Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Sunday, December 30, 2018

Subang Bistari dalam kenangan...selamat datang ke MISS Hulu Langat

Hari ini, puteri-puteri kesayangan SMITA (P) akan kembali mendaftar di kampus mereka yang baru. Bakal dijenamakan semula sebagai Mutiara Integrated Secondary School (MISS), hati saya turut teruja untuk berkongsi kegembiraan mereka.

Dalam tempoh cuti sekolah sebulan ini, kami sekeluarga menyusuri jalan di Subang Jaya. Terseka pula kenangan semasa bersesak-sesak ke arah Kampus sekolah sementara di Subang Bistari. Pasti kami merindukan persinggahan di Masjid AnNur di Glenmarie, atau Masjid Lapangan Terbang Subang atau juga semasa membeli barang keperluan anak-anak di Star Avenue dan singgah ke beberapa restoran di sekitarnya .....

Pantas sekali masa berlalu. Kitalah juga yang mengisi sebaik-baiknya. Puteri-puteri SMITA semakin mekar usia mereka, moga kampus baru memberikan inspirasi dan motivasi untuk mereka terus berusaha sebaik-baiknya.


Dalam kesibukan debat antara sekolah berasrama  penuh, kelayakan mengikut pendapatan keluarga dan sebagainya...saya berpendapat matlamat pendidikan kita adalah mengisi jiwa anak-anak dengan ilmu bermanfaat dan suasana persekitaran yang memberikan mereka peluang untuk berdaya saing dengan sekitaran yang nyata semakin mencabar.



Sayapun tidak pasti untuk apa diperdebatkan isu berkenaan. Banyak sebenarnya institusi persekolahan yang menawarkan suasana yang baik dan kondusif untuk anak-anak remaja.



Saya pernah menuliskan sebelum ini, kedua-dua setting antara sekolah biasa dan sekolah berasrama ada kelebihan dan kekurangannya. Bagi saya tiada yang mengatasi antara satu sama lain, melainkan niat seseorang untuk berusaha sebagai insan berilmu.



Tahniah kepada pengurusan AlNida yang diizinkan Allah merealisasikan impian membina sekolah untuk anak-anak remaja puteri berlandaskan priinsip yang disyorkan; juga merangkumi keperluan anak-anak yang bukan muslim. 



Anak-anak ini turut didedahkan dengan pengalaman sebagai persediaan mereka menjadi generasi dewasa muslimah yang didoakan mampu berfungsi sebaik-baiknya dalam organisasi masyarakat.








Untuk puteri-puteri SMITA (P) @ MISS...selamat belajar semuanya..

Wednesday, December 26, 2018

Peliharalah jidar-jidar bahasa..

Bila kita menulis, dalam mukasurat untuk kita susun ayat dan perenggan..ada batas jidar yang tidak boleh kita langkau. Dalam peperiksaan, rantau di sebalik jidar adalah kawasan larangan. Apa-apa yang tertulis di ruang itu, tidak membawa sebarang markah serta tidak di kira dalam hujah perbahasan.

Susunan dalam sesuatu ayat dan perenggan, membawa maksud untuk difaham. Sesuatu penulisan itu membawa konotasi suatu tanggungjawab, adakah ia membawa kebaikan atau kekeliruan atau dosa penuh kejahatan. Yang pasti, kita tiada hak untuk menghukum sesiapa.

Monday, December 3, 2018

Warkah untuk Roxy

Salam Roxy..walau dimana dirimu kini bertugas menabur bakti, doa-doa terbaik buatmu moga sentiasa dirahmatiNya.

Aku terkedu tatkala berhadapan dalam suasana yang sebelum ini hanya bermain dalam pemikiran dan telahanku. Betapa susunan insan yang melirik mengiringi pertemuan kami, tersenyum dengan senyum penuh harapan. Air mataku hampir terseka, namun suara dan senyuman mereka menutup sementara kesedihanku.

Suasana kelas pelarian masyarakat Rohingnya itu sekadar dipenuhi oleh anak-anak yang bersila menjamah hidangan tengahari mereka. Para Ustaz dan guru mereka menatap dari birai kerusi yang tersusun. Seorang demi seorang anak-anak itu datang menghampiriku lalu kami bersalam. Aku hanya mampu berkongsikan senyum sambil dalam hati berdoa dengan doa yang sebaik-baiknya buat mereka.

Suara pengetua yang bagiku agak tegas menyuarakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dalam bidang yang mampu aku kongsikan tanpa kami mengganggu kurikulum, terus terbayang dalam kotak fikiran. Lebih kecewa apabila ada NGO yang menggunakan nama mereka untuk mengutip derma dan sumbangan, namun satu senpun tiada diagihkan kepada organisasi itu.

Masuk bulan disember ini, sewa sekolah mereka telah tertunggak selama hampir 4 bulan. Gaji guru-guru juga sudah 4 bulan tidak berbayar. Aku sukar memahami mekanisme perjalanan sekolah tersebut, namun kesungguhan mereka sebagai Masyarakat Rohingnya untuk memantapkan kebolehdaya upaya mereka sebagai masyarakat terdidik, mengkagumkan sesiapa sahaja yang menyaksikan keikhlasan mereka.

Masyarakat Rohingnya telah lebih ratusan tahun ditindas. Hak mereka sebagai bangsa merdeka dinafikan. Anak-anak seusia 14 tahun, biasanya meninggalkan sekolah untuk mula mencari kerja. Sekolah itu sekadar teduhan untuk mereka mengenal huruf dan belajar tentang quran dan addin Islam ini.

Lalu aku melihat diriku. Seorang ilmuwan yang nyata tidak mampu berbuat apa-apa.Mereka datang dan pergi sekdar persinggahan untuk kesusahan seterusnya. Sistem pendidikan mereka tidak ke mana, Dan dalam sistem kita juga, kita tidak mampu berbuat apa-apa. Masyarakat itu bergelut penuh kesusahan antara survival untuk keluar dari belenggu kemiskinan dan buta huruf. Airmataku terus bergenang.

Roxy..mereka itu bercakap tentang masa depan yang masih belum tentu ada buat mereka. Namun, aku pula terbelenggu dikelililngi insan-insan elite yang berkira-kira beg tangan jenis apa yang hendak digayakan di majlis 'dinner'. Lantas kurasakan diriku kaku tidak mampu untuk bersuara...menahan sebak dalam perasaan yang tidak mampu kutuliskan.

Salam sayang dariku,
tinta..