Siapakah individu yang diiktiraf amalannya merupakan amalan yang baik? Norma masyarakat sekeliling mempunyai sandaran nilai dalam memperakukan sesuatu kebaikan atau keburukan itu terhadap prinsip budaya mahupun kepercayaan mereka terhadap sesuatu falsafah. Secara rentas umumnya, hampir kesemua masyarakat di dunia ini memegang nilai-nilai yang menjurus kepada kebaikan sejagat.
Apabila saya berbincang dengan nilai kebaikan ini dalam salah satu sessi pembelajaran rasmi, seorang pelajar saya mengatakan..' Dr., actually whole religions in this world preach us to do all good things but they themselves opt for the deviant one'.. Saya mengucapkan alhamdulillah, mereka pada usia sedemikian mampu menilai kebaikan dan kemudharatan berdasarkan skop yang lebh luas serta tidak terkongkong dengan sesuatu prinsip...cumanya dalam konteks amalan sebagai muslim, dasar itu sebenarnya memerlukan penelitian dan penghuraian yg lebih mendalam.
Saya pada usia mereka dahulu, sering juga tersilap dalam menentukan nilaian yang terbaik...sehingga tersilap pula memberikan sesuatu 'hukuman' apabila berhadapan dengan sesuatu penampilan luaran seseorang. Terkadang, saya terikut-ikut pula dengan rhetorik yang memandang remeh pada orang lain sehingga tidak mempunyai belas untuk mengiktirafnya sebagai juga manusia yang sama-sama berusaha ke arah kebaikan.
Pernah saya singgah di masjid HKL untuk menunaikan solat asar pada satu petang...saya tergamam seketika apabila mememerhati seorang yang mempunyai status dan nama tetapi penampilan luaran yang tidak lazim untuk mereka yang ke masjid....beliau tidak bertudung atau memakai pakaian labuh ...sekadar pakaian rasmi biasa yang biasa kita saksikan. Saya begitu tergamam kerana...beliau bersungguh-sungguh mengejar 'masa' untuk solat bersama imam dengan penuh usaha tanpa mempedulikan sesiapa yang disekelilingnya yang masih 'galak' berborak.
Pernah juga saya diceritakan tentang pasangan kekasih yang penampilannya juga seperti yang biasa disaksikan majoriti kita... pemudanya berseluar jeans dan tshirt manakala pasangannya juga sedemikian tanpa tudung yang menutup kepala..; namun mereka itu pada satu waktu maghrib...'bertawaf' di sebuah stesen minyak beberapa kali dan dalam keadaan yang bersungguh-sungguh mencari surau untuk menunaikan solat pada waktu itu.
Pada ketika yang lain...seorang sahabat saya diherdik dari turut menyertai saf paling hadapan di sebuah surau untuk berjemaah dengan alasan penampilannya tidak mencapai 'maqam' sepertimana majoriti jemaah di situ. Dan banyak juga kehadiran saya dalam majlis perkumpulan tertentu....namun senyum dan salam mereka terhadap saya tidak 'semurni' dengan ahli-ahli jemaah yang sama kumpulan dengan mereka.
Sehinggalah pada satu majlis ilmu yang saya hadiri, yang memperjelaskan bahawa tanggungjawab kita hanyalah beramal dengan amalan yang terbaik. Amalan berkenaan...bukan sahaja amalan kita dalam tujuan beribadat mendekatkan diri kepada Tuhan yang Maha Pengasih tetapi juga untuk berurusan sesama insan.
Mereka yang terbaik amalannya bukanlah manusia yang mencari salah orang lain lalu memberi hukuman 'sekian, sekian...' atau manusia yang mengaku dirinya baik dan bagus, lalu meminta orang lain menyokongnya untuk dijadikan pemimpin. Mereka yang terbaik amalannya juga bukanlah sekadar penampilannya yang 'elitus' dan ber'status' sebagai mereka yang dilihat sebagai insan yang lebih 'beragama'.
Seseorang yang masuk syurga di akhirat nanti adalah mereka yang berat timbangan amalan (amal baik yang diredhai Allah)...manakala mereka yang ringan amalan kebaikan menerima pembalasan sebaliknya (Rujuk Surah Al Qari'ah). Amalan yang terbaik pula adalah amalan yang ikhlas (bersih dari mensyirikkan Allah) dan mengikut jejak dan teladan Rasulullah SAW serta para sahabat (mengikut sunnah dan meninggalkan perkara yang tidak pernah diajar baginda Nabi Muhammad SAW).
Siapakah pula yang akan menentukan seseorang itu berat amalan dan benar-benar mengikut teladan Nabi?? Bukankah itu milik Allah Tuhan yang Maha Berkuasa.... BUKAN rhetorik milik manusia..
No comments:
Post a Comment