Sejujurnya, saya selama ini menulis sekadar memenuhi keperluan akademik. Menulis untuk peperiksaan, menulis untuk kerja kursus, menulis untuk penyelidikan dan juga menulis untuk laporan/ dokumen rasmi.
Antara pengalaman semasa bersekolah menengah dahulu ialah ketika kami diarahkan oleh guru Bahasa Malaysia iaitu Cikgu Khalil untuk menulis sebuah cerpen (beliau sekarang jika saya tidak silap merupakan Pengetua MRSM). Sayapun tidak berapa ingat tentang kisah apa yang saya tuliskan...dan seperti biasa, subjek Bahasa Malaysia bukanlah subjek yang saya gemari. Lalu semasa sesi akademik yang memuatkan kelas Bahasa Cikgu Khalil berikutnya, saya dengan selamba membuat kerja sekolah matematik yang terlupa hendak disiapkan. Tiba-tiba, nama saya dipanggil untuk berdiri. Dengan begitu gemuruh bimbang diarah keluar atau dihukum kerana membuat kerja sekolah matematik semasa kelas Bahasa..saya berdiri perlahan-lahan..."Ok Malina...cuba baca cerpen yang kamu tuliskan"....aduh...debaran saya sekaligus terhenti. Cuma saya pelik kenapa tulisan cerpen saya ini perlu dibacakan di dalam kelas. Di akhir pembacaan, Cikgu Khalil mengungkapkan pelbagai pujian tentang plot dan susunan bahasa yang saya pilih...yang saya sebenarnya agak terpinga-pinga sebab tidak menyangka ianya akan berakhir sedemikian..
Selepas bergraduat dan mula bekerja, meskipun saya berminat untuk menulis tentang sesuatu...namun ianya sering menjadi harapan yang tidak menjadi kenyataan. Ini kerana kebanyakan harapan saya itu sering terhenti begitu sahaja disebabkan kesibukan serta faktor-faktor lain yang tidak saya pernah hiraukan secara serius. Ada yang sempat...hanya saya tuliskan dalam bentuk puisi atau catitan ringkas.
Saya sering menyangka, bahawa apabila kita hendak menulis...kita perlukan suasana yang 'conducive'...tenang serta sepi tanpa gangguan. Kita juga perlukan ruang untuk menulis...meja yang bersesuaian, kerusi yang ergonomik serta waktu yang optima untuk berfikir. Beberapa cubaan saya menulis...berakhir tanpa sebarang hasil. Namun demikian, saya cuba juga mencari ruang di sebalik kesibukan atau di celah peruntukan masa untuk menulis sebarang apa yang saya fikir boleh dimanfaatkan.
Segalanya bermula ketika saya di Kementerian Kesihatan dahulu apabila saya diamanahkan menyiapkan Draf Definisi kes Penyakit berjangkit. Ia akhirnya dibukukan dan itulah buku pertama yang saya sunting dan kini merupakan rujukan utama untuk doktor-doktor yang menguruskan kes penyakit berjangkit di peringkat kebangsaan (Case Definition for Infectious diseases in Malaysia).
Semasa diamanahkan sebagai Penyelaras Akademik di fakulti tempat saya bertugas, saya dapati tugas-tugas pentadbiran akademik terlalu 'renyah'(laborious) serta menuntut banyak kesabaran. Melalui kursus Microsoft Excel yang saya hadiri, saya dapati kemudahan yang ditawarkan Excel sangat berguna untuk proses memasukkan markah pelajar tanpa menggunakan mesin pengira serta boleh dibuat secara automatik akan gred yang diperolehi. Berdasarkan pengalaman asyik terlupa beberapa langkah penting menggunakan perisian Excel, saya akhirnya membuat nota ringkas untuk keperluan saya mengingatkannya..langkah demi langkah serta mencetak muka "window" melalui langkah printscreen (SysRq). Ia akhirnya menghasilkan nota sehingga lebih 30 mukasurat...satu usaha yang saya siapkan dalam tempoh beberapa jam melalui fokus waktu bekerja di pejabat. Akhirnya, semua itu saya bukukan melalui tulisan buku saya yang pertama iaitu "Excel your way Up".
Melalui pengalaman itu...saya memulakan tulisan di blog ini melalui tulisan tidak formal serta turut menulis secara mudah melalui buku teks (Lecture Notes on Medical Parasitology). Pada masa yang sama , saya turut menyunting makalah PBL cases for Medical Students sebagai ketua penyunting.
Sebuah lagi buku yang telah saya tuliskan baru-baru ini ialah Penyelidikan Perubatan dan Sains Kesihatan: Satu Pendekatan MUDAH..Buku itu saya dedikasikan khas untuk semua yang ingin berkongsi kemahiran kaedah penyelidikan secara mudah dan sistematik. Bagaimanapun, penulisan saintifik yang memberikan lebih banyak 'points' tidak begitu saya berikan tumpuan...kerana ianya terbeban dengan 'politik' sidang editor, hasil kajian serta pemerhatian orang lain; yang turut terdedah dengan plagiarisma serta masalah etika dan kejujuran.
Saya akhirnya membuat kesimpulan bahawa untuk menulis:
1. Kita perlu mempunyai objektif jelas untuk menulis, dan menyandarkannya untuk mengingatkan dan manfaat diri sendiri di samping berhasrat berkongsikan kebaikannya dengan orang lain (saya gagal memilih idea yang baik jika objektif penulisan disandarkan kepada yang lain daripadanya);
2. Kita tidak perlu suasana yang begitu ideal seperti masa yang lapang tanpa gangguan, ruang meja yang luas (spacious) atau memperuntukkan waktu tertentu dalam melahirkan idea tertentu (saya tiada waktu khas untuk menulis; tiada meja khas ...cukuplah sekadar menggunakan laptop, pena dan kertas);
3. Penulisan itu bermula dengan pendengaran dan pemerhatian kita tentang sesuatu idea serta difokuskan menurut objektif yang benar....kita perlu menjadi pendengar dan pemerhati yang baik sebelum mampu mengilustrasikannya dalam bahasa dan intonasi yang mudah; penulis yang baik juga merupakan pembaca yang baik;
4. Sesuatu idea perlu segera dituliskan...jika tidak, ianya akan tenggelam dalam kesibukan....
Dan saya berharap penulisan saya adalah merupakan perkongsian tentang kebaikan...
1 comment:
setuju kak.saya suka menulis.tp cerpen x pandai.ayat jadi cam batu je
Post a Comment