"Ini bukan mengumpat tau...ini I cakap yang betul....."; satu dialog yang biasa kita dengar apabila ada perbualan yang menceritakan tentang keaifan seseorang.
Ataupun...dah memang betul 'style' dia macam tu...bla...bla... ; dan ada lagi sambungan luahan perasaan, ditambah pula perisa dan sos tambahan.
Apapun, dalam catatan kali ini saya ingin berkongsi tentang fakta yang selama ini memang saya abaikan. Satu majlis tazkirah yang sempat saya hadiri baru-baru ini Allah izin menyebabkan saya terkesan dengan pelbagai komplikasi akibat mengumpat.
Dalam banyak situasi, saya mengambil alasan untuk meredakan tekanan perasaan apabila menghamburkan ketidakpuasan hati atau geram/ marah/ kecewa atas tindak tanduk seseorang; apatah lagi apabila ianya memberikan kesan kepada organisasi atau menyusahkan individu lain. Ia nya kadang-kadang menjadi seperti makanan ruji (staple food) dalam rutin sehari-hari apabila berhadapan dengan kerenah individu lain yang tidak disangka-sangka apatah lagi tindakan itu menjejaskan fungsi atau peranan yang disampaikan.
Sebenarnya...mengumpat tidak mengubah keadaan tekanan/ kemarahan/ kegeraman yang kita alami...pada pengalaman saya ia sebenarnya menyebabkan idea kemarahan atau tekanan itu digandakan malah diperkuatkan melalui kata-kata atau ucapan yang kita tuturkan. Biasanya...perbualan mengumpat ini berulang-ulang nadanya, kadang-kadang menuturkan subjek/ perkara yang sama. Ia juga tidak memberikan apa-apa penyelesaian, masalah sebenar masih berada di tempatnya....
Mengumpat memarakkan lagi api kebencian, melebarkan perhubungan serta membuka perasaan memusuhi antara satu sama lain. Satu kontradiksi terhadap amalan persaudaraan dan persahabatan yang dianjurkan dalam cara hidup sebagai muslim.
Mengumpat merakuskan lagi kesombongan...apabila si pengumpat (berdasarkan pengalaman saya sendiri) biasanya merasakan dirinya lebih baik berbanding dengan insan yang diumpat; dan apabila si pengumpat memandang rendah pada insan yang diumpatnya...
Mengumpat menyebabkan sebahagian pahala kita terhapus kerana perlu membayar hutang dosa terhadap orang yang kita umpat...jika amalan itu dibiarkan menyebabkan seseorang itu muflis ketika di akhirat.
Sama-sama kita mohon kekuatan dari Allah membantu diri kita menjauhkan diri dan mengekang keinginan untuk mengumpat...bantulah kami ya Allah.
No comments:
Post a Comment