Along...jangan gusar untuk hadapi peperiksaan semasa bulan puasa ini. Kelihatannya payah untuk dihadapi...dalam keadaan bertahan dari lapar dan dahaga, letih akibat kurang bertenaga dan mungkin yang paling ketara, kemampuan minda Along untuk berfikir satu persatu. Hadapilah apa jua cabaran ini sebaik-baiknya...ujian ini buat kita sebenarnya terlalu sedikit jika dibanding pertarungan senjata yang berdepan dengan hidup mati sesuatu perjuangan atau nyawa kehidupan.Kenanglah perjuangan Nabi dan para sahabat semasa di Perang Badar dahulu.
Along...jika Along gagal menjawab dengan baik...Ummi takkan letakkan kesilapan itu sepenuhnya kepada diri Along. Susah senang menjawab peperiksaan bukan mutlak sifatnya malah ianya terlalu dinamik serta banyak bergantung kepada faktor-faktor luaran yang tak mampu kita gapai. Ummi nak Along sentiasa sedar bahawa cemerlang dalam peperiksaan bukan matlamat Ummi sekolahkan Along. Cemerlang itu bonus...untuk kita terus berdisiplin, bersungguh-sungguh serta merupakan hormat kita kepada guru. Pergilah ke mana sahaja di dunia ini...cemerlang dalam peperiksaan itu tidak pernah kekal sifatnya tetapi sifat hormat kepada guru serta mengamalkan apa yang diajarkannya itu lebih utama untuk diteladani.
Jangan sedih jika selepas Along berusaha tetapi masih gagal setanding dengan kawan sekelas yang lain...percayalah, Ummi takkan membanding-bandingkan pencapaian Along dengan mana-mana sahabat Along;Ummi juga takkan memanjangkan bicara itu dengan kawan-kawan Ummi dalam mengukur prestasi anak-anak. Tiada masa untuk Ummi lakukan itu kerana banyak lagi usaha bermanfaat lain yang wajar Ummi lakukan. Ummi melihat capaian sebenar Along ialah akhlak dan praktikal yang positif di dunia yang nyata.Pencapaian yang disandarkan pada redha dan rahmat Allah...bukan sanjungan dan pujian manusia. Itu memadai untuk menyejukkan dan menenangkan hati Ummi. Ummi doakan agar ianya merupakan satu yang mampu Along kekalkan dengan izin Allah akan momentumnya; sehingga ia terus kekal setelah Along mencapai usia dewasa nanti.
Tabahlah untuk hadapi musim peperiksaan di bulan ramadhan ini....
No comments:
Post a Comment