Soalan peperiksaan merupakan satu dari alat/ instrumen yang digunakan untuk mengukur prestasi sama ada seseorang pelajar itu sudah menguasai (competent) sesuatu subjek; ianya memberi gambaran kepada pembahagian prestasi pelajar kepada cemerlang, sederhana dan gagal (bergantung pula pada gred yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Peperiksaan).
Jika ramai pelajar yang gagal sesuatu subjek, banyak pendapat/ maklumbalas yang boleh disenaraikan mengapakah ianya terjadi. Satu daripadanya ialah besar kemungkinan soalan yang dikemukan itu susah. Atau juga ditentukan pula oleh faktor-faktor lain seperti sikap pelajar yang malas belajar, pelajar gagal memahami subjek disebabkan tenaga pengajar yang kurang kompeten, nota kuliah yang gagal menjawab objektif pembelajaran, waktu pembelajaran yang terlalu padat dan singkat sehingga tidak mengizinkan pelajar mengulangkaji secukupnya, waktu pembelajaran yang tidak sesuai (contohnya terlalu awal didedahkan kepada pelajar), atau subjek tersebut diajar dalam lingkungan prasarana yang tidak kondusif. Faktor-faktor lain boleh juga turut dimasukkan, bergantung kepada cerapan, pembacaan dan juga maklumbalas pelajar dan pensyarah.
Satu soalan di sini, bagaimana kita boleh membuat keputusan yang benar (sahih) dan tepat semasa membuat deduksi sebab mengapa pelajar-pelajar gagal subjek tersebut? Jika ianya susah, bagaimana susahnya soalan peperiksaan itu diukur? Adakalanya seseorang pelajar mengatakan soalan peperiksaan itu susah tetapi beliau merupakan antara yang mendapat markah cemerlang!!
Satu pengukuran yang biasa digunakan ialah analisa item iaitu setiap item (orientasi fakta/ konteks/ kandungan) subjek yang diajar dianalisa menggunakan indeks kesusahan. Ia biasa digunakan untuk soalan pelbagai pilihan (multiple choice questions; MCQs). Indeks berkenaan sebenarnya memberikan peratusan pelajar yang berjaya menjawab soalan berkenaan dengan tepat (=bilangan pelajar yang memberikan jawapan betul dibahagikan dengan jumlah pelajar yang sepatutnya menjawab soalan berkenaan). Indeks melebihi 30% adalah indeks yang boleh diterima; namun nilaian yang kurang menunjukkan sesuatu perlu dilakukan bagi melihat kemungkinan sebenar mengapa ramai pelajar gagal menjawab soalan tersebut.
Selepas indeks tersebut diperolehi (analisa ujian MCQ menggunakan format sedia ada biasanya memasukkan indeks tersebut sebagai pilihan (option) yang boleh dipilih menurut automasi berkomputer); kita boleh mengenalpasti soalan mana, jumlah soalan dan juga aspek yang merupakan sub-topik yang 'menyusahkan' pelajar. Ini seterusnya membolehkan kita membuat 'probe' relevant berdasarkan sub topik berkenaan, pensyarah yang mengajar serta langkah-langkah yang relevan untuk mengatasi masalah tersebut.
Fokus ke atas indeks ini adalah dari segi teknikal semata-mata; berbanding dengan soal selidik rambang yang bersifat kualitatif yang diedarkan kepada pelajar. Sesuatu data yang dikumpul perlu di analisa untuk dibuatkan deduksi akhir bagi penentuan keterukan sesuatu masalah. Nilaian deskriptif dalam bentuk yang abstrak sangat subjektif; ianya diterimapakai dalam persepsi yang sangat berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Isu validiti juga sangat penting kerana dalam konteks mengukur keterukan masalah; fokus sumber data perlu diberikan perhatian agar kesahihan data itu cukup kuat untuk membawa kepada perubahan dalam membuat keputusan...apatah lagi dalam menentukan sesuatu polisi.
Maklumat dari pelajar berguna tetapi adakah hanya semata-mata input dari pelajar bahawa ujian yang diberikan itu susah maka seluruh kandungan subjek tersebut perlu dirombak dan dicipta/ dijenamakan semula. Saya sandarkan iktikad saya kepada kebenaran di sisi Allah agar saya dapat bersabar dengan individu yang tidak memahami keperluan sesuatu data itu untuk diukur dengan betul dan tepat.
Data tidak boleh diagak-agak pengukurannya kerana ia membawa kepada penghujahan yang tidak berkesudahan.Menghasilkan perbincangan yang tidak berobjektif, tidak menghormati masa orang lain serta menyusahkan orang lain dengan kejahilan dan kesombongan yang sepatutnya boleh dielakkan....
No comments:
Post a Comment