Hanya Allah tahu kedudukan jiwa saya sebelum musim pilihanraya yang lalu. Hati saya bercampur baur. Untuk mengelak saya terlalu 'menghayati' isu semasa, saya meletakkan cabaran untuk saya buat beberapa assignments utk menghafaz ayat-ayat quran atau membuat aktiviti lain yang lebih berfaedah.
Falsafah mengenai pilihanraya terlalu kuat getarnya. Walaupun saya memahami bahawa membangunkan masyarakat itu memerlukan tamadun dari asas mikro; disempurnakan pula oleh asas pentadbiran makro yang cekap dan berkesan; ditunjangi pula oleh akidah yang benar. Jadi, masing-masing mempunyai peranan. Tidak ada yang tertinggal. Namun, bahang pilihanraya kali ini begitu kuat. Tak tertahan oleh stamina saya pada umur seperti ini. Namun pejuang-pejuang dalam arena politik nampaknya semakin optimis; dan yang masih bergelut dengan identiti muslim melayu, memupuk kekuatan dalam bicara sesama sendiri.
Semakin dekat pilihanraya, saya terus membanyakkan doa. Jika dalam pilihanraya sebelum ini saya tidak pernah mengambil inisiatif untuk berdoa bersungguh-sungguh, namun kali ini saya berdoa dengan linangan airmata. Saya harap kesusahan dan ketegangan dari isu-isu kritikal negara tidak diwarisi oleh generasi saya yang akan datang. Andai berlaku sebaliknya...saya mungkin antara yang menyesal tidak melakukannya.
Namun di satu pihak, kumpulan mendakwa sebagai berpegang pada agama, gigih berjuang dalam skop dan konotasi yang tersendiri. Sejak isu baiah talak tiga dan kepimpinan mereka yang ProIran, saya sudah tidak lagi menyokong perjuangan mereka walau dari segi sosial, mereka ada sahabat dan tetangga yang baik.
Perjuangan memangkah parti mana...adalah perjuangan mempertahankan kedaulatan negara. Saya lihat isu-isu lain seperti masalah dadah, LGBT, dan isu sosial yang lain merupakan isu yang perlu ditangani dalam keluarga, masyarakat dan usaha para pendidik murabbi di lapangan. Keutamaan pilihan raya kali ke 14 itu adalah untuk memilih pemimpin yang amanah dan mampu menggalas tanggungjawab negara menurut undang-undang yang adil.
Saya tidak banyak bercakap pada era sebelum pilihanraya; saya tidak optimis rakyat akan menang. Namun sekurang-kurangnya saya sudah nyatakan pendirian saya bahawa saya bersama individu yang amanah, meskipun dirinya berlainan akidah kerana sistem negara kita bukan sistem pentadbiran mutlak. Islam tetap terpelihara dalam perlembagaan dan kuasa raja-raja.
Pagi mengundi, saya keluar awal sebelum subuh. Selepas solat, saya mencari ruang rehat sebentar sebelum mula beratur. Sangka saya, saya hanya segelintir individu yang memprotes secara senyap. Namun, dalam barisan panjang yang sabar beratur, rupanya telahan saya silap. Mereka semua adalah majoriti yang senyap seperti saya. Yang akhirnya dengan izin Allah, menjadikan harapan kami menjadi kenyataan. Tarikh 9 dan 10 Mei 2018 yang kekal sebagai ingatan. Betapa bersyukurnya kami rakyat jelata.
No comments:
Post a Comment