Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Saturday, March 28, 2015

Kembara waktu mencari "Rahsia susunan surah dalam Al quran"

Kenangan tatkala memberikan jawapan 'merapu' apabila ditanya Ustaz mengapa kedudukan surah seperti yang kita dapati dalam mushaf Al quran, masih segar dalam ingatan. Tinggal lagi butir jawapan yang saya berikan tidak begitu saya ingati…hanya kerut wajah Ustaz dan bicaranya lebih kurang maksudnya, "Susunan itu ditetapkan oleh Allah SWT dan disampaikan melalui Jibrail a.s., setiap ramadhan Jibrail datang menemui Nabi SAW untuk menyemak isi-isi bacaan Alquran oleh Nabi Muhammad SAW supaya menurut seperti yang ditetapkan Allah SWT"

Saat itu hampir 30 tahun yang lalu. Ada juga dalam kuliah-kuliah atau catitan dalam buku yang sempat saya jengah, berkongsikan tentang aspek 'teknikal' tertentu mengenai susunan surah di dalam alquran.

Di dalam hati, saya berharap…satu hari nanti saya diberikan peluang untuk memahami hakikat itu dengan perincian yang benar dan tepat.

Apabila yang tersayang menghantarkan email untuk saya menyertai kelas on line Secret of chronological order of quran menggantikan Seminar lain yang ingin saya hadiri.. hati saya berbaur; sedikit kecewa namun agak teruja. Namun di hati, saya masih tidak  pasti sama ada mampu menghadirkan diri dan hati dalam waktu yang agak 'remote' untuk mendengar kuliah-kuliah berkaitan melalui rangkaian internet. Pengalaman hadir kuliah online pada waktu dinihari sangat berat, apatah lagi jika ianya merupakan hari bekerja.

Hari demi hari berlalu. Saya masih tidak tahu keputusan akhirnya. Hampir sahaja saya lupakan kerana request saya masih tidak dijawab. Beberapa hari berlalu, masih tidak pasti email saya sebelum itu dijawab atau tidak. Cara pembayaran kursus online pula tidak seperti yang biasa lakukan. Saya decide untuk terus menunggu. Email maklumbalas sampai ke inbox. saya diberi 3 hari untuk mengesahkan penyertaan. Entah kenapa saya masih terus berlengah. Tidak menjawab. Tiada keputusan.

Pagi yang tenang…saya terima lagi email. Pendaftaran ditutup dalam tempoh beberapa jam lagi. Subhanallah…di kala itu saya rasai kasih sayang Allah terhadap saya. Dalam keadaan jiwa yang tidak tentu…saya akhirnya membulatkan tekad dengan izinNya memilih untuk mendaftar. Dalam satu zon waktu yang saya sendiri tidak pasti masih diterima atau sebaliknya.

Saya antara yang dipilih Allah hadir dalam kursus yang tidak pernah saya ketahui wujudnya sebelum ini. Doa saya berpuluh tahun yang lalu…diizinkan Allah menjadi kenyataan…di luar pemikiran dan telahan. Alhamdulillah...


Sunday, March 22, 2015

Tentang surah Al Baqarah (Sbhg dari catatan nota dari kuliah Story Night- Fallen oleh Ustaz Nouman AK)

Surah Al Baqarah merupakan surah yang paling panjang iaitu 286 ayat. 

Terdapat 9 bahagian penting dalam Surah ini; susunannya yang sangat cantik  serta membuktikan Al Quran sebagai mukjizat Allah SWT.

Bahagian pertama: Penjelasan Allah SWT mengenai ciri mukminin, kafirin dan mereka yang munafiq.

Bahagian kedua : Kisah penciptaan Nabi Adam a.s. Intipati asas kesilapan Nabi Adam a.s ialah terpedaya kepada iblis untuk terus kekal di dalam syurga lalu baginda melanggar perintah Allah SWT. Keadaan yang merupai sifat TAMAK. Ustaz NAK mengubungkaitkan persaan tamakkan sesuatu untuk kekal dalam sesuatu kedudukan seperti di dalam surah Al Humazah yang maksudnya ‘“Apakah mereka mengira bahawa harta benda mereka membolehkan mereka hidup kekal abadi?”

Bahagian ketiga: Bahagian paling panjang iaitu kisah Bani Israel. Syariat yang diturunkan kepada Bani Israel.

Bahagian keempat: Kisah nabi Ibrahim a.s; pelbagai ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s serta baginda berjaya mengatasi ujian-ujian berkenaan.

Bahagian ke lima (pertengahan): Kisah pertukaran kiblat; dan kedudukan ayat mengeani umatan wasatan (umat pertengahan) di dalam ayat ke 143 (betul-betul di tengah surah Al Baqarah)

Bahagian Ke enam: Ujian-ujian buat kita sebagai Umat Nabi Muhammad SAW.

Bahagian ke tujuh: Syariat-syariat yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas kita muslim Umat Nabi Muhammad SAW.

Bahagian ke lapan: Penjelasan Allah cara bagaimana menginfaq sebaik-baiknya di jalan Allah buat mengatasi tamak dan menghindari mengikut langkah/ bisikan syaitan.

Bahagian ke sembilan : Doa memohon perlindungan Allah untuk dipelihara dari menjadi munafiq, kafir serta memohon pertolongan Allah terhadap orang-orang kafir.


Keseluruhan dari bahagian ayat-ayat Al Quran menerusi segmen yang dibahagikan kepada isi-isi dalam sembilan bahagian adalah merupakan isi kandungan yang berkorelasi antara satu sama lain menurut hubungan simetri iaitu imej cermin dari segi siri kedudukannya, yang mana kandungan bahagian ke lima menjadi titik pembahagi dalam keseluruhan isi surah berkenaan.


Bahagian pertama berkorelasi dengan bahagian sembilan: Penjelasan Allah SWT mengenai ciri mukmin dalam 5 ayat pertama, diikuti dengan dua ayat mengenai ciri kafirin diikuti dengan penjelasan panjang lebar ciri-ciri munafik. Penutup surah ini merupakan doa yang memohon agar Allah tidak menghinakan dan menghukum kita andai kita terlupa atau tersilap; memohon dilindungi Allah dari munafiq dan kafirin.

Bahagian dua berkorelasi dengan bahagian lapan: Pengkisahan yang mempunyai iktibar sifat tamak akibat hasutan iblis untuk kekal di syurga dalam sejarah penciptaan Nabi Adam as dengan isi bahagian ke lapan iaitu nasihat Allah SWT bagaimana membelanjakan harta sebaik-baiknya di jalan Allah SWT. Uniknya juga dalam bahagian tersebut Allah highlight kan tentang peranan syaitan iaitu dalam ayat 168 yang menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan dan menyurh manusia berbuat fahsya’ (keji - tidak tahu malu). Firman Allah maksudnya, “ Syaitan menjanjikan kemiskinan kepadamu dan menyuruhmu berbuat fahsya’ (keji) sedangkan Allah menjanjikan ampunan dan kurniaNya kepadamu. Dan Allah Maha Meliputi  Maha Mengetahui”.

Bahagian tiga berkorelasi dengan bahagian ke tujuh: Bahagian ke tiga merupakan kisah Bani Israel serta syariat yang telah diturunkan untuk mereka manakala bahagian ke tujuh adalah siri syariat yang diturunkan kepada kita, Umat Nabi Muhammad SAW iaitu solat, puasa, haji, zakat.

Bahagian empat pula berkorelasi dengan bahagian ke enam: Bahagian ke empat mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s diuji; bahagian ke enam merupakan bimbingan dari Allah untuk kita muslim dalam menghadapi ujian-ujian dari Allah SWT.


Paling menakjubkan kandungan surah ini adalah isi pertengahannya: Perubahan kiblat dari Masjidil aqsa ke masjidil haram. Dan kandungan ayat mengenai penjelasan umat pertengahan (umatan wasatan) yang betul-betul berada di tengah-tengah surah ini iaitu ayat ke 146.

SubhanalLah...

Tuesday, March 17, 2015

Monolog tentang seorang kawan..

Siapakah insan yang kita namakan kawan?

Siapa pula kawan yang baik?

Bagaimana pula kawan yang tidak ada kategorinya... mungkin bukan kawan yang baik tetapi cukup untuk berbicara atau berkongsi cerita secara mendatar intonasinya.

Puluhan tahun sebenarnya, apabila saya memikirkan kembali strata yang bernama kawan. Setiap insan yang kita temui dalam segenap peringkat kehidupan; baik secara nyata mahupun sebagai teman di dalam dunia maya. kategorinya masih serupa, tinggal lagi penampilan serta perwatakan komunikasi mungkin agak jauh berbeza.

Seorang kawan sejati dianggap sebagai penyubur motivasi, di bahunya kita sandarkan cerita sedih dan duka; atau di laman waktunya kita bergurau dalam senda dan tawa. Adakala pelbagai cerita dikongsi bersama, semuanya dalam konteks mengharap agar apa yang diluahkan menjadi pengikat buat menjadikan hubungan menjadi erat.

Namun adakala juga, ada kata-kata sinis menjadi gurauan, atau label-label zaman remaja terus diperlekeh untuk diketawa, atau juga cerita-cerita kebanggaan untuk dikongsi menyebar ceria. Tidak kurang bahasa tidak berlapik melontarkan kisah yang sepatutnya ditutup dalam tirai hijab atau kisah-kisah tidak sesuai didendang namun dikompang penuh berkemundang. Ada pula kawan yang hanya mencari kawan apabila dirinya susah dirundung kedukaan, tidak kurang yang menjadi seperti jerung yang memakan kawan.

Nasihat Rasulullah SAW...antara maksudnya iaitu ..”Antara baiknya tanda keislaman seseorang ialah meninggalkan apa-apa yang tidak berkaitan dengannya”. Kita juga diingatkan tentang ciri mereka yang diiktiraf BERJAYA di sisi Allah iaitu meninggalkan amalan yang tidak bermanfaat baginya (ayat 3 Surah Al Mukminun).

Getaran dari ayat-ayat Surah Al Furqan yang saya dengar berulang-ulang, mendefinisikan semula apa yang sebenarnya dimaksudkan sebagai seorang kawan.

Dan ingatlah pada hari orang-orang yang zalim menggigit kedua jarinya (menyesali perbuatannnya) seraya berkata,”Aduhai andai dahulu aku mengambil jalan bersama Rasul”

“Aduhai celakanya aku, andai dahulu aku tidak menjadikan fulan itu sebagai kawan akrabku”
“Sungguh dia telah menyesatkan aku dari peringatan (Alquran ini) tatkala peringatan itu datang kepadaku”
(Maksud ayat 27-29 Surah Al Furqan)

Seorang kawan sejati adalah kawan baik yang mengajak kita bersama di atas jalan Rasul; kawan yang mengingatkan kita tentang Al Quran; kawan yang tidak menyesatkan kita dari Al Quran...

Betul...hati saya sedih. Sedih tatkala mengenang pada usia begini, banyak lagi yang perlu dipelajari; juga banyak perkara-perkara yang masih tidak mampu saya tangani.

Dalam hati, saya kekal sayang pada semua kawan-kawan yang tidak pernah berubah sayang dan penampilannya terhadap saya. Jauh di sudut hati, saya abadikan semua kebaikan mereka dalam doa-doa yang saya hadirkan pada ruang kehidupan yang terluang. Biarpun saya kalah dalam meneruskan ketabahan menghadapi dunia komunikasi yang tidak lagi setara frekuensinya, namun dengan izin Allah moga saya tidak kalah untuk saling mendoakan mereka-mereka yang pernah hadir di hati saya sebagai  seorang ‘kawan’...