Saya 'diamuk' kejengkelan yang sepatutnya saya hindari; atau juga yang sepatutnya saya tolak ke tepi. Namun fitrah insan yang lemah dalam menolak reaksi tatkala diuji, saya nyatanya 'kalah' dalam melawan hakikat 'penindasan' lisan yang tidak saya jangka begitu menghiris sekali.
Apa sebenarnya yang mendefinisikan kita sebagai insan? Selain komposit luaran mahupun karakter emosi, psikologi dan juga spiritual atau ruh...saya berpendapat bahawa kehidupan seseorang bergantung pada pengisian jenis apa yang hendak dipenuhkan dalam ruang waktu yang diizinkan Allah AsSamad padanya.
Duduk bicara seseorang bagi saya, menggambarkan ilustrasi pemikirannya. Ia juga mungkin terserlah dalam komitmen amali serta aura penampilan dalam kesungguhan bagi setiap usaha yang dirancang dan diserlahkannya. Insan yang hatinya bergantung pada Tuhan Rabbul Jalil, tampilnya tidak sombong, penuh kerendahan serta berusaha menjauhi menyakiti hati orang lain.
Pengisian hidup seseorang juga didefinisikan akan reaksi yang ditampilkannya secara spontan... pada insan lain sekelilingnya; juga pada apa jua isu dan permasalahan yang mendadak pinta diselesaikan. Sekaligus, mengukuhkan lagi kebenaran hadith yang memberikan penekanan tentang duduk NIAT dalam amalan seseorang.
Insan lain di sekeliling kita, bukan objek robot tanpa perasaan. Mereka perlu dihormati, bukan diredah sesuka hati atau didatangi tanpa perincian dimensi penuh berhemah. Insan-insan itu juga, biar bagaimana kita definisikan kedudukan mereka di sisi kita...jangan dimangsakan dalam pelbagai tanggapan berbeza lalu diberikan persepsi yang melukakan hati dan jiwa.
Insan yang sama kita kongsikan senyum padanya; mereka jugalah yang kita ikhlaskan penampilan dalam membuat teguran serta cadangan penambahbaikan. Tidak sukar berbicara; tinggal lagi dalam definisi persoalan yang berbeza...matlamat penyelesaian tidak susah andai niatnya ikhlas kerana Allah.
Syaitan mendatangi manusia...dalam bentuk ghaib atau juga tersadur amalan berbaur dosa dalam penampilan sebagai manusia. Mudah-mudahan..kita bukan sahabat syaitan yang suka menuding dan melemparkan seseorang dengan kesalahan..
No comments:
Post a Comment