Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Monday, December 3, 2018

Warkah untuk Roxy

Salam Roxy..walau dimana dirimu kini bertugas menabur bakti, doa-doa terbaik buatmu moga sentiasa dirahmatiNya.

Aku terkedu tatkala berhadapan dalam suasana yang sebelum ini hanya bermain dalam pemikiran dan telahanku. Betapa susunan insan yang melirik mengiringi pertemuan kami, tersenyum dengan senyum penuh harapan. Air mataku hampir terseka, namun suara dan senyuman mereka menutup sementara kesedihanku.

Suasana kelas pelarian masyarakat Rohingnya itu sekadar dipenuhi oleh anak-anak yang bersila menjamah hidangan tengahari mereka. Para Ustaz dan guru mereka menatap dari birai kerusi yang tersusun. Seorang demi seorang anak-anak itu datang menghampiriku lalu kami bersalam. Aku hanya mampu berkongsikan senyum sambil dalam hati berdoa dengan doa yang sebaik-baiknya buat mereka.

Suara pengetua yang bagiku agak tegas menyuarakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dalam bidang yang mampu aku kongsikan tanpa kami mengganggu kurikulum, terus terbayang dalam kotak fikiran. Lebih kecewa apabila ada NGO yang menggunakan nama mereka untuk mengutip derma dan sumbangan, namun satu senpun tiada diagihkan kepada organisasi itu.

Masuk bulan disember ini, sewa sekolah mereka telah tertunggak selama hampir 4 bulan. Gaji guru-guru juga sudah 4 bulan tidak berbayar. Aku sukar memahami mekanisme perjalanan sekolah tersebut, namun kesungguhan mereka sebagai Masyarakat Rohingnya untuk memantapkan kebolehdaya upaya mereka sebagai masyarakat terdidik, mengkagumkan sesiapa sahaja yang menyaksikan keikhlasan mereka.

Masyarakat Rohingnya telah lebih ratusan tahun ditindas. Hak mereka sebagai bangsa merdeka dinafikan. Anak-anak seusia 14 tahun, biasanya meninggalkan sekolah untuk mula mencari kerja. Sekolah itu sekadar teduhan untuk mereka mengenal huruf dan belajar tentang quran dan addin Islam ini.

Lalu aku melihat diriku. Seorang ilmuwan yang nyata tidak mampu berbuat apa-apa.Mereka datang dan pergi sekdar persinggahan untuk kesusahan seterusnya. Sistem pendidikan mereka tidak ke mana, Dan dalam sistem kita juga, kita tidak mampu berbuat apa-apa. Masyarakat itu bergelut penuh kesusahan antara survival untuk keluar dari belenggu kemiskinan dan buta huruf. Airmataku terus bergenang.

Roxy..mereka itu bercakap tentang masa depan yang masih belum tentu ada buat mereka. Namun, aku pula terbelenggu dikelililngi insan-insan elite yang berkira-kira beg tangan jenis apa yang hendak digayakan di majlis 'dinner'. Lantas kurasakan diriku kaku tidak mampu untuk bersuara...menahan sebak dalam perasaan yang tidak mampu kutuliskan.

Salam sayang dariku,
tinta..

No comments: