Apakah sebenarnya syarat untuk kita penuhi sebelum kita layak untuk bebuat baik? Apakah pula keadaannya yang meletakkan kita pada pendirian untuk meneruskan status quo tanpa sedikitpun mempedulikan arah penambahbaikan yang diberikan neraca pahala pada rujukan ilmu mahupun insan yang ‘alim?
Kita masih berkira-kira mendahulukan kebaikan...menangguhkannya pada satu waktu yang entah bila. Dan dalam masa yang sama kita merasa tidak apa memperolok-olokkan diri kita sendiri seolah-olah memang benar kita TIDAK LAYAK untuk terpilih dalam kebaikan sedemikian.
Fitrah seseorang menjiwai kecenderungan untuk berbuat baik. Sangat redha dengan kebaikan, dalam diri seseorang yang ditemui mahupun pada sekitaran yang dilaluinya.
Namun, fitrah insan yang berkecai, menampakkan diri sebagai slot bernyawa yang lebih hina dari haiwan. Lebih suka menyahut fitrah yang tidak mengiktiraf anugerah akal dan kecenderungan fitrah yang dianugerahkan Tuhan Maha Agung kepadanya.
Di manakah laluan kita seterusnya..? Jalan mana pula sebenarnya yang membuka laluan akhir dalam kehidupan kita di dunia. Kita sedar dunia ini sementara. Kita tahu tidak ada apa yang kekal wujudnya. Kita tahu juga, betapa nilai dunia ini jauh dari kesempurnaan dalam dimensi kebaikan yang kita inginkan.
Namun, untuk berbuat baik...kita seringkali merasakan bahawa bukan kita orangnya. Status iman yang kita miliki seperti belum melayakkan kita sedemikian. Seolah-oleh ada waktu ‘reserved’ yang sangat kita pasti akan kita lalui sebelum diri dijemput pulang ke sisi Tuhan.
Tidak ada sesiapa yang mampu menelah entah bila lagi datangnya peluang untuk kita berbuat baik. Hakikat kebaikan itu datang dalam keadaan yang pelbagai, spektrum kesusahan yang melemahkan hinggalah pada kemewahan yang menyenangkan. Ia yang sebenarnya didatangkan di hadapan kita sebagai pilihan pada jalan yang lebih dekat kepada kebaikan.
Oleh itu...kehidupan ini tiada status quo. Ia suatu yang turun dan naik. Kitalah juga yang membuat pilihan untuk sesuatu yang lebih baik, atau menolaknya untuk terus kecundang dalam delusi bahawa kita belum lagi layak berbuat baik.
Saya jemput anda bersama saya mempelajari AlQuran. Kita baca, belajar, mentadabbur keindahannya dalam kehidupan. Kita juga membuka ruang untuk mendalami perantara Bahasa Arab yang merupakan bahasa pilihan yang menyampaikan isi-isi keagungan firman Allah SWT yang diturunkan khusus sebagai bimbingan buat kita. Kita mohon juga diberi peluang untuk menghafaz ayat-ayat indah sebagai bekal kala kita memerlukannya. Sesungguhnya mendalami Quran adalah sebesar-besar sunnah yang perlu kita pertahankan.
فٱذكُرُنىِ ٱذْكُرْكُمْ وٱشكُرُوْالِى وَلَا تَكْفُرُونِ
(Al Baqarah ayat 152)
Masihkah lagi kita rasakan kita BELUM LAYAK membaca dan mempelajari Alquran dengan penuh kesungguhan??