dan geram melalui komunikasi alam cyber yang penuh dengan 'mistik' dan misteri.
Dalam dunia cyber, mana-mana individu yang melayarinya boleh menyamar dan dirabunkan identitinya. Siapa sahaja boleh berpencak dan berbahas.... boleh menyatakan apa sahaja intonasi dan ekspresi...hatta untuk mengutuk sesiapa sahaja yang tidak disukai. Betapa noda lisan dan tulisan terus menikam kredibiliti serta menjadi luahan yang memutar belitkan fakta dan realiti.
Orientasi emosi dan aras minda juga berbaur nalurinya. Apa sahaja ucapan mahupun lintasan hati yang tertulis di pentas virtual.... bukan lagi untuk tatapan peribadi; namun disaksikan di seluruh jagat ini (yang mempunyai talian internet).
Untuk itu, manfaatkanlah lisan dan tulisan sebaik-baiknya demi meraih kebaikan dan pahala. Jangan sesekali terlajak bicara sehingga menyebabkan dosa menjadi berbunga-bunga....
No comments:
Post a Comment