Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Monday, June 7, 2010

Pentingnya "mendengar dan menggunakan akal" untuk faham kebenaran

Saya pernah mendengar dan membaca hadith yang menyebut kelebihan membaca surah Al Mulk iaitu mereka yang membaca Surah ini pada setiap malam tidak akan disiksa oleh azab kubur.

Saya sebenarnya tidak mengetahui status hadith tersebut sama ada ia hadith yang sahih, hadith hasan atau sebaliknya.

Namun menerusi penjelasan kuliah tafsir yang saya hadiri siang tadi memberikan penjelasan dalam ayat 9 - 11 surah tersebut yang memberi perincian sifat-sifat ahli neraka yang menyebabkan mereka dicampakkan ke dalam neraka. MAKSUD AYAT BERKENAAN:

9: Mereka menjawab: Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!

10: Dan mereka berkata: Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli Neraka.
11 : Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli Neraka.


Antara sifat yang perlu kita tanamkan tanpa bertangguh ialah sifat mendengar dan menggunakan akal fikiran untuk memahami kebenaran.

Saya sering berhadapan dengan situasi di mana berhadapan dengan individu yang biasanya telah mempunyai pemikiran, persepsi serta sikap terhadap sesuatu isu...meskipun diperjelas dengan dalil atau keterangan yang benar tetapi masih enggan menerima dalil atau keterangan tersebut. Lalu ianya membawa kepada perdebatan dan perbahasan panjang yang tidak perlu. Ia adalah satu keadaan yang boleh dielakkan jika ada kerendahan hati untuk mendengar dan berfikir dengan apa yang sepatutnya difahami.

Manusia ada kalanya ego untuk menerima pendapat lain; yang bagi saya bukan sukar untuk mendengar dan berfikir...jika sandarannya semata-mata kerana Allah, pasti ada jalan yang membawa kita ke sana.

Perselisihan antara individu dalam organisasi kepada beberapa kumpulan sehingga membawa perpecahan pada pendapat saya kerana wujudnya sikap tidak mahu mendengar dan duduk berfikir sejenak.

Dan sesungguhnya perselishan itu BUKANLAH RAHMAT...

No comments: