Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Wednesday, April 25, 2012

Indahnya surah Al A’raf..



Surah yang merupakan surah ke tujuh itu mengandungi 206 ayat (ayat Makkah kecuali ayat 163-170)... dimulakan dengan Aliff,lamm, miim, sad...; isi-isinya begitu menusuk dan menyentuh hati tatkala diulang bacaan dengan faham dan penuh penghayatan. Tidak pula saya hayati selama ini bahawa kebanyakan isi-isi dalam surah Al A’raf sering dibawakan oleh para penda’wah tatkala menyampaikan tazkirah serta peringatan untuk kita saling ingat mengingati. Saya kongsikan fakta-fakta dan kandungan dalam surah berkenaan yang selayaknya untuk dijadikan panduan dan peringatan.

Ayat dalam surah ini dimulakan dengan firman Allah yang mengingatkan bahwa ayat-ayat Al Quran bukan diturunkan untuk menyusahkan dan menyempitkan dada.. al quran adalah peringatan dan tazkirah bagi insan yang memilih untuk beriman. Allah seru manusia untuk mengikut nasihat dan garispanduan yang difokuskan penghayatannya dengan impak bahasa yang menggetarkan. Manusia disuruh untuk menjadikan Allah sahaja sebagai pelindung (waliy)..jangan sekali-kali bergantung pada selain Allah untuk mendapat perlindungan dari apa jua keselamatan dan ketakutan ataupun kerisauan yang menimpa.

Azab dan hukuman Allah sifatnya datang secara mendadak... tatkala manusia sedang leka berisitirehat... menyangkakan segalanya aman dan tenang. Seperti yang dikisahkan dalam ayat 4, banyaknya negeri yang dibinasakan Allah tatkala penghuninya berada di malam hari atau sedang berehat di siang hari.

Para rasul utusan Allah bakal menjadi saksi kepada manusia.. bahawa peringatan Allah telah disampaikan kepada manusia; dan kita ini pula perlu memikul tanggungjawab da’wah, agar di akhirat nanti...jangan ada manusia kafirin yang menyalahkan kita yang muslim ini gagal melaksanakan tanggungjawab da’wah dan menyampaikan risalah Al Quran.

Ayat berikutnya memperingatkan bahawa konotasi manusia sebagai manusia baik secara luaran bukanlah syarat untuk menjamin dirinya masuk ke syurga; timbangan di sisi Allah adalah mutlak sifatnya, sesuatu yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Mereka yang berat timbangan adalah mereka yang beramal dengan amalan yang baik ; dan diiktiraf IKHLAS oleh Allah SWT (bahawa kita semua akan dihisab dan dibangkitkan atas apa yang kita niatkan dalam amalan yg dilakukan).

Amalan sekadar memeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa, selain menyia-nyiakan waktu; dalam masa yang sama bersangka sudah menjadi baik lantaran tidak melakukan sesuatu yang nyata berdosa, adalah suatu yang sangat RUGI (ini dijelaskan dengan mudah dan ringkas dalam surah Al ‘Asr). Mereka yang ringan amalannya... tidak berbuat kebaikan, menyi-nyiakan kehidupan, merupakan kelompok yang disifatkan Allah sebagai golongan yang rugi.

Rahmat Allah yang begitu melimpah ruah kepada kita sebagai manusia yang ditempatkan mencari kehidupan di dunia.. subhanalLah, begitu banyak rahasia kehidupan yang memberikan manfaat dan faedah dalam hidup manusia. Tumbuhan yang dikeluarkan dari perut bumi dengan rahsia genetik yang pebagai, begitu juga haiwan-haiwan... kesemuanya dimanfaatkan untuk kehidupan manusia.

Kluster ayat berikutnya iaitu dari 12 hingga 27 adalah kisah sejarah Nabi Adam as... peristiwa kesombongan iblis yang enggan sujud hormat kepada Adam, memohon penangguhan Allah hingga hari akhirat selepas diiktiraf dengan penuh hina dan dikeluarkan dari syurga.
Betapa bencinya iblis pada manusia yang berjanji sungguh-sungguh pada Allah untuk menyesatkan dan menyebabkan manusia masuk ke dalam neraka. Pengkisahan nabi Adam as diulang-ulangkan dalam beberapa surah, demikian kisah ketakburan dan kejahatan iblis... serta dendam permusuhannya yang kekal terhadap kita manusia. Iblis mendatangi manusia dari kanan (menjadikan urusan agama sebagai samar-samatr, dari kiri (menyebabkan manusia cenderung kepada maksiat dan dosa), dari belakang (suka pada dunia) dan dari depan (lupa tentang akhirat).

Seorang sarjana memberikan tazkirah mengingatkan bahwa asal kita sebagai manusia adalah dari syurga... syurga adalah asal kediamana kita, insyaAllah kita perlu doa dan mohon sungguh-sungguh mengharap rahmat Allah untuk kembali masuk ke syurga pada hari akhirat nanti.

Atas kesilapan yang disedari keduanya membawa kedua-dua ibu dan ayah kita itu memohon ampun dalam frasa doa memohon ampun yang sangat menyentuh perasaan iaitu.. wahai Rabb Kami, sesungguhnya telah kami aniaya/ zalimi diri kami, andai tidak Engkau ampunkan dan rahmati kami, maka pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi.

Berikutnya Allah berfirman memerintahkan kedua-duanya turun dari syurga ke bumi, memulakan penghidupan dengan mencari sumber kehidupan yang telah dusediakan Allah dan kemudian dimatikan serta dibangkitkan semula di hari pembalasan. Allah juga telah mengingatkan manusia bahawa sebahagian kita akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain.

Allah mengingatkan kita manusia untuk sentiasa ingat peranan iblis sebagai musuh paling jahat dalam menyesat dan merosakkan kebaikan manusia.. kita yang perlu ingat dan tidak leka akan usaha iblis dalam setiap waktu dan apa jua kita lakukan. Allah perintahkan kita supaya ‘aware’ hakikat tersebut dengan mengingatkan betapa kerana sifat jahat iblis yang memandang rendah seterusnya menggoda Adam dan Hawa untuk melanggar arahan Allah lalu mengeluarkan kedua-duanya dari syurga. Iblis juga yang menyebabkan tertanggal aurat kedua-duanya.. dari konotasi dalam ayat tersebut yang memberikan peringatan kepada kita untuk menjaga aurat dan kehormatan serta memeliharanya dalam julat yang dibenarkan Allah.

Dan Allah berfirman lagi mengingatkan manusia tentang sebaik-baik pakaian adalah TAQWA.. berhati-hati terhadap sebarang perkara dan kemungkinan yang mendatangkan dosa.

Secara mudah dalam kluster ayat tentang sejarah Nabi Adam as dan Hawa as; pengajaran penting untuk sama-sama kita hayati ialah:

1. Iblis adalah musuh utama yang tidak boleh ditinggalkan... kita perlu mencari jalan untuk menutup laluan iblis menyesat dan menyebabkan kita cuai. Itulah empat laluan iaitu dari depan (tak ingat tentang akhirat) , dari belakang (suka dan terikat dengan dunia), dari kanan (meluat dan rasa tak perlu dengan majlis-majlis ilmu/ tazkirah tentang kebaikan) dan dari kiri ( suka berbuat dosa dan amalan sia-sia). Ini termasuklah memelihara niat, mendekati dan terikat hati mendatangi taman-taman syurga (majlis ilmu), menjauhi perkara yang sia-sia, mencantas angan-angan panjang tentang dunia, menjauhi pasar-pasar dan tempat yang disukai syaitan serta gosip pelbagai yang mencetus permusuhan sesama kita.

2.Iblis bersifat takbur dan memandang rendah pada orang lain; mereka yang memiliki sifat tersebut merupakan sahabat yang disenangi iblis..

3. Iblis menggoda manusia dalam setiap ketika untuk menyesat dan mencampakkan manusia ke neraka.. itulah yang telah dilakukan kepada Adam a.s dan Hawa a.s; sehingga menyebabkan aurat kedua-duanya terbuka.

4. Kita perlu sentiasa memohon keampunan dan sentiasa mengharap rahmat dari Allah... bacalah doa keampunan seperti yang dibacakan oleh ibu dan ayah kita iaitu Adam dan Hawa sewaktu mereka memohon keampunan Allah SWT ketika dikeluarkan dari syurga.

NB: TAZKIRAH BUAT DIRIKU TERUTAMANYA YANG SELALU LUPA...

Saturday, April 14, 2012

The 30th Reunion.. sahabat zaman remaja yang selalu dekat di hati...

Tahun ini genaplah usia ke 30 persahabatan saya dan sahabat-sahabat yang pernah ‘membesar’ bersama dalam suasana suka duka di asrama MRSM. Pengalaman berjuang selama lima tahun itu bermula pada tahun 1982, bagai masih dekat dengan perkenalan yang telah bermula. Pada masa kini, masing-masing ditakdirkan Allah memilih haluan kehidupan. Sebahagian menjawat jawatan penting dalam negara, sebahagaian terus berbakti dalam bidang yang diminati di sisi keluarga tersayang... masing-masing berkongsi kepakaran dan pengalaman serta menterjemahkan kembali manfaatnya untuk kebaikan keluarga dan masyarakat.

Majlis pertemuan baru-baru ini, membawa sebahagian kami pada suasana kemesraan dalam satu keluarga besar yang unik keadaannya. Dengan kehadiran anak-anak dan pasangan masing-masing, atau juga bagi yang hadir berkelana sendirian. Namun semuanya hadir dengan penuh bahagia, gembira dan ekspresi ‘cinta’ yang sukar ditafsirkan pada luahan lisan bicara. Betapa besarnya keagungan Allah SWT apabila menyaksikan generasi pewaris (anak-anak) sahabat-sahabat saya ini mewarisi kelibat, wajah, mata, senyum dan telatah yang tak tumpah dengan ibu atau bapa mereka semasa kami remaja..

Sahabat-sahabat bekas pelajar inilah yang pernah menghuni rantau teratak kayu bersama, bergelut ‘mencari air’ bila kemarau pili melanda, ceria dengan senyum ketawa atau sesekali duka geram diuji kecewa.

Bersama mereka dan bimbingan guru-guru yang dedikasi hatinya, saya mengharung erti remaja yang ‘sendirian‘ (jauh dari ibu bapa serta keluarga) buat mengenal kehidupan. Betapa ‘berbekas’nya aura persahabatan pada usia remaja... itulah juga zaman yang menurut psikologi, banyak membentuk keperibadian yang bakal di’pilih’ tatkala telah dewasa.

Insan-insan yang pernah saya temui dalam perjalanan hidup zaman remaja ini, masih santun dan santai telatahnya. Masing-masing dengan perwatakan yang tidak jauh berbeza. Meski ada yang berbeza penampilan rupa, namun uniknya,.. laras bahasa komunikasi masih dalam nada serupa. Itulah manis senyum dan jenaka serta gelagat ‘tumpang bermanja’... Indah sekali dikenangkan saat-saat manis dan telatah tatkala remaja..

Seingat saya juga, kami kebanyakannya matang selepas lima tahun di’latih’ dalam suasana kehidupan asrama penuh. Meski kadang-kadang wujud isu atau juga rentetan khabar yang dikatakan tidak seiring dengan disiplin kampus... namun itu tidak merubah kesungguhan di kalangan sahabat-sahabat saya itu untuk terus berjaya di peringkat yang lebih tinggi.

Bercakap tentang berjaya... bagi saya, pertemuan selepas 30 tahun ini adalah suatu kejayaan untuk semua. Padanya kita mengumpul hati dan budi untuk memanjangkan manfaat dan kebaikan sebagai sahabat dan masyarakat, tidak kira walau di mana kedudukan kita berada. Tidak ada yang lebih mulia dan kaya, selain dari mereka yang lebih bertaqwa dan kaya jiwanya dengan kebaikan..

Satu dedikasi buat semua sahabat saya yang pernah melalui zaman remaja bersama..istimewa buat sahabat-sahabat yang sentiasa bertungkus lumus meneruskan usaha ‘keep in touch’ together.. salute penuh hormat utk Wae (Sdra Wan Naziran) sebagai Presiden alumni kelas ExMuor 86 serta jawatankuasa semuanya.. moga persahabatan kita abadi diberkati Allah SWT...

Thursday, April 5, 2012

Tentang "Pokok Kacang Hijau"

Seumur hayat sebelum ini, saya tidak pernah melihat pokok kacang hijau. Sangka saya ianya pokok seperti kekacang lain, merendang dan melingkar atau juga seperti pokok renek yang lain.

Saya kongsikan indahnya kebesaran Allah yang diulang-ulangkan di dalam Al Quran mengenai setiap unsur kehidupan yang Allah ciptakan...Dia Al Bari' yang menciptakan sesuatu dari tidak ada kepada ada, Al Khallaq yang Maha Mencipta dengan penyusunan yang begitu tersusun dan begitu hebat, Dia Al Musawwir yang Maha Merekabentuk setiap sesuatu yang diciptakanNya...

Bayangkan kacang hijau yang kita letakkan di mana-mana; dalam bekas, dalam laci..sifatnya seperti sesuatu yang tidak bernyawa. Sebahagiannya kita makan dijadikan juadah...dan sebahagian kita 'tetaskan' menjadi taugeh..



Sebahagian dari taugeh yang membsar jika dipindahkan ke tanah, Allah tumbuhkan menjadi pohon,kemudiannya membesar.










Seterusnya menghasilkan buah kacang hijau yang menghasilkan biji benih yang merupakan kacang hijau yang biasa kita lihat. Allahu Akbar..

Monday, April 2, 2012

Tentang "Menghafaz Al Quran"

Hafaz bermaksud memelihara... mereka yang menghafaz Al quran diberi anugerah Allah untuk memelihara Al Quran dengan kekuatan memori dan lidah mereka akan isi-isi tentang Al Quran. saya sesungguhnya teruja dan sangat menghargai insan-insan yang diizinkan Allah sebagai hafiz mahupun hafizah yang menghafaz (memelihara) al quran.

Mungkin pada usia saya, dengan tenaga dan kekuatan fikiran tidak sekuat pada usia muda..yang termampu dilakukan adalah untuk membetulkan segala kesilapan-kesilapan saya terhadap Al Quran. Saya membaca Al Quran sejak kecil..sejak saya mengenal usia persekolahan, namun isi Al Quran tidak saya ketahui seperti mana menghafaz atau mengingat kandungan fakta sekular sebagai seorang doktor mahupun ilmuwan perubatan. Saya membaca Al Quran dalam bahasa arab namun saya tidak menguasai bahasa arab.. berkali-kali mencuba, seringnya terhenti di peringkat nahu dan fi'il...Sebahagian besar tafsir dan isi kandungan tidak saya ketahui...sekadar 'superficial' yang saya baca pada saat terluang atau berkelapangan.

Kembali menghayati Al Quran perlu dimulakan dengan niat yang tulin..ikhlas dari perkara-perkara lain (pure intention). Al Quran dikatakan 'synchronize' dengan jiwa yang ikhlas (menetapkan fokus pada tauhid dan keimanan). Niat yang tidak tulen membawa hati terdorong pada kemaksiatan dan dosa.

Seperkara yang ingin saya kongsikan... membaca dan cuba menghafaz potongan ayat-ayat Al Quran Allah izin membantu untuk memberikan indikator dosa dan kemaksiatan yang kita lakukan. Pernah saya cuba mengingatkan ayat dari Surat An Nazi'at.. berulang-ulang kali mencuba, hingga puluhan kali serta berhari-hari dengan ayat yang sama. Hingga akhirnya saya kemudian terlupa untuk menghafaznya, Pada waktu lain saya mencuba..masih sukar dan gagal.. rutin kesibukan yang tidak mengutamakan Al Quran, sekali lagi melupakan niat untuk menghafaz ayat-ayat pendek sedemikian. Sampai semula waktu yang dilapangkan Allah untuk saya membuka kembali surah An Nazi'at... subhanAllah, saya menghafalnya hanya selepas membaca sekali ayat-ayat tersebut.

Ironinya... saya jarang bermuhasabah mengenai dosa dan kemaksiatan yang dilakukan... kadang-kadang kemaksiatan yang tidak saya pedulikan terutama menyia-nyiakan waktu yang lapang. Selepas mengingatkan semula.. saya kenalpasti bahawa kesusahan menghafaz ayat-ayat Al Quran walaupun mudah sebutan dan tidak begitu panjang adalah kerana dosa-dosa dari hati mahupun diri yang dilakukan. Sebahagiannya merupakan dosa yang kita abaikan dalam keadaan merasa ianya tidak berdosa...atau merasakan tidak perlu bertaubat atau memohon ampun kepada Allah SWT (astaghfirullah)...

Apabila sahabat saya bertanya bagaimana saya menghafaz surah-surah tertentu.. saya terkedu seketika dalam berkongsikan jawapan. Saya tidak mempunyai method yang khusus.., selain niat untuk mempelbagaikan bacaan dalam solat dan memudahkan saya mengikuti bacaan imam, saya sekadar menjenguk tips yang dikongsikan oleh ilmuwan. Antaranya di sini

Antara elemen yang tidak boleh diabaikan ialah tentang niat yang murni (pure intention) dan meminimakan dosa (menjauhi dosa dan banyakkan istighfar). Demikian juga apabila kita cuba menghafaz doa-doa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW.

Beberapa hari lepas... saya baru menyedari terlupa langsung satu surah yang baru sahaja saya mampu menghafaznya; saya terkejut sebab tidak teringat langsung tentang surah tersebut... dan memang betul, saya sebenarnya telah melakukan dosa dan kesilapan yang di'cuai'kan. Astaghfirullah..wa atubu ilaihi..