Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Friday, May 30, 2014

Yang ditafsirkan sebagai KOTOR..

Mudah kita menelah suatu bahan yang ditafsirkan sebagai tercemar dan kotor. Demikian juga klasifikasi bahan yang dikatakan memikul najis serta tidak sah di bawa solat mahupun dalam ibadah haji dan umrah.

Namun, bagaimana pula fikiran, mindset mahupun hati terutamanya…yang wujudnya dalam keadaan yang sebenarnya kotor..?

Nilai abstrak tentang wujudnya hati…saya juga yang sering tidak serius tatkala memikirkan soal kemuliaan dan kesucian hati. Betapa saya memandang mudah untuk terus menyimpan marah, berdendam atau sukar memaafkan kesilapan yang saya kira sengaja 'memperbodohkan' kedudukan saya yang hakikatnya tidak sedemikian.

Pengalaman menghadapi perbezaan pendapat, persepsi mahupun cara kita menangani sesuatu…sering menyebabkan berlakunya konflik dan hujah senyap untuk tidak bersetuju antara satu sama lain. Saya juga baru menyedari wujudnya kelompok yang tidak pandai berkomunikasi, namun bijak berethorik mencadangkan penyelesaian yang tidak jelas mekanismanya. Jalan kesimpulan yang sering membawa kepada salah faham dan dendam..

Adakala, kita juga perlu bangkit bertindak mempertahankan diri dari ditindas atau diperlakukan seperti dinding…namun kita ini adalah insan..yang diberikan panduan dalam quran dan sunnah untuk berlaku ihsan..

Sukar sebenarnya berlaku ihsan apabila hati dan jiwa tercemar kotor dengan dendam dan kecewa. Apatah lagi nilai-nilai yang jelas melanggar kemuliaan dan kesucian nilai aqidah.

Betapa sukarnya untuk saya meninggalkan perasaan itu semua… satu 'loop' pemikiran yang seakan tidak berhenti mengulang tayang rentetan peristiwa-peristiwa yang mengundang geram.

Permainan dan jerat syaitan untuk menyuruh kami insan saling mencipta konflik dan perbalahan. Owh...penatnya melayan kedudukan hati 'yang kotor'..ibarat mengendalikan berbakul pakaian kotor yang susah dibersihkan. Sangat memenatkan!!!

Siratal mustaqim...

Hidayah dan taufik dari Allah merupakan sesuatu yang kita doakan dengan penuh harap dari Allah SWT. Ia tidak berlaku secara automatik dengan pertambahan atau peningkatan ilmu. Betapa sekian banyak insan yang diberikan ilmu, namun ilmunya tidak memberi apa-apa selain jiwa yang terus mementingkan diri sendiri.

Baru tadi saya mendengar penjelasan tentang doa yang kita baca di dalam surah al fatihah iaitu memohon agar Allah menganugerahkan kita hidayah ke jalan yang lurus. Baru saya tahu bahwa as sirat secara bahasa bermakna jalan yang lurus; satu-satunya jalan…tiada pilihan atau opsyen.

Siratal mustaqim biasanya diterjemahkan sebagai jalan yang lurus; sedangkan makna dari as sirat sudah mencakupi istilah jalan yang lurus. Lalu, apa pula makna mustaqim.

Sesungguhnya…banyak lagi ruang ilmu yang masih tidak saya tahu. Mustaqim bermakna keteguhan hati kita beristiqamah meneruskan usaha untuk kekal dengan izin Allah berada di atas jalan yang lurus. ia bukanlah laluan di atas jalan mendatar, namun kesusahannya umpama menaiki tangga/ laluan menjauhi permukaan bumi (analog untuk kehidupan dunia yang sering menarik perhatian, kita sentiasa ditarik oleh graviti bumi yang menarik kita kekal dalam kesenangan dan kemewahan sementara)… masyaaAllah; satu dimensi yang tidak saya ketahui selama ini (rujuk di sini).

Perjalanan menuju Allah, mengharap kebaikan dan ganjaran syurga serta diredhai Allah…adalah satu perjalanan yang sukar. Itulah diari dari hari ke hari dalam menyusun bekal mahupun usaha-usaha mengelakkan diri dari terus terbeban dengan dosa mahupun amalan yang sia-sia.

Jelas konotasi ini menjelaskan hubungan dengan ayat Allah dalam ayat 11 dan 12 surah al balad iaitu:

Wednesday, May 7, 2014

Bertahajudlah...

Istilah tahajud pernah saya 'ketepi'kan dari praktis kehidupan. Sangka saya, tahajud itu milik individu yang benar-benar 'bersih' serta mendapat pengiktirafan kebaikan mereka di sisi Tuhan rabbul jalil. Saya merasakan bahawa saya tidak layak di 'makam' mereka..
Betapa persepsi itu jauh tersasar faktanya. Bahwa tahajjud itu adalah hadiah atau hibbah istimewa dari Allah SWT. Saban hari kita dihadiahkan satu waktu istimewa untuk bermunajat, berzikir, berdoa dan qiyam menunaikan solat.

Bertahajudlah..sesungguhnya kita benar-benar mengharap redha dari Allah SWT..