Jujurnya, saya penat bila mendengar pelbagai definisi tentang kejayaan. Apatah lagi bila seruan haiya 'alal falah (marilah kita merebut kejayaan) di dalam azan ditafsirkan oleh sebahagian pihak merujuk kepada definisi sebuah negara Islam yang berjaya iaitu mencapai negara maju.
Biarlah apa jua definisinya....namun secara umum, kejayaan sering diproksikan dengan nilai-nilai material dan falsafah yang menjadi imej kebanggaan dalam hidup seseorang. Itulah juga kehebatan yang dipandang, keunikan yang menjadi sebutan, serta status yang membezakan sesama insan dalam kehidupan kita yang sementara di dunia. Kejayaan dalam rantau geografi bersempadankan politik pula, didefinisikan melalui falsafah MAJU dan juga kemakmuran yang dinikmati oleh penghuni di dalamnya.
Mudah pula jika kita definisikan berjaya dan gagal dalam suatu peperiksaan akademik; atau juga keperluan penganugerahan sijil-sijil akademik.
Dalam arena politik pula, kejayaan dalam sesuatu pilihanraya atau pertandingan/ pemilihan dijadikan medan pertarungan dan perjuangan yang terus 'mengapi-apikan' emosi... sedangkan kejayaan itu hanya bertahan dalam tempoh tertentu serta tidak kekal sifatnya. Saya begitu berat menerima kegembiraan yang diraikan dalam pilihanraya apabila saya menyedari bahawa pengisian dan mendidik setiap hati mengisi erti kejayaan yang diredhai di sisi Allah merupakan siri mujahadah yang lebih mencabar dan konsisten sifatnya.
Di sisi Allah pula...bagaimana sebenarnya kejayaan yang perlu kita sama-sama usahakan? Sebelum saya mengenal hakikat keimanan dan hubungan antara kehidupan dengan akidah tauhid; skop pandangan saya sering terbatas pada nilai-nilai keduniaan yang menjadi rebutan. Kagumnya saya apabila dihadapkan dengan resepi kejayaan hebat manusia yang mampu mencipta jutaan ringgit dan siri kemewahan mahupun gedung kekayaan dan pengiktirafan. Sehinggalah Allah izin saya diperingatkan tentang kilauan perak tiruan berbanding nilai emas tulen...
Perak Tiruan dan Emas Tulen....Itulah yang menjadi perumpamaan kehidupan dunia dan balasan sebenar di akhirat. Lalu...insan 'alim berkenaan bertanya, apakah yang bakal kita pilih?? Katanya, selagi ada hayat dan usia diizinkan Allah untuk beramal, berusahalah untuk mendapatkan emas tulen (balasan hakiki di akhirat)...bukan berlumba-lumba berhambatan merebut jongkong perak tiruan (terpedaya dengan kehidupan dunia yang sedikit dan langsung tidak dipandang di sisi Allah SWT).
Di dalam surah As Sajdah di dalam ayat yang ke 28 dan 29, Allah telah mengingatkan tentang definisi kejayaan yang sebenarnya. "Dan mereka bertanya, bilakah kamu akan menang (berjaya) jika kamu orang yang benar. Katakanlah, kejayaan itu adalah pada hari dimana iman seorang yang kafir itu tidak lagi berguna (sia-sia)"... Lantas, kejayaan abadi tidak PERNAH ada di 'sini'.....
No comments:
Post a Comment