Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Friday, August 19, 2011

Memanfaatkan 10 Ramadhan terakhir...

Rahmah dan kasih sayang Allah utk kita semua nyatanya sangat luas dan tidak terbatas. Kehadiran 10 ramadhan terakhir yg kita nanti-nantikan, moga dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Jika dalam usia-usia sebelum ini saya manfaatkan akhir ramadhan utk berkira-kira menyediakan persiapan serta menghitung hari menjelangnya Aidilfitri, namun selepas memahami 'berharga'nya 10 Ramadhan terakhir dalam kehidupan sebagai muslim..saya berdoa moga Allah izin utk saya dapat memanfaatkannya dengan kesungguhan ibadat serta menjauhkan perkara-perkara yang melalaikan. Pertama kali dalam sejarah, saya mengambil cuti panjang sempena 10 Ramadhan terakhir (walaupun saya hampir terlupa sebenarnya ada tugasan yang perlu diselesaikan)...

Moga fokus beribadah kita ini, diskopkan perspektifnya terhadap diri kita sendiri. pandanglah pada hati dan diri...sejauh mana kesungguhan amalan kita ini dibina dan dilakukan atas rasa taqwa dan ikhlas...semata-mata mengharap keredhaan dan 'pandangan' Allah semata-mata.

Pembacaan Al Quran yang berulang-ulang benar-benar memberikan kesan pada jiwa...apatah lagi apabila ianya dilakukan dengan menterjemah dan men'internalisikan' dengan kehidupan. Bagi saya, itulah yang lebih utama untuk kita dahulukan dalam kehidupan dalam ramadhan ini dari kita berkejar untuk turut serta dengan majlis khatam quran. Jujurnya...saya tidak faham mengapa majlis khatam quran perlu diadakan...apakah rasional majlis itu dan di mana teladan sunnah yang memberi petunjuk untuk ianya diadakan...?

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW dahulu menghabiskan waktu seminggu untuk mengkhatamkan Quran yang mana ia kemudiannya diulang-ulang semula seterusnya..tanpa majlis khas berkhatam... sedangkan saya pula terkial-kial untuk cuba menghabiskannya dalam tempoh berbulan.

Wednesday, August 10, 2011

Tentang Juadah Berbuka

Saya adalah antara ibu-ibu bekerja yang saban hari bergelut berkejar pulang ke rumah untuk menyediakan keperluan apabila tamat waktu bekerja. Pada bulan Ramadhan ini pula, keperluan menyediakan juadah berbuka dan bersahur merupakan antara keutamaan yang perlu didahulukan. Dengan anak-anak yang turut berpuasa serta mereka pula menghadapi peperiksaan...

Apabila saya membaca post di FB yang memberikan pelbagai respon mengenai kualiti makanan di Bazar Ramadan...saya tidak berapa ambil berat kerana agak bertahun juga saya tidak mengunjungi Bazar ramadhan.Sejak pengalaman saya merantau dahulu menyaksikan betapa penyediaan makanan yang dijual di Bazar ramadhan disediakan seawal selepas bersahur...serta menyaksikan pelbagai teknik/ taktik yang tidak higenik dalam penyediaan makanan, saya memang tidak lagi memberi tumpuan ke Bazar Ramadhan ..apatah lagi harganya dikatakan melambung-lambung.

Jikapun pergi, langkah saya hanya tertumpu pada gerai yang dikendalikan oleh peniaga yang pada pengetahuan saya merupakan pengedali makanan yang 'ori'. Sehinggalah kes kematian yang dicatatkan di Meru semalam akibat keracunan makanan yang dikatakan berpunca dari makanan di Bazar Ramadhan...saya turut berdukacita atas kejadian berkenaan.

Fokus saya di sini ialah untuk berkongsi penyediaan juadah berbuka yang mudah disediakan yang mana ia lebih bersih, berkualiti dan sesuai dengan citarasa yang kita mahukan. Antara tips berkenaan:

1. Belilah lauk yang sedia di masak di restoren yang sudah kita yakin kualiti penyediaan makanannya; bila sampai di rumah..masakkan nasi sahaja serta hidangan kurma.
Jika teringin menjamah kuih muih, belilah di warung/kedai yang memang biasa kita membelinya pada waktu sarapan pagi.

2. Sesekali..sediakan nasi goreng atau mee hoon goreng atau mee goreng sebagai ganti juadah utama. Penyediaannya, tak sampai setengah jam.

3. Paling mudah...sesekali masakkan laksa. Penyediaan kuah sangat mudah dengan merebus ikan terlebih dahulu, diblend bersama ramuan serta seterusnya direbus. Sayur mayur adalah option, sediakan mana yg dirasakan mudah. Anak-anak biasanya memilih untuk makan sayur-mayur.

4. Cubalah spaghetti dengan kuah yang siap dibotolkan...masakkan kuahnya dengan ramuan tambahan seperti ayam/ daging/ bawang. Sediakan keju parmesan jika ada. Penyediaannya juga kurang setengah jam.

5. Roti piza, roti telor, roti john adalah juga juadah yang sangat mudah disediakan. Boleh digilirkan dengan hidangan yang lain terutama waktu sahur.

6. Belilah periuk bertekanan tinggi jika suka menghirup sup (saya biasanya beli sahaja di Restoren Kusuma..:)

7. Nasi arab/ beriyani...mudah diperolehi di restoren2 utama.

Oleh itu kesimpulannya... ibu-ibu bekerja insyaAllah mampu menyediakan juadah seadanya. Tak perlu bergantung pada bazar ramadhan... Namun, tiada siapa yang mampu menolak kekangan masa...yang kadang-kadang memudarkan harapan kita untuk beriya-iya menyediakan juadah yang diinginkan.

Wednesday, August 3, 2011

Tentang UKHUWAH

Ukhuwah didefinisikan sebagai saudara 'seibu sebapa' yang diikat oleh keterikatan aqidah. Ia mengikat kemuliaan kasih sayang, mengutamakan individu yang diiktiraf sebagai saudara seikhwah, keperluan utk kita pertahankan jiwa, nama dan maruahnya serta menutup keaifannya.

Saya mengenal erti dan terjemahan ukhuwah seawal usia 15 tahun. Ada antara ukhuwah yang pernah mengikat sanubari demi menyahut intisari da'wah dan amalan muslim itu berkekalan hingga ke saat ini meski sebahagiannya kini hanyalah kenangan yang mengujakan. 
Ada insan yang saya kembali temuinya, sama-sama mengikat kembali hubungan yang pernah terputus akibat logistik masa, ruang dan peluang. Ada juga yang baru saya kenali... pada hatinya saya berkongsi segenap rasa yang pernah saya lalui dalam medan da'wah ini.

Namun, pengalaman saya mengajar untuk berhati-hati dengan sesiapa juga serta tidak menaruh expectation yg terlalu tinggi. Meski paranoid atau berburuk sangka itu sama sekali tidak dibenarkan, namun tidak salah untuk kita berhati-hati dalam apa jua yang kita lakukan. 
Saya beberapa kali pernah terduduk kecewa dengan hasilan masalah dari konflik yang tidak diduga, akibat menaruh harapan kethiqahan (trust) dari satu lafaz yang disebut ukhuwah. Ya.. nyatanya manusia sebahagiannya begitu kompleks pendekatan dan tafsirannya. Kita ini tidak pernah sama dalam meluahkan citarasa, apatah lagi tatkala khilaf diharuk was-was syaitan lalu cemburu, irihati dan dendam.
Ukhuwah terbina atas naluri ikhlas dan tidak mengharap balas dan belas. Bukan lakonan, paksaan atau disandarkan pada 'udang sebalik batu'. Sesungguhnya saya mengharap dan rindu pada ukhuwah yang bersih dan mulia serta ikhlas kerana Allah. 
Atas keterikatan itu, saya yakin tidak didiskriminasikan ... baik pada lafaz salam, bicara yang dikongsi mahupun pada doa dan juga senyuman. Moga Allah terus melimpahkan rahmatNya untuk kita mengikhlaskan diri dalam menterjemahkan ukhuwah dalam kehidupan...

Monday, August 1, 2011

Mengisi Ramadhan...

Alhamdulillah...tiba semula ramadhan dengan izin Allah utk kita yang masih diizinkanNya bernafas.

Antara tazkirah yang saya dengar sebelum ini mengenai Ramadhan ialah, ramadhan sebenarnya bulan 'mendidik' iaitu untuk kita bawa syu'urnya sepanjang tahun. Jika mampu baca dan khatamkan quran..ia juga perlu berterusan, malah diperdalamkan dengan ilmu dan kebaikan-kebaikan di jalan da'wah.

Kita juga disyorkan untuk terus menambah kebaikan. Dalam hadith yang bermaksud ...jangan sesekali diremehkan kebaikan, kerana kita tidak tahu kebaikan yang mana bakal diizinkan Allah membawa kita ke syurga.

Nyatanya...satu pertarungan hebat yang mega untuk saya terus lalui... mengekalkan fokus dalam solat dan tadarus serta menghalang diri dan hati utk terheret dengan dosa-dosa lidah sesama insan.