Alhamdulillah...saya pernah diberi peluang, berbicara di pentas awam untuk membincangkan tajuk di atas. Respon yang saya sendiri terasa auranya. Ada di kalangan hadirin yang juga sebak...dan saya juga turut menitiskan airmata ketika berbicara mengenainya.
Meskipun sebelum ini, saya selalu merenung sejenak... Apakah yang pernah saya tulis atau bicarakan pada ketika itu atau juga sebelum ini, termampu juga untuk saya kotakan sebagai amal dan perlakuan .. saya yang nyata pasti ketika itu, tidak mampu mengiyakan, namun saya berdoa moga ada peluang yang diizinkan Allah untuk saya menumpang melakukan kebaikan-kebaikan pada insan yang dimuliakan Allah itu menurut kemampuan seadanya. Batasan dalam ruang waktu seharian, juga tanggungjawab di hadapan mata, ‘jalan ke syurga’ dengan berbakti kepada kedua ibu dan ayah nyata menuntut tidak sedikit ruang pengorbanan dan keikhlasan di hati.
Ya, betapa glamornya dapat berbicara di pentas awam. Memegang podium atau juga mikrofon...serta digamit lensa kamera atau siaran secara langsung di poster, banner mahupun media massa.... Apatah lagi tumpuan, mahupun perhatian tertumpu pada apa yang kita sebut atau huraikan.
Tidak pernah terniat di hati ini untuk mencari sebarang ruang untuk ‘popular’ mahupun ‘glamor’. Namun, berdasarkan pengalaman yang dibuka jalan oleh Tuhan yang Maha Agung dan Maha Pengasih... nyatanya realiti untuk mencari ‘jalan ke syurga’ itu secara ‘hands on’ ini tidak semudah atau seindah gemerlapan tatkala bicara saya didengar di pentas forum.
Pernah juga saya tuliskan sebelum ini, tidak perlu sesekali kita berkira andai dibukakan Allah jalan untuk kita memelihara kedua ibu dan ayah tatkala usia dan keadaan mereka memerlukan kita di sisinya. Satu tiket ke syurga telah ditawarkan sebagai ganjaran melakukan kebaikan untuk keduanya.
Tanggungjawab berbakti kepada dua ibu dan bapa tidak pernah luput walau di mana jua kita berada, atau dalam keadaan mana kedua mereka. Dimensi melakukan kebaikan kepada keduanya perlu difokuskan pada diri kita sebagai insan muslim mukmin; yang ranking berbakti kepada ibu bapa merupakan keutamaan selepas beriman kepada Allah SWT.
Oleh itu, ranking mencari perkara lain dalam kehidupan dalam seseorang, datang selepas beriman kepada Allah dan memuliakan serta memurnikan kebaktian kepada keduanya. Saya berpandangan juga, dimensi melakukan kebaikan untuk ibu bapa tidak boleh di’wakilkan’ . Ruang dalam kehidupan kita...biar bagaimana payah atau susah; secara rankingnya perlu meletakkan berbakti kepada ibu bapa akan keutamaan sedemikian. Begitulah juga, kebaikan yang perlu didahulukan kepada ibu dan ayah mertua, yang sebenarnya juga adalah ibu bapa kita.
Rutin sebagai wanita berkerjaya, pada skop teknikal professional dan status semasa diri, memberikan saya insight bahwa sibuk bekerja bagaimanapun.... bukan alasan untuk ‘mengenepi’kan bakti kepada kedua ibu dan bapa. Kita yang menyusun ‘ranking’ dalam kehidupan kita... dan kitalah yang memilih untuk menerima ‘tiket’ ke syurga melalui berbakti kepada ibu bapa atau sebaliknya.
Ya...saya secara berulang-ulang sering berbicara apa yang nyata lahir dari hati saya.... bahawa wang ringgit insyaaAllah boleh dicari, namun banyak dimensi dalam kehidupan ini MEMANG tidak boleh dibeli. Ia juga TIDAK boleh diganti dengan upah bayaran... kerana pada ruang seperti ini; saya menghargai betapa bernilainya terjemahan pengorbanan dan kasih sayang....
Dan saya kongsikan sekali lagi di ruang ini... dalam kesungguhan kita mencari jalan ke syurga, moga Allah mengizinkan kita semua untuk meletakkan kedua ibu bapa kita pada ruang yang utama di dalam hati dan kehidupan kita...
No comments:
Post a Comment