Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Wednesday, January 2, 2019

Tentang membanyakkan Doa..

Antara insan yang paling saya ingati sejak saya kecil dahulu adalah jiran arwah ayah dan ibu saya yang kami panggil sebagai 'Kak Esah'. Nama beliau yang sebenar ialah Aisyah...namun hingga kini, nama Kak Esah itulah yang lebih kami kenali.

Beliau sekeluarga tinggal berjiran dengan kami ketika tinggal di Majidee dahulu. Merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggalah mereka berpindah ke beberapa tempat yang lain, kami pula sering bertandang menziarahi beliau sekeleluarga, Ibarat melepaskan rindu untuk saling berborak dan bertanya khabar, namun saya ingati saat-saat itu sebagai kenangan yang sangat indah. Biarpun kami ketika itu dalam keadaan yang masih jauh dari berpengalaman, namun tidak pernah ada sesuatu yang yang bagi saya merupakan perkara yang sering tidak disukai oleh kanak-kanak seusia saya yang beliau lakukan. Beliau biasanya akan melayani kami sebaik-baiknya.

Satu amalan beliau yang paling saya ingati ialah..setiap kali berjumpa dengannya, dia pasti mengucapkan perkataan yang baik-baik serta mendoakan dengan doa-doa yang sangat mententeramkan hati saya ketika itu. Tidak lain yang saya ingati apabila membacakan doa untuk seseorang dari satu amalan yang saya contohi dari apa yang sering dilakukan oleh Kak Esah.

Moga Allah sentiasa merahmati beliau dan memberkati kehidupannya sekeluarga. Aamiin..

Tuesday, January 1, 2019

Tahun 2019...Perjuangan Memilih 'Chapter' yang Terbaik..

Kita memasuki tahun yang baru; bermulalah era kita di usia pada dekad yang seterusnya. Waktu yang terus berlalu, saya juga bagai masih terpinga-pinga mengutip apa yang mampu saya terjemahkan sebagai kebaikan. Ibarat mereka yang empunya masa terhad, perlu menyudahkan pelbagai tugasan yang tersusun tidak berusik. Sering pula terlupa atau fokus yang lari dari apa yang diniatkan..




Tahun 2018 baru sahaja berlalu..sudah pasti kita semua telah mengetahui bab demi bab yang telah kita pilih sebagai 'cerita' dalam perjalanan hidup yang sementara pada tahun yang telah berlalu itu. Biar penulisan cerita yang kita pilih itu terkadang seperti sesuatu kebetulan..namun semoga kebetulan itu merupakan kebaikan demi kebaikan. Di satu hari nanti, pasti kita menemui jawapan bahawa yang kita anggap sebagai kebetulan itu sebenarnya merupakan jawapan pada doa-doa yang pernah kita titipkan.

Saya sebenarnya terkadang tidak prihatin untuk menetapkan fokus pada sesuatu yang perlu dilakukan. Dunia hari ini, kita maklum banyaknya lintasan-lintasan yang mengganggu fokus berkenaan, menyebabkan sebahagian yang saya niatkan sekadar tertinggal tidak disudahkan.

Setiap hari yang diizinkan Allah swt untuk kita temui sebenarnya merupakan 'chapter' terbaik untuk kita isikan. Semoga pada tahun yang baru dan bakal mendatang ini, hati-hati kita dipimpin hidayah Allah swt untuk melakukannya, dengan rahmat dan kasih-sayangNya.

Dalam masa yang sama, syaitan-syaitan menyesatkan dalam rupa manusia dan jin atau apa sahaja dalam rupabentuk 'gadget' atau perantis...sentiasa menghendaki 'chapter' kehidupan kita itu lopong kosong atau menjalin nota berupa dosa-dosa.

Adakah kita mahu memilih satu 'chapter' yang penuh nista dengan kesilapan dosa yang secara automatik dimuat turun dalam skala eksponen...ooowh.. saya tidak mampu memikirkan itu sedalam-dalamnya. Rasa gentar dan malu , andai tatkala 'chapter' seperti itu terbuka, lalu terburailah 'pekung hanyir' yang sebenarnya kita bagai tidak pernah memikirkan tentangnya.