Beberapa minggu lepas, entah bagaimana perasaan sayu dan rindu kepada ibu saya begitu menyusup ke sanubari. Lama benar rasanya tidak menemui dan berbicara dengannya. Akhir sekali ziarah saya menemuinya ialah beberapa bulan yang lepas..semasa cuti panjang pada bulan disember.
Ada tidakpun dalam waktu-waktu terluang, saya sekadar menelefon bertanya khabar. Atau juga dalam doa-doa yang saya kongsikan untuknya.. Keterbatasan dalam urusan harian serta tanggungjawab yang nyata berbeza, tidak memampukan saya untuk melakukan rutin sepertimana yang biasa saya lakukan dalam waktu-waktu saya ketika remaja.
Semalam, insan yang saya paling kasihi ini terlantar dirawat untuk komplikasi penyakit yang dihidapinya. Ketentuan Allah yang datang mendadak, lalu menterjemahkan di hati ini perasaan sedih, risau serta pelbagai emosi yang berbaur. Lalu terjelma kenangan saya ketika di zaman kanak-kanak, pengorbanannya membesarkan kami semua, kesusahan demi kesusahan yang dilalui serta juga suka duka yang terpahat erat dalam ingatan.
Saya sebelum ini menanti-nanti musim cuti sekolah untuk hadir berbicara dan bermanja dengannya. Mengenang kembali rindu luarbiasa yang menyusup di jiwa; khabar tentang situasinya kini tidak memampukan saya menghindari rasa sebak. Dan saya tahu,dalam realiti yang saya hadapi serta menterjemah keadaannya... bahawa rindu saya itu akan terus mekar terpatri di hati...
No comments:
Post a Comment