Derma atau sumbangan bagi membantu yang memerlukan merupakan amalan yang sangat digalakkan dalam Islam. Banyak ayat-ayat alquran dan hadith yang menggalakkan kita berbuat demikian. Meskipun demikian, dalam konteks hari ini kita berhadapan dengan begitu ramai yang meminta sumbangan dan derma terutama yang meminta wang tunai atau sumbangan melalui penjualan item atau barangan tertentu...sehingga kadang-kadang timbul rasa tidak selesa serta ketidakpastian tentang benarkah mereka itu memerlukan derma atau sekadar manipulasi di atas kebaikan orang lain?
Di sini saya ingin kongsikan sedikit saranan oleh seorang ilmuan dalam bidang agama ini cara bagaimana kita harus memanfaatkan ibadah bersedekah atau berderma ini.
1. Jika ada yang datang meminta wang atau merayu sumbangan secara tunai untuk menampung kehidupan...dicadangkan untuk membawanya ke kedai makan serta membayar makanan yang diperlukan olehnya pada masa itu. Disamping itu, jika berkesempatan berilah nasihat yang baik cara bagaimana beliau dapat mengatasi masalah kesusahannya.
2. Jika mereka tidak mahu makanan, masih juga merayu bantuan kewangan; berikan syarat seperti mereka perlu mendengar tazkirah atau kebaikan yang bakal kita sampaikan mengenai apa sahaja topik mengenai Islam dengan harapan agar kita yang menyampai dan peminta derma yang mendengar beroleh kebaikan dengan izin Allah...selepas beliau mendengar barulah kita berikan sejumlah wang yang dijanjikan.
3. Jika ada yang datang sebagai wakil persatuan atau organisasi; digalakkan agar kita menghantar wang sendiri ke organisasi melalui pos atau pemindahan bank dengan disertai surat iringan melalui pos biasa atau email atau sms atau apa sahaja kepada organisasi tersebut dengan memberi penghargaan kepada wakil organisasi yang telah datang menemui kita memohon derma.
Secara peribadi, saya berpendapat saranan ini agak praktikal...cumanya saya gusar sedikit dengan peningkatan lelaki asing yang sasa tubuhnya (masih boleh bekerja) kian ramai yang datang memungut derma dari wanita-wanita tempatan....Dalam konteks ini,jika saya bersama keluarga, saya akan menyerahkan kepada suami saya untuk menguruskan isu tersebut namun apabila bersendirian saya cenderung untuk memilih berdiam diri.
No comments:
Post a Comment