Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Monday, July 25, 2016

Saya telah memaafkan semuanya; kali ini maafkanlah saya...

Posting kali ini sebenarnya agak sukar untuk saya menjelaskan semuanya. Elok jika saya tidak menyatakan secara langsung, namun cukuplah di sini untuk saya juga mengambil teladan.

Memang sukar untuk memaafkan untuk kesilapan berulang-ulang, dari insan yang sama. Apatah lagi apabila kesilapannya merupakan bentuk sesuatu yang tidak sukar untuk diperbaiki, namun atas nama keegoan syaitan agaknya..ia terus menyerlah. Sehingga terus terusan menepis nilai kehormatan saya sebagai insan.

Syaitan akan terus memarakkan api dendam dan permusuhan. Syaitan juga mencari peluang meremuk redamkan persahabatn, kebaikan mahupun nilai-nilai yang merupakan penghargaan terbaik untuk seorang insan.

Saya sudah memaafkannya. Jauh lebih lama dari panggilan yang tidak saya duga itu menjengah kesunyian papan kekunci yang rancak saya gunakan buat menulis berkongsi ilmu.

Detik memaafkannya secara total itu adalah  antara detik paling hebat apabila saya lurutkan semuanya, kerana saya hanya berniat untuk kembali ke sisi Allah sebelum perjalanan mengembara beribadah menunaikan haji serta melupakan segala kesilapan demi kesilapan yang pernah saya lakukan.

Lantas, saya tidak mahu mengulangi kesilapan saya terhadap'nya'. Saya tidak mahu lagi andai ada kata-katanya yang bakal datang untuk menyalakan semula dendam dan kemarahan yang telah lama saya padam.

Namun, kala ini saya hanya mampu memilih komunikasi sehala. Jangan berkecil hati andai laluan secara langsung melalui panggilan telefon dan komunikasi internet itu tidak berjawab; atau bicara yang saya balas dengan diam atau senyuman....

Saya tidak memerlukannya dalam persahabatan di dunia ini, saya juga tidak memerlukannya dalam kehidupan saya yang sementara ini. Namun, pintu-pintu kebaikan untuk saya kongsikan kebaikan dengannya terus saya buka. Moga Allah mengampunkannya dan mengampunkan saya.


Thursday, July 14, 2016

Kita semua perlu faham dan amalkan alquran...

Ramadhan baru saja berlalu. Sejauh mana pengisiannya...hanya diri masing-masing yang dapat menjawabnya. Dan Allah SWT jua yang Maha Mengetahui nilai amalan yang merupakan pengisian ramadhan itu merupakan amalan yang diredhaiNya atau sekadar berterbangan sia-sia...

Sejak akhir-akhir ini...saya banyak memikirkan komitmen kehidupan dengan pemahaman isi alquran. Betapa kurikulum kita, jauh dari seimbang dalam melestarikan isi-isi alquran itu dalam konteks kebijaksanaan ilmu serta isi-isi penting untuk dihayati dalam kehidupan.

Sering saya bertanya..bagaimana mungkin para sarjana masih tersasul memilih jalan rasuah atau penyelewengan dalam penerbitan bahan ilmiah; atau juga di kalangan mereka yang tahap pendidikannya begitu tinggi , namun akhlak dan amalan tersasar jauh dari menepati apa yang sepatutnya.

Kita hanya ada dua pilihan; untuk kembali pada apa yang Allah perintahkan atau sukahati memilih jalan sendiri. Demikianlah...saya akhirnya beroleh jawapan pada persoalan-persoalan yang menyendat perasaan. Ilmu tanpa iman...tersadai dalam satah tidak bermakna, dan sia-sia.

Sempat juga saya membelek teks bahasa arab persekolahan...hati saya dirundung duka lantaran menyedari bahawa sebahagian anak-anak pelajar hari ini hanya mempelajari bahasa itu untuk lulus periksa. Yang akhirnya tidak ke mana.

Teks bahasa arab itu tidak memampukan mereka memahami teks alquran, hadith mahupun teks-teks agama penting di dalam bahasa arab.

Ya..tugas kita juga untuk melestarikannya. Moga ada jalan yang dimudahkan Allah untuk diperbetulkan itu semua.

Mencari jalan pulang...

Pada usia-usia yang bukan lagi remaja mahupun popular dan glamour...kita mengharung pelbagai persoalan, penafian dan keinginan untuk kekal dalam apa yang kita nampak sebagai kehidupan.

Kita arif pada situasi itu yang sementara semuanya. Tidak ada di sisi kita yang kekal; tidak ada pula yang padanya dapat kita 'gendong' selama-lamanya.

Kita sebenarnya menuju jalan pulang. Kembali ke sisi Tuhan yang Maha Menciptakan. Lalu, mengapa perlu lari dari realiti. Mengapa kita terus bercakap atau bersenda tentang sesuatu yang tiada nilai dalam memberikan konstruk dalam sebuah penghidupan yang bermakna.

Jalan pulang yang bagaimana hendak kita pilih. Jalan yang terus mengingatkan kita tentang semalam yang telah berlalu...atau jalan yang penuh kesusahan namun membawa kita kembali pada realiti yang disebut dalam Quran.

Kembali menjadi muslim yang beramal sebagai muslim, bukanlah kembara yang mudah dan dilihat sebagai membahagiakan. Sudah tentu, saduran demi saduran untuk menampakkan muslim itu sebagai sesuatu yang indah terus dicelup dengan nilai sekular dan bentuk-bentuk budaya mahupun campuran dari amalan agama yang lain terus berlaku. Tanpa kekangan dari kebijaksanaan ilmu dan kekuatan iman, kesemuanya dilihat sebagai ok...walaupun pada hakikatnya ia TIDAK OK.

Saya kongsikan dalam catatan seterusnya, bahawa mencari jalan pulang bukanlah kembara penuh nostalgia ataupun seperti aura 'bercuti' yang menjadi idaman kebanyakan orang. Kembara ini memerlukan jiwa munib yang sentiasa merendah diri dan bertaubat; sentiasa memohon hidayah dan taufik untuk kekal di jalan yang benar.

Langkah pertamanya...carilah peluang dan masa untuk mempelajari bahasa arab. Bahasa arab yang memudahkan kefahaman kita terhadap alquran serta teks-teks yang membawa kita pada dunia muslim yang sebenarnya..