Musim pilihanraya datang lagi. Sebagai insan kerdil dalam masyarakat., izinkan saya berkongsi pandangan mengenai situasi hari ini yang terus hangat dengan isu-isu mahupun berita sensasi.
Sejak sebelum parlimen dibubarkan, kempen-kempen politik terus hangat memenuhi suasana. Sejak dari dulu, apabila saya mula belajar mengenal dunia membaca mahupun susunan isu dalam masyarakat; sering keliru antara yang benar dan bohong. Antara yang sahih dan yang palsu. Kancah politik.... dilantunkan oleh persepsi negatif tentang manusia-manusia yang majoriti menganggap halal untuk menonjolkan kehebatan diri, mengutuk orang lain serta saling membuka aib dan tuduh-menuduh.
Apalah ertinya sensasi emosi itu pada kami maysrakat marhaen ini. Lebih mengecewakan lagi, apabila sudah menang...diarak merata tempat dan disanjung; tiba-tiba lalu melompat pula pada kem yang pernah dikutuknya. Hati dan perasaan kebanyakan individu seperti kami terus dipermain-mainkan...didalihkan dengan seribu satu alasan yang tidak berkesudahan.
Untuk mengelakkan diri dari dipercikkan oleh dosa-dosa menghina, mengumpat mahupun menyalahkan sesama sendiri... eloklah kita semua sama-sama mentadaburkan isi bacaan alquran. Sama-sama kita tinggalkan perkara, bicara mahupun perbuatan yang tidak mendatangkan faedah. Jangan dikutuk siaran TV mahupun dominasi TV atau media massa pada kelompok tertentu... tutup saja TV, hentikan langganan ASTRO dan bacalah berita yang perlu sahaja untuk kita 'update' dari hari ke hari.
Setiap kita perlu memikirkan jalan-jalan luas yang penuh dengan kebaikan, bagaimana penambahbaikan ke atas masyarakat boleh dilakukan tanpa perlu terlibat dengan kempen politik sedemikian. Saya tidak menafikan peranan politik...namun politik sebenarnya hanyalah laluan untuk seseorang menyempurnakan amanah dalam meneruskan penambahbaikan kepada masyarakat dan negara.
Sesungguhnya menang dalam pilihanraya...LEBIH MUDAH dari perjuangan untuk membina negara..
No comments:
Post a Comment