Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Friday, May 22, 2015

Tentang kita, interaksi dan dinamik emosi...

Pernah dahulu tatkala dilanda kesusahan atau derita di sanubari….saya terfikir untuk ke rantau asing, jauh dari manusia sekeliling. Sendirian membawa hati dan diri, mungkin juga mengubat keperitan dengan menggembala kambing-kambing atau bertani. Mungkin di sana ada ketenangan yang membawa saya menyelami erti da'wah dan kehidupan yang perlu diterjemahkan sebagai muslim.

Namun detik itu tidak pernah terjadi.

Saban waktu, dalam liputan hari-hari…saya diizinkan Allah SWT untuk terus berinteraksi sesama insan, atau juga makhluk-makhluk yang menumpang persahabatan atau kasih sayangnya, atau juga dengan insan yang tiada kena mengena dengan saya namun wujud sebagai entiti di dalam sistem yang perlu saya hayati.

Interaksi sesama insan…ulangan nasihat tazkirah dari Allah swt di dalam Al quran. Sebahagian mereka membantu antara satu sama lain menyesatkan manusia, memerangi manusia, menyakitkan manusia lain,  membunuh para utusan Allah, mentertawakan manusia beriman, saban mengeluarkan rhetorik pembohongan dan kedustaan, bakhil dalam usaha dan harta…sifat-sifat nifaq dan kufur..

Hakikat menghadapi manusia adalah ruji yang mendepankan kita dengan ujian. Saya pula sering tewas menghadapi manusia yang sebenarnya syaitan datang menyesatkan keimanan dan kesabaran. Menambah emosi kemarahan serta menyakiti sesama sendiri. Sungguh pada usia ini saya tidak mampu untuk terus ditindas atas nama kebaikan atau diplomasi. Ada masa kita perlu bangkit mempertahankan diri, namun nampak gayanya manusia-manusia sekeliling yang tidak dekat dengan tazkirah Alquran atau teladan sunnah…bersuka hati menghentam dan berpoya-poya menyalahguna kedudukan.

Andai diberi peluang…

Saya ingin sekali bertugas dalam skop tugasan yang saya cintai bersama insan-insan yang saya kasihi. saling berbudi dan memberi.

Saya rindukan insan-insan yang tegas memegang amanah tugas dan tidak berkira.

Saya  menaruh harapan yang tinggi agar  mereka  yang diberikan amanah kepimpinan menggunakan kedudukan untuk mendekatkan insan dalam organisasi pada kebaikan dan tanggungjawab aqidah.

Saya mahukan insan yang diberikan Allah kepakaran untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam skop seperti yang diperlukan, bukan membebel menempelak orang lain yang sekadar menunaikan amanah di atas tanggungjawab yang sebenarnya tidak boleh ditolak.

Firman Allah SWT;

Kepada Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi, dan jika kamu luahkan apa yang ada di dalam diri kamu atau kamu rahsiakan..semuanya akan dihisab oleh Allah SW Maksud Surah Al Baqarah ayat 284)

Demikian sebenarnya, interaksi sentiasa berakhir dengan dinamik emosi…pada Allah kita sandarkan kekuatan diri dan hati untuk tidak melakukan dosa dan keburukan pada amanah yang telah diberikan.

Sunday, May 17, 2015

Tentang "Selfie"

Istilah selfie mula menjadi kamus dalam ruji kehidupan sejak awal pertengahan dekad sebelum ini iaitu apabila mudahnya perantis mudah alih yang memuatkan aplikasi kamera dan seterusnya dimuat naik di laman sosial mahupun melalui komunikasi internet. Semasa PDA (Personal Digital Assistant) mula melanda pasaran, ia telah sedia memuatkan aplikasi kamera/ video. Namun seingat saya ketika itu, semua yang dirakamkan adalah untuk simpanan peribadi dan bukannya untuk disebar atau dihebahkan secara meluas.

Dunia hari ini benar-benar telah berubah lanskap perkongsian maklumatnya. Selfie bukan lagi terhad dalam lingkungan peribadi. Namun menular menjadi kebiasaan, sertawujud campur aduk antara yang bersifat formal, sesuatu yang sepatutnya 'privacy', atau ibadah-ibadah hati yang sepatutnya dirahsiakan.

Semasa saya berusia kanak-kanak dahulu, kami sekeluarga perlu meminjam kamera orang lain untuk bergambar sesama ahli keluarga. Betapa jika ada sessi itu, kami masing-masing begitu bersemangat mengenakan pakaian cantik, berhias indah untuk sessi fotografi yang jarang-jarang wujudnya dalam itinerari pada waktu itu. Betapa berharganya sessi fotografi, dianggap acara mewah serta begitu elit sekali.

Dahulu, kamera memerlukan filem yang perlu diproses. Dihantar kira-kira dua tiga hari…menimbangkan pula mungkin filem yang dihantar rosak…kemudian selepas diterjemah dalam bentuk foto hardcopies barulah ianya dapat ditatap. Terkadang ada juga debaran bimbang wajah senyuman menjadi sebaliknya dalam foto sebenar..ada kala juga keseluruhan filem yang dihantar tidak menjadi, lalu sesi bergambar santai bertukar menjadi kenangan yang 'tidak dapat dikenang'...

Dengan beredarnya masa, teknologi terus berubah. Mudahnya untuk kita berfotografi serta berkongsi kegembiraan ataupun pelbagai emosi…menjadikan kamera bukan lagi eksklusif milik individu tertentu. Fenomena instanteneous iaitu foto diambil terus dapat ditatap kemudian dimuatnaik dan disebarkan…juga menyumbang kepada perubahan mega. Sesiapa sahaja pada masakini yang mampu memiliki perantis mudah alih, mudah sahaja ber'selfie' merakamkan aksi dari pelbagai sudut serta sertamerta boleh mendapatkan hasil untuk ditatap serta boleh diulang berulang-ulang sehingga tuan punya diri berpuas hati..

Semasa saya menunaikan ibadah haji beberapa tahun lalu. ketika itu tidak ada aplikasi untuk mengubah lensa pada diri sendiri. Pelbagai aksi jemaah tertentu yang saya saksikan seperti mengambil berkali-kali gambar sendiri berlatarbelakangkan masjid nabawi, yang saya secara peribadi tidak bersetuju ianya dilakukan dalam tempat suci seperti itu. Demikian juga ramai yang berselfie di masjidharam… saya juga amat tidak setuju dan tidak selesa keadaan sedemikian.

Bergambar bagi saya adalah satu aktiviti santai untuk dikongsikan bersama yang dikasihi. Bukan diredah amalannya pada aktiviti ibadah yang perlu kita tuluskan niat dan amalannya. Dan saya sebenarnya merasa malu untuk dirakam sedemikian, apatah lagi untuk menyebarkannya pula di laman facebook atau ditatap oleh masyarakat umum.

Kira-kira sebulan lepas semasa saya menaiki lif di bangunan pejabat, secara kebetulan di sebelah saya seorang pelajar siswazah yang sibuk memegang telfon pintarnya. kebetulan berdiri di sebelahnya, saya dapati beliau begitu asyik menyaksikan gambar-gambarnya sendiri di dalam dan sekitar bilik tutorial, ruang akademik dengan pebagai gaya dan cara. Waktu yang sepatutnya beliau habiskan dengan mentelaah dan menulis semakan literature…

Baru-baru ini pula, seorang pelajar berselfie dengan Pro Canselor Universiti berkenaan sebaik sahaja menerima skrol diploma. Mungkin di tempat lain, ianya dibenarkan, namun ia fenomena asing serta dianggap menyalahi protokol dalam budaya ilmiah kita.

Untuk apa kita berselfie….? Andai untuk dirakamkan buat kenangan diri sendiri, perlukah berselfie hingga berpuluh-puluh aksi untuk satu event yang dilalui. Kemudian dimuat naik utk tatapan seluruh masyarakat manusia. Penyakit apa sebenarnya kita ini…? Ada pula kelompok yang memuat naik hidangan makanan setiap kali makan sedap-sedap bersama keluarga dan rakan…dengan alasan berkongsi kegembiraan. Demikian apabila mendapat keputusan peperiksaan anak yang hebat…

Apa sebenarnya yang kita dapat dari berselfie…? Selain dari mencipta emosi untuk berbangga sesama sendiri atau melayan keindahan yang dikecapi…apakah pula nilainya dalam konteks aqidah kita? Pada dimensi iman kepada Allah dan hari akhirat…?



Satu pertemuan, tentang semalam dan keinsafan...



Saya diizinkan Allah hadir meraikan para guru yang pernah berkongsi ilmu dan bakti dalam kehidupan kami di MRSM Muar. Juga rakan-rakan serta senior dan adik-adik yang pernah berkongsi kisah dan cerita apabila tumpang berteduh selama lima tahun di asrama kayu. Riak wajah masing-masing yang begitu ceria dan gembira. Cuma saya yang agak terbatas emosinya apabila fenomena selfie begitu menguasai kehidupan dan pergerakan. 

Pertemuan ini juga membawa saya menemui khabar bekas rakan sebilik yang kini sudah berkeluarga dan memiliki 7 cahayamata. SubhanaAllah murah rezekinya... dan saya lebih terpegun apabla dikhabarkan 4 dari anaknya merupakan hafiz alquran. Airmata saya hampir bergenang apabila terkenang tentang hadiah yang saya berikan semasa hari perpisahan kami pada 1986 dahulu, iaitu sebuah mushaf Alquran.

Pagi tadi saya singgah mendengar tazkirah dari ayat 30 Surah Al Furqan. Allah bentangkan kisah apa yang akan Nabi Muhamad SAW persaksikan di akhirat nanti iaitu kaum baginda yang telah mengabaikan sejauh-jauhnya Alquran dalam kehidupan. Membawa saya juga terus menginsafi diri, di mana pula kedudukan saya di sisi Al quran. Saya juga yang selama ini mendatangi Al Quran dalam keadaan seperti orang yang ‘buta’ dan ‘tuli’, Membacanya tanpa difahami, lalu wujud dalam kehidupan sebagai manusia yang seperti tidak pernah tahu tentang Al Quran.

Kisah bekas rakan sebilik saya ini menyentuh dalam ke sanubari. Saya menghadiahkannya Al Quran dalam keadaan diri yang tidak memahami sebarang tafsir dan erti. Buat masa ini, dalam diri yang masih ‘struggle’ untuk belajar kembali serta cuba menghayati ayat-ayat Al Quran, saya memandang jauh ke dalam diri. Rahmat dan barakah Al quran itu hanya hadir buat diri yang diizinkan Allah SWT untuk memperolehinya. Kitalah juga yang perlu berusaha memilihnya, bukan memilih untuk terus sesat seperti manusia yang tidak bertuhan atau memilih Tuhan selain dari Allah SWT untuk disembah penuh takjub dan kecintaan.


Tuesday, May 5, 2015

Memandang pada hati dan diri sendiri..

Andai hidup ini bagai teori di makmal sains yang mana banyak keadaan yang boleh dikawal serta diselaraskan, pastinya mudah untuk kita 'menekan' butang keputsan agar hati sentiasa tenang dan bahagia. Realiti insan dalam kehidupan dunia tidak begitu. Ada kala kita waras untuk berfikir namun dalam banyak waktu pula, sering terbawa dengan emosi yang lupa pada hakikat iman kepada Allah dan hari akhirat.

Saya sebenarnya sekali lagi 'terpukul' dengan sikap sebahagian individu yang merasa OK menolak sesuatu tanggungjawab yang diberikan gaji bulanan dengan entah apa alasan.  Pernah saya 'mencacai' mencurah rasa geram… pada sesuatu yang dilihat sebagai begitu aneh sekali apabila seseorang yang mengaku pada akidah Islam yang benar, yakin wujudnya Tuhan Maha Esa  dan hari pembalasan namun di satu dimensi kehidupan mencipta makar-makar yang mencampakkan dirinya dalam penipuan pada diri sendiri….

Namun firman Allah SWT yang beberapa kali berulang, menghamburkan geram-geram itu pada keinsafan untuk diletakkan terutama pada diri saya sendiri.

Sesiapa yang membuat amal yang saleh, ia adalah untuk untuk dirinya sendiri, dan yang membuat kejahatan akan (ditimpakan) keatas diri (pelaku)nya. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan. Maksud Ayat 15 Surah Al Jathiyah)

Saya banyak membuat kesilapan selama ini apabila sering melontarkan rasa tidak selesa apabila berhadapan isu atau sebarang masalah. Jarang sekali saya lontarkan kesalahan itu terutama dan pertama-tama pada diri sendiri. Namun, stress atau keadaan tekanan yang datang memuncak kembali reda apabila saya meletakkan sepenuhnya tanggungjawab untuk memperbaiki diri, memperbetulkan kesilapan serta berusaha untuk memaafkan dan melupakan segala apa yang saya ranking kan sebagai punca kesilapan.

Betul, dalam banyak keadaan…mengambil tanggangjawab memperbaiki, memaaf dan melupakan adalah sesuatu yang terbaik untuk terus positif dan membina setting yang konstruktif. Fokus ini pula tidak boleh kita pisahkan atas sifat dan ketaatan sebagai muslim yang berusaha untuk memelihara iman dan ihsan. Kerja kita adalah terjemahan ketaatan dan aqidah kita sebagai muslim yang berusaha memelihara iman dan taqwa.

Kunci membaiki keadaan sebenarnya adalah memandang dan memperbaiki apa yang ada di dalam hati dan diri sendiri.

Ya Allah, mudahkanlah urusan ini buat kami...